Showing posts with label Mapim. Show all posts

Dengar rintihan bukan rendahkan suara rakyat


MAPIM berpendapat sangat penting para ulama berperanan menjernihkan keadaan ketika umat menghadapi kemusykilan menghadapi isu kenaikan kos sara hidup dan pelbagai kemelut hidup akibat kepincangan urustadbir pemerintah.

Di kala umat sangat mengharapkan kefahaman dan keprihatinan dari pemerintah dan bila umat hilang arah untuk menyalurkan aduan agar masalah mereka didengari, ulama adalah tempat umat mengharap dan mengadu.

Rakyat mengharapkan ulama menegur umara supaya tidak terus mengenepikan keresahan rakyat.

Untuk mendakwa penyaluran maklumat mengenai isu kos sara hidup kepada perdana menteri tidak diusahakan adalah tidak tepat.

Suara rakyat, termasuk ahli akademik dan pemimpin politik dalam dan luar kerajaan yang dikumpul dan disiar dalam media sepatutnya sudah cukup untuk perdana menteri memberi respon yang wajar terhadap keresahan rakyat.

Tidak timbul isu mahu menggulingkan kerajaan kerana rakyat hanya menuntut agar kos sara hidupkan diturunkan.

Sudah banyak pengajaran dari negara-negara di seluruh dunia bila rakyat bangkit kerana pemerintah tidak telus dalam membuat keputusan dan akhirnya menambah beban rakyat .

Lagi pun perkataan mengguling kerajaan telahpun dinafikan oleh pihak yang penganjur perhimpunan dan siasatan telahpun dijalankan oleh pihak polis.

Ternyata yang menjadi arahan polis ialah perhimpunan haram tidak boleh diadakan bukan soal hendak menggulingkan kerajaan.

'Persepsi perlu dibuktikan'

Jika tuduhan niat asal untuk menggulingkan kerajaan masih diungkit maka ia hanya persepsi yang perlu dibuktikan.

Perhimpunan Turun yang diadakan oleh pihak penganjur jelas bermakna mendesakkan pihak kerajaan menurunkan kos sara hidup bukan menggulingkan kerajaan.

Pilihan menubuh atau menukar kerajaan melalui pendekatan demokrasi masih menjadi pilihan rakyat.

Rakyat sudah biasa dengan terlibat beramai-ramai dalam perhimpunan yang tidak dibenar oleh -pihak keselamatan namun tidak berlaku usaha penggulingan kerajaan seperti yang diuar-uarkan.

Kerap ditegaskan bahawa perhimpunan yang hendak diadakan adalah perhimpunan aman.

Namun jika ada pihak yang mahu mengambil kesempatan untuk melakukan provokasi ganas dengan bertindak liar atau membawa senjata maka ia harus disiasat dan bukan terus didakwa ia bukti pihak penganjur mahu melakukan kekerasan.

Oleh yang demikian adalah tidak wajar ulama bersikap simplistik dengan membuat rumusan dari maklumat yang tidak tepat dengan hanya bersandar kepada media lalu mengeluarkan pandangan yang boleh mengelirukan umat dan menegangkan suasana.

Kami sangat mengharapkan ulama dan pemimpin politik menyantuni resah rakyat agar penyelesaian yang lebih bermakna dapat dicapai dan supaya mengelakkan emosi saling mencabar dan menuding  berterusan.

-/ Malaysiakini   

Seterusnya >>>

Debat politik Anwar-Najib bermanfaat untuk rakyat

KUALA LUMPUR: Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) kecewa kerana budaya fitnah dan manipulasi media dibuka seluas-luasnya tetapi debat yang lebih bertamadun dan bermaruah pula diketepikan.
“Apakah ini menandakan bahawa politik Malaysia lebih bersifat fitnah dan serangan peribadi?

“Kenapa ahli politik BN memandang serong kepada debat, dialog dan forum yang sihat?” ujar presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Justeru, katanya Mapim berpendirian sudah sampai masanya debat yang ditunggu-tunggu oleh rakyat antara Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Najib Razak dilaksanakan.


“Salah satu dari reformasi politik yang akan meningkatkan kematangan demokrasi di negara ini ialah debat terbuka antara pihak yang menyertai politik pilihanraya,” katanya lagi.


Menurutnya, walaupun debat belum menunjukkan ia satu budaya di negara ini agar mana-mana pihak kumpulan politik yang bertelagah pendapat mengenai bagaimana negara ini harus ditadbir didebat secara bersemuka, namun Mapim berpandangan ia adalah wajar dibudayakan untuk memungkinkan pandangan masing-masing diketengahkan secara bersemuka untuk dihujah di hadapan khalayak awam.

Katanya, dalam Islam, munaqasyah (debat) adalah suatu anjuran yang dibolehkan agar kebenaran dapat dijelaskan dan dengan sebab itu kebenaran akan dapat dipertahankan dengan lebih meyakinkan.

Beliau berkata, pilihanraya adalah soal membentangkan program untuk rakyat membuat pilihan, justeru debat yang berjalan dengan baik pasti akan dihormati oleh semua pihak kerana masa depan negara sangat penting ditentukan dengan rasional oleh pihak yang mahu meraih mandat dari rakyat.


Katanya, dua tokoh tertinggi negara iaitu PM dan Ketua Pembangkang adalah figur penting dalam Pilihan raya Umum ke-13 dan rakyat berhak melihat secara sendiri kemampuan kedua-duanya membentangkan pandangan dengan hujah yang ilmiah dan matang.

Tambahnya lagi, tidak ada kecurigaan yang harus dirisaukan selain kedua pendebat bersedia dan berlapang dada mendengar hujah lawan mengenai isu-isu urus tadbir negara.


“Jika kedua pemimpin ini dapat menunjukkan kematangan berhujah, maka rakyat akan bertambah yakin bahawa reformasi politik benar-benar akan berlaku,” katanya.
Seterusnya >>>

Mapim gesa semua pihak henti provokasi agama


Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim)  menggesa agar semua pihak menghentikan provokasi agama serta tidak mengeluarkan kenyataan yang boleh menegangkan suasana demi memelihara kerukunan hidup antara agama di negara ini.

Setiausaha agungnya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, mengungkit isu agama yang diketahui akan menyentuh sensitiviti penganut agama masing-masing sangat merbahaya dan tidak bertanggungjawab.

"Kami kesal terhadap pemimpin politik yang tidak berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan yang menimbulkan persepsi yang tidak baik terhadap Islam.

"Dalam masa yang sama kami menegaskan pihak pemimpin agama harus menghormati kedudukan Islam di negara ini terutama soal menarik orang Islam kepada agama lain yang dilarang dalam undang-undang Persekutuan," katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, pemimpin agama perlu mengambil berat mengenai sensitiviti yang sangat tinggi di kalangan orang Islam terutama dalam isu murtad dan apa sahaja yang dilakukan oleh penyebar agama lain yang boleh menyebabkan orang Islam murtad.

"Negara ini tidak boleh dihadapkan dengan konflit sivil yang akan menghancur segala asas keharmonian antara agama dan ras yang sudah dipupuk sekian lama.

"Semua pihak perlu memberi perhatian yang mendalam terhadap situasi kehidupan yang sangat sensitif di negara ini jika isu agama dibangkitkan dengan cara yang tidak hikmah," katanya.

Mohd Azmi berkata, terlalu ghairah bermain dengan sentimen agama yang mudah menimbulkan kemarahan antara penganut adalah satu kesilapan besar yang akan mengakibatkan ketegangan yang sukar dikawal.

"Kami menggesa isu berkaitan dengan usaha menarik orang Islam kepada agama lain , penggunaan Kalimah Allah , hendaklah dihentikan dan perlu ditangani oleh pihak berkuasa serta pemimpin-pemimpin agama dengan bijak berdasarkan undang-undang dan asas keharmonian kehidupan beragama di negara ini," tegasnya.

Katanya, Mapim menyarankan agar dialog dan perbincangan yang sihat antara pemimpin agama diadakan untuk mengatasi salah faham mengenai sebarang isu agama.

"Kami juga menuntut agar pihak media lebih bertanggungjawab bila mengangkat isu agama untuk tatapan masyarakat awam. Jika ia tidak dikendalikan dengan bijak , media boleh membawa kesan yang negatif kepada persepsi antara penganut agama," katanya.
Seterusnya >>>

Gagal Perjelas Wang Haram RM200 Bilion, Menteri Perlu Letak Jawatan

Duit_contoh_selangorku

SHAH ALAM,19 DIS : Menteri Kewangan perlu menjelaskan bagaimana hampir RM200 bilion wang kotor mengalir keluar dari Malaysia pada tahun 2010 yang meletakkan negara di tempat kedua di belakang kuasa ekonomi Asia, China, dalam pengaliran modal global.
Setiausaha Agung Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, jika beliau tidak dapat menjelaskan kedudukan isu dengan telus dan jujur maka menteri tersebut wajar meletakkan jawatan.
“Ini adalah suatu kepincangan yang sangat besar untuk diketepikan tanpa pertanggungjawapan penuh dari Menteri Kewangan.
“Di peringkat antarabangsa aliran wang haram adalah suatu jenayah serius yang tidak boleh dipandang ringan,” kata Azmi dalam kenyataan medianya.
Beliau menjelaskan, laporan dari badan badan pemantau – Global Financial Integrity (GFI) dalam laporan terbarunya yang menjejaki pengaliran modal menyatakan tahap pengaliran wang haram dari Malaysia itu pada tahun 2010 yang tertinggi dalam tempoh 10 tahun.
Laporan terbaru mendapati lonjakan dramatik pengaliran modal di Malaysia – dari AS$30.41 bilion (RM93 bilion) pada tahun 2009 kepada AS$64.38 bilion (RM196.8 bilion) pada tahun 2010.
“Menurut GFI, bagi aliran keluar wang haram terkumpul sepanjang lebih 10 tahun – dari 2001-2010 – Malaysia berada di kedudukan ke-3 di dunia, selepas China dan Mexico.
“Jumlah anggaran untuk tempoh 10 tahun bagi Malaysia ialah AS$285 bilion (RM871.4 bilion), manakala bagi China ialah AS$2,740 bilion, dan Mexico, AS$476 bilion,” katanya.
Tegas Azmi, ekonomi negara mengalami kerugian pada tahap berbilion ringgit jika isu ini tidak di atasi dengan tegas.
Ia bukan sahaja akan mengakibatkan negara kehilangan pendapatan yang sangat tinggi dari cukai malah integriti pengurusan kewangan negara dilihat sangat lemah dan wang negara akan terjejas teruk bila aliran keluar wang berlaku tanpa kawalan.
“Kini kita berhadapan dengan pengeluaran wang keluar dari Malaysia secara haram yang menunjukkan tahap pengawasan sangat lemah dan begitu mudah untuk bolos keluar,” ujar beliau.
Beliau berkata, Menteri Kewangan(Datuk Seri Najib Razak) harus mengambil tanggungjawab penuh terhadap isu ini yang melambangkan kelemahan dan kepincangan yang amat ketara yang melibatkan masa depan ekonomi negara .
“Jika Menteri berkenaan tidak boleh mengatasi masalah ini maka beliau perlu melepaskan jawatan dan diserah kepada seorang yang lebih kompeten dan berkelayakan untuk menguruskan kewangan negara,” katanya.
Seterusnya >>>

Bertindak segera, Islam Rohingya di ambang maut


KUALA LUMPUR: Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) menggesa kerajaan Malaysia segera bertindak melakukan sesuatu, jika etnik Islam Rohingya di Myanmar sekarang mahu diselamatkan.


“Mapim sedang mengikuti perkembangan keganasan terbaru di Myanmar dengan dekat melalui Union of World Rohingya Organization yang menjadi rakan jaringan kami agar maklumat yang sah dan terkini dapat diperolehi,” ujar Setiausaha Agungnya, Mohd Azmi Abdul Hamid dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, perkembangan terkini sangat meruncing di beberapa bandar di Arakan dan ada tanda ketegangan akan merebak ke seluruh Myanmar.

“Kami  sangat kecewa keganasan yang tercetus terkini yang lebih meruncing dan sangat mengkhuatirkan tidak mendapat perhatian segera untuk menyelamatkan komuniti Muslim Rohingya yang menjadi mangsa serangan oleh etnik Buddha Rakhine.

“Apakah Malaysia sebagai anggota OIC dan Asean hanya mahu menjadi pemerhati kepada keganasan penghapusan etnik yang sangat kejam sedangkan tragedi itu sedang berlaku dirantau ini?” katanya

Kini, jelasnya keadaan sangat meruncing kerana serangan kali ini nampaknya nekad untuk menghabiskan semua penduduk etnik Rohingya dan Kaman Muslim di seluruh Myanmar.

Menurutnya, angka kematian sebenarnya sudah mencecah hampir seribu orang , sedangkan bilangan rumah dan perkampungan orang Rohingya yang dibakar jauh lebih besar jumlahnya.

Sebenarnya, kata beliau dunia sedang menyaksikan pengulangan peristiwa pembunuhan massa kaum Serbia ke atas kaum Bosnia pada 1995.

Katanya lagi, hanya setelah ratusan ribu kaum Muslim Bosnia terbunuh barulah Nato bertindak ke atas Serbia.

“Kami menegaskan bahawa saat ini bukan lagi masanya untuk mengeluarkan kenyataan tetapi hendaklah melakukan tindakan konkrit untuk melindungi mangsa Rohingya Muslim yang menjadi sasaran serangan kaum Rakhine yang dibantu oleh tentera dan polis Myanmar,” ujarnya.

Justeru, katanya Mapim mendesak kerajaan Malaysia menghantar delegasi khas dengan segera untuk menyampaikan mesej tegas bahawa tindakan kerajaan Myanmar tidak boleh diterima sama sekali.

Katanya, pihak kedutaan Myanmar di Malaysia hendaklah dipanggil segera untuk menyampaikan pendirian negara terhadap kekejaman yang sedang berterusan sekarang.
Seterusnya >>>

Hina Islam: Mapim gesa Raja-Raja Melayu bertindak


KUALA LUMPUR: Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) memohon agar Raja-Raja Melayu yang menjadi pelindung agama Islam di negara ini bertindak untuk menegaskan bahawa orang bukan Islam tidak berhak untuk memberi komentar yang menyentuh soal hukum Islam di negara ini.
Justeru, Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid menegaskan parti politik seperti MCA sepatutnya diingatkan bahawa mereka jangan menyentuh sensitiviti umat Islam mengenai hukum Islam yang mereka berhak untuk tuntut dilaksanakan.

Katanya, ucapan Presiden MCA Datuk Seri Chua Soi Lek dalam persidangan MCA semalam yang sekali lagi memuncakkan serangannya kepada hukum hudud sangat melampau dan tidak harus dikompromi lagi.

“Hanya beberapa hari sahaja sebelum ini hanya dengan bersandar kepada sebuah tulisan dalam blog yang tidak dikenali, beliau menuduh bahawa jika hudud dilaksanakan lebih sejuta orang akan kehilangan kerja di Malaysia,” ujarnya dalam satu kenyataan.


Beliau berkata, pemimpin wanita MCA juga menyatakan pendirian yang sama bahawa mereka mencurigai bahawa Umno dikhuatiri akan menyatakan sokongan kepada hudud jika Pakatan berjaya mengambil alih kerajaan Pusat.


“Kali ini Chua Soi Lek menuding bahawa perlaksanaan hudud di Negara-Negara Islam dikaitkan dengan amalan korupsi dan negara-negara yang berada dalam keadaan tidak selamat.


“Konotasi beliau sangat jelas. Hudud tidak mengatasi masalah rasuah dan jenayah. Inilah pendirian yang mahu beliau tegaskan kepada orang Islam khususnya disamping kepada pengundi bukan Islam,” ujarnya.


Ini bermakna kata beliau, Chua mahu mengajar orang Islam bahawa hukum hudud Islam tidak boleh dilaksanakan kerana terbukti negara-negara yang beliau dakwa melaksanakan hukum hudud adalah antara yang ‘paling korup’.

“Apa hak beliau untuk menuding bahawa hukum hudud tidak boleh dilaksanakan hanya dengan alasan negara lain yang dikatakan melaksanakannya dijangkiti dengan masalah korupsi.

“Ini adalah kesimpulan yang sangat simplistik dan berniat jahat untuk memburukkan hukum Islam di kaca mata bukan Islam,” katanya lagi.


Dengan pendirian itu, tegasnya seluruh umat Islam harus bangkit menyatakan bantahan dan menunjukkan bahawa penghinaan kepada hukum Islam sangat jelas merupakan pendirian rasmi MCA.


Menurutnya, jelas penghinaan itu mencabar bukan sahaja wibawa institusi Islam di negara ini malah juga mencabar kedudukan dan status Islam di negara ini.


“Mempersoalkan dan memberi komen secara menghina dan memburuk-burukkan hukum Islam sepatutnya dilihat sebagai satu hasutan yang akan menimbulkan ketegangan agama.


“Kami melihat kenyataan seperti ini adalah berpunca daripada kegagalan kesepakatan dalam BN yang tidak pernah dijelaskan mengenai Islam dan hukum-hukumnya dengan baik,” ujarnya lagi.

Malah, katanya kenyataan dari kepimpinan orang Melayu Islam sendiri dalam BN yang menggambarkan bahawa hukum Islam tidak boleh dan tidak akan dilaksanakan.
Seterusnya >>>

Mapim: Najib layak digelar bapa liberal Malaysia


KUALA LUMPUR: Perhimpunan Sejuta Belia di Putrajaya baru-baru ini mengesahkan bahawa pihak Perdana Menteri dan Kementerian Belia dan Sukan sendiri membakulsampahkan Dasar Kebudayaan Kebangsaan.

Menurut Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), hiburan dengan wanita separuh bogel dalam acara perhimpunan tersebut adalah lambang kebudayaan di Negara ini yang telah mengganti nilai agama dan moral yang termaktub dalam Dasar Kebudayaan Kebangsaan.

"Jelas yang berlaku adalah suatu penghinaan kepada kebudayaan negara dan Perdana Menteri  menjadi Ketua Liberalis Malaysia bila membenarkan budaya lucah dipentaskan bersama kehadiran beliau.

"Jika ada pihak yang mengangkat isu wujudnya gerakan liberal di negara ini, maka kami berpendapat Perdana Menteri membayangkan bahawa beliau adalah ketua kepada budaya dan pemikiran liberal di Malaysia," kata setiausahanya Mohd Azmi Abdul Hamid.

Mapim katanya, kesal dan mengutuk budaya liberal yang diterjemahkan dalam bentuk acara hiburan yang sangat anti akhlaq  yang disahkan oleh perdana menteri bersama penari separuh bogel dalam perhimpunan tersebut.

Menurut Azmi, dengan membenarkan wanita berpakaian tidak senonoh mengadakan pementasan yang direstu oleh Perdana Menteri dan Menteri yang berkenaan, manakala Menteri Agama di JPM serta para Mufti tidak pula bersuara, mengesahkan aliran liberalisme dan pluralisme sebagai budaya dan aliran pemikiran yang dibenarkan oleh konsep wassatiyah yang ditaja oleh PM.

"Asalkan dapat dihimpunkan belia dan mengujudkan suasana serba bebas dan tidak menghormati kebudayaan kebangsaan, PM sanggup mengadai akhlak generasi muda hanya untuk berpropaganda untuk PRU 13," katanya lagi.

Beliau juga mendakwa progran itu sebenarnya memperalatkan belia dengan memancing mereka berhimpun dengan acara hiburan liar dan cara itu sudah lama diguna oleh pihak kerajaan.

"Di satu hal budaya politik samseng dibiarkan berleluasa , ditambah lagi hiburan liar juga diguna untuk melekakan belia dari berfikir mengenai pelbagai isu Negara yang  akan menentukan nasib dan masa depan agama dan bangsa.

"Mapim tidak dapat menerima pendekatan yang diguna oleh kerajaan yang mengguna peruntukkan dari wang rakyat dengan memaparkan budaya liar dan tidak senonoh," katanya.

Sehubungan itu, mapim menuntut Kementerian Belia dan Sukan mendedahkan berapa jumlah perbelanjaan yang dikeluarkan untuk perhimpunan tersebut.
.
Seterusnya >>>

Jijiknya pemimpin peralat polis untuk kekal kuasa


Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) mendapati jelas kini polis terbawa- bawa dengan cara seluruh polis di dunia membelasah demonstran. Dari Barat hingga Timur, tidak ada beza polis dalam bertindak. Yang mereka tahu ialah membelasah, memukul dan menembak ke arah demonstran yang tidak bersenjata.


Di Malaysia tindakan polis sejak dari penjajah hingga 55 tahun selepas merdeka masih sama. Pokoknya polis yang melakukan tindakan masing-masing akan dipertahankan oleh ketua mereka. Paling tidak kerajaan akan tetap mempersalahkan demonstrasi rakyat kerana takut kuasa yang dipegang selama ini akan terlepas akibat kemarahan rakyat terhadap pelbagai kepincangan.


Tindakan ganas polis selalunya dijustifikasi oleh pihak atasan dan pemimpin parti politik pemerintah. Akhirnya rakyat jugalah yang dipersalahkan. Kadang-kadang menambahburukkan lagi polis yang berpakaian awam turut bertindak ganas membelasah dan menangkap orang ramai secara rambang.


Di Malaysia hal inilah yang disaksikan setiapkali demonstrasi diadakan atas pelbagai isu.


Bersih 3 .0 memperlihatkan senario yang sama. Polis cuba mempertahankan sebuah bidang dataran yang kosong hanya kerana arahan kerajaan tidak mahu melihat rakyat berhimpun di lokasi paling ikonik di negara itu.

Dari apa yang dilihat ketika Bersih 3.0 diadakan pada 28 April yang lalu  polis kelihatan bertindak bukan sahaja untuk menghalang pendemonstran ke Dataran Merdeka , malah menembak gas pemedih mata dan air kimia di luar kawasan Dataran Merdeka.

Tindakan polis nampaknya hilang pertimbangan malah tidak lagi mempedulikan prinsip undang-undang negara yang membenarkan rakyat berhimpun dengan aman.

Perhimpunan itu pasti aman jika polis tidak bertindak menembak dan mula mengejar dan memukul peserta demonstrasi. Malah secara membabi buta menangkap dan memukul siapa sahaja ikut suka, tidak kira ia wartawan atau orang biasa.

Tidak mungkin semua pemerhati dan saksi yang melihat dengan mata kepala sendiri cara polis bertindak ganas dapat menutupi kejadian sebenar. Apatah lagi jika dikumpul semua yang menjadi mangsa kepada tindakan polis memberi keterangan mengenai apa yang berlaku.


Ini bukan kali pertama kita menyaksikan senario polis bertindak keterlaluan. Dari demonstrasi menentang Israel dan US, penghinaan terhadap Islam, menentang ISA, membantah PPSMI, tuntutan Bersih, rakyat dapat melihat keganasan yang berlaku oleh polis.

Demonstrasi biasanya bermula dengan aman menuju ke lokasi. Namun polis dan FRU siap dengan water cannon, belantan  dan senapang penembak gas pemedih mata sering mengintimidasi demonstran, yang sering berakhir dengan tembakan dan memburu peserta demonstrasi.


Dengan tidak menafikan bahawa dalam puluhan  ribu  yang hadir sudah tentu ada yang bertindak secara sendirian kerana tidak dapat menahan kemarahan, namun bila polis mula bertindak menembak dan memukul serta membelasah peserta, keadaan pasti tidak boleh dikawal lagi.


Mapim menyelar ada polis yang dibiar oleh pegawai tinggi yang turut serta, tidak membuat apa-apa bila ada polis yang memukul, menendang dan melakukan keganasan ke atas peserta secara keterlaluan.


Kenyataan PM mengatakan bahawa polis yang menjadi mangsa, bukan peserta demonstrasi adalah kenyataan yang menghina puluhan rakyat yang dipukul tanpa belas kasihan. Bila beliau mengatakan semua pihak jangan membuat rumusan sebelum siasatan dilakukan bermakna beliau juga sepatutnya tidak dengan mudah menuduh mereka yang berdemonstrasi dengan kata-kata keras.


Mapim juga menyelar pemimpin kerajaan yang memperalat anggota polis bila berhadapan dengan kemarahan rakyat. Memperguna polis untuk berhadapan dengan rakyat hanya kerana mahu mengekal kuasa adalah tindakan yang jijik.
Seterusnya >>>

Wujud task force, PRU13 ‘ibu segala penipuan’


KUALA LUMPUR, 15 April: Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) menuntut supaya siasatan dilakukan segera ke atas dakwaan Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar bahwa wujud sebuah task force mengenai pemberi kad pengenalan kepada warga asing yang didalangi oleh pejabat Perdana Menteri.

“Pendedahan ini amat serius dan melibatkan keselamatan dan kedaulatan negara,” kata Setiausaha Agung Mapim, Mohd Azmi Abdul Hamid.

Katanya, dakwaan Mahfuz yang sangat berat itu melibatkan pendedahan nama-nama orang tertentu yang dikatakan terbabit.


Beliau berkata, walaupun mereka telah mengumumkan penafian bahawa mereka tidak terlibat, namun isu utama yang dibangkitkan ialah wujudnya task force untuk tujuan memberi kad pengenalan kepada warga asing untuk tujuan pilhanraya.

“Isu inilah yang perlu mendapat reaksi jelas dari pihak kerajaan,” ujarnya dalam satu kenyataan.


Menurutnya, jika benar wujud task force tersebut sebagaimana yang didakwa oleh Mahfuz, maka Mapim menggesa sebuah Suruhanjaya Diraja diwujudkan untuk menyiasat secara terperinci aktor-aktor utama dalam operasi pemberiaan kerakyatan tersebut.


“Kami mendapati sejak pendedahan diumumkan oleh Mahfuz ternyata tidak ada reaksi  dari pihak PM mahupun Menteri Dalam Negeri,” ujarnya.


Jika demikian, ujarnya rakyat tidak ada pilihan lain selain menyangsi kejujuran pihak kerajaan yang telah menggadai kedaulatan negara ini kepada pihak asing hanya kerana mahu memenangi pilihan raya.

Justeru, katanya Mapim merumuskan operasi task force yang didakwa wujud itu boleh menyebabkan Pilihan raya Umum ke-13 yang bakal berlaku akan dicemari oleh pengundi yang didatangkan dari warga asing tetapi mempunyai kad pengenalan.

Tambahnya, jika mereka dilibatkan dalam pendaftaran pengundi, bermakna PRU13 nanti akan merupakan ‘ibu segala penipuan’ yang digunakan oleh pihak kerajaan untuk meraih kemenangan paling kotor dalam sejarah pilihan raya umum di negara ini.

“Mapim menyokong penuh tuntutan menubuhkan sebuah Suruhanjaya Diraja untuk menyiasat secara mendalam mengenai operasi di belakang tadbir ini supaya PRU13 yang akan datang tidak akan dipersoalkan oleh rakyat nanti.


Mohd Azmi menambah, adalah tidak mustahil jika isu pembersihan daftar pengundi tidak benar-benar ditangani dengan jujur secara tuntas oleh SPR, memboikot PRU13 mungkin menjadi pilihan rakyat.
Seterusnya >>>