Showing posts with label Ketua Pemuda PAS. Show all posts

Setiap kenaikan bebankan rakyat, Najib faham tak?


KUALA LUMPUR: Kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Najib bahawa kerajaan BN akan memastikan kadar kenaikan tol- yang belum dimuktamadkan itu- tidak akan membebankan rakyat, sekali lagi mengguris hati rakyat terbanyak.
Ketua Pemuda PAS Malaysia, Suhaizan Kaiat berkata, pemimpin BN seharusnya memahami bahasa rakyat bahawa 'setiap kenaikan adalah membebankan'.

Menurutnya, pada rakyat tiada istilah 'kenaikan yang tidak membebankan' dan kenyataan itu hanya keluar dari mulut-mulut menteri BN sejak sekian lama, sedangkan rakyat yang menanggung beban.

"Kita masih ingat, sebelum pilihan raya dahulu mereka janji akan menurunkan tol secara berperingkat.

"Tapi hari ini, mereka tidak menunaikan janji itu apabila bertindak mahu menaikkan lagi kadar tol tersebut," katanya kepada Harakahdaily.

Perdana Menteri semalam menegaskan bahawa kerajaan belum membuat keputusan mengenai kenaikan kadar tol dan pertimbangan mengenai perkara itu hanya akan diputuskan selepas kajian makmal secara mendalam dilakukan.

Najib berkata, kajian makmal itu penting kerana kerajaan mahu pendekatan terbaik bagi memastikan 'pengguna tidak terbeban' jika pengumuman kadar baharu tol terpaksa dibuat kerana penangguhan kenaikan seperti dituntut konsesi telah dilaksanakan sejak 2008 lagi.

Mengulas lanjut perkara itu, Suhaizan berkata, jika BN sebuah kerajaan yang bertanggungjawab menjaga kebajikan rakyat, langkah yang sewajarnya diambil adalah mengkaji untuk menurunkan harga sekaligus menghapuskan tol pada masa akan datang dan bukannya mengkaji untuk terus dinaikkan.

"Inilah yang kita lihat kelemahan ketara kerajaan BN hari ini. Semua benda yang dibuat kajian oleh makmal kajian adalah untuk tujuan dinaikkan harga.

" Petrol naik, tol naik, gula naik, elektrik naik, gas memasak naik, ais naik dan kita jangka beberapa barangan lagi akan naik.

"Ini tidak termasuk kesan berantai dari kenaikan itu yang menyebabkan kos perkhidmatan, barangan keperluan harian serta harga makanan meningkat mendadak," katanya.
Beliau juga menegaskan,jika pemimpin BN sukar baham bahasa keluhan rakyat, maka rakyat bersedia untuk menggunakan bahasa 'jalan raya' untuk membuat bantahan.
Seterusnya >>>

Media arus perdana semakin durjana


KUALA LUMPUR : Hanya kerana haloba pengaruh dan kesumat politik, media arus perdana turut ‘merusuh’ lalu menyerang Pakatan Rakyat dan pemimpinnya tanpa mempedulikan lagi batas dan etika kewartawanan.
Ketua Pemuda Pemuda PAS Malaysia, Nasrudin Hassan berkata, politik lucah dan fitnah terus menjadi ‘senjata terdesak’ mereka untuk menghadapi kebangkitan rakyat mendepani pilihanraya umum kelak.


“Menyedari kedudukan mereka yang semakin hilang pengaruh dan pembaca, hanya lucah dan fitnah sebagai headline yang dilihat mereka boleh menyelamatkan reputasi yang telah menjunam,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Tambahnya, tanpa  mereka sedar bahawa itulah menjadikan politik lucah dan fitnah  sebagai bahan yang meletakkan mereka semakin jauh dari hati dan naluri rakyat.


Sebelum ini, katanya Utusan Malaysia dengan politik lucah dan fitnahnya yang melampau dan hari ini New Straits Times pula dengan provokasi yang keterlaluan tanpa asas menghilangkan kepercayaan dan menjatuhkan kredibiliti mereka di mata rakyat apabila menyiarkan kenyataan mantan Ketua Polis Negara yang mengkafirkan Tuan Guru Nik Abdul Aziz apabila memuatkan artikel bertajuk Nik Aziz is Father of Kafir.

“Anak muda pastinya semakin mual dan muak dengan politik tanpa panduan akal dan politik di bawah sedar seperti ini,” ujarnya.

Apa yang pasti, katanya mereka kembali menggunakan taktik dan teknik yang sama sewaktu mendepani pilihanr aya umum 2008 yang membuatkan mereka jatuh teruk.

Menurutnya klagi, mereka agak benak untuk belajar dari kelemahan dan kesilapan lalu atau mereka memang bermaksud mahu jatuh lagi.
.
Seterusnya >>>

Anak muda makin berani perjuangkan hak

Anak muda makin berani perjuangkan hakRANTAU PANJANG- Momentum sokongan anak muda kepada PAS dan Pakatan Rakyat semakin jelas sekarang apabila mereka mempamerkan keberanian memperjuangkan hak.
Ketua Pemuda PAS Pusat, Nasruddin Hassan berkata, berdasar kepada siri jelajah ke banyak negeri didapati golongan muda terutamanya mahasiswa dan pelajar peringkat menengah mulai memperlihat kecenderungan politik mereka.
Katanya, negeri yang telah dijelajahi Pemuda PAS yang bermula di Wilayah Persekutuan, Melaka, Negeri Sembilan dan Pahang menampakkan reaksi positif anak muda.
“Malah pada pertemuan dengan anak-anak muda, Pemuda PAS menekankan pentingnya memberi sokongan kepada PAS dan Pakatan Rakyat pada pilihan raya umum ke-13 demi masa depan mereka.
“Anak muda perlu memikirkan sungguh-sungguh tentang kerajaan yang akan memerintah nanti,” katanya selepas majlis pelancaran buku 100 Sebab Kenapa Umno Wajib Ditolak di pusat khidmat Adun Gual Periok, malam tadi.
Beliau juga berkata, Pemuda PAS Pusat kini dalam proses mengambil tindakan undang-undang terhadap Pengerusi Perhubungan Umno Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said ekoran tuduhannya PAS parti ajaran sesat.
Nasruddin berkata, proses ke arah tersebut sedang dilakukan selepas mendapat pandangan barisan peguam.
“Kita telah membuat laporan polis, jadi kita akan meneruskan tindakan saman tidak lama lagi,” ujarnya.
Hadir sama di majlis berkenaan Ketua Pemuda PAS Kelantan, Abdul Latiff Abdul Rahman, Ketua Penerangan, Ahmad Fadhli Ashaari, Ketua Pemuda PAS Rantau Panjang, Zamakhsari Muhamad dan Adun Gual Periok Mohamad Awang.
Sebelum ini Ahmad yang juga Menteri Besar Terengganu menganggap PAS parti ajaran sesat pada satu program di Kampung Kijal awal Februari lalu.
Malah baru-baru ini Umno Terengganu turut mengadakan seminar mengenai tema berkenaan.
Seterusnya >>>

Kaitkan Kes Hina Raja – Umno/BN Tandus Isu



SHAH ALAM 16 APR : Dakwaan kononnya pemimpin pembangkang menghina Raja-raja Melayu sengaja digembar-gemburkan untuk mengaburi mata rakyat daripada pendedahan demi pendedahan kecacatan Umno/BN selain turut bertindak sebagai senjata perkauman menjelang Pilihanraya Umum akan datang ini.
Ketua Pemuda PAS, Nasrudin Tantawi menjelaskan mainan politik murahan sebegini sememangnya sudah dijangka memandangkan Umno/BN ketandusan idea untuk mencari kelemahan Pakatan Rakyat.
“Inilah alternatif terdesak mereka bagi mengalih pandangan rakyat daripada segala penyelewengan dan kepincangan kerajaan pimpinan mereka ketika ini.
“Isu yang cuba dibangkitkan ini juga adalah antara isu mudah untuk menarik perhatian rakyat kerana ini isu sensitif berkaitan institusi Kesultanan dan Raja-raja Melayu.
“Namun, dakwaan yang dibuat itu tidak disertakan dengan bukti walhal menjadi prinsipnya sesuatu tuduhan itu mestilah dinyatakan dengan bukti dan sokongan, bukan sekadar kata-kata seperti budak-budak sekolah yang tidak matang,” ulas Nasrudin ketika dihubungi melalui panggilan telefon petang tadi.
Mengulas lanjut mengenai isu berkenaan, Nasrudin berkata, Umno/BN sendiri dalam catatan sejarah telah berulang kali melakukan kebiadapan terhadap Institusi di Raja.
“Contoh paling jelas ialah sewaktu pemerintahan Tun Dr. Mahathir sehingga golongan Raja-raja pada ketika itu begitu terpukul dan malu dengan tindakan beliau sewenang-wenangnya menidakkan bidang kuasa Sultan.
“Begitu juga keadaan yang berlaku di Kelantan suatu ketika dahulu mengenai krisis pertabalan Sultan selain ucapan provokasi mereka terhadap Sultan. Ini semua kebiadapan yang jelas oleh Umno/BN,” sambung Nasrudin.
Beliau turut yakin Pakatan tiada masalah mengenai cadangan untuk diadakan Siasatan Diraja bagi menyiasat dakwaan yang dilemparkan Umno/BN asalkan ianya dilakukan secara telus dan adil.
“Jika benar ingin disiasat, harap ia dijalankan dengan saluran yang betul dan tiada motif politik menjatuhkan atau menganiaya pihak lain.
“Bagaimanapun, saya yakin pimpinan Pakatan tidak melakukan perkara seperti didakwa kerana sejak awal kami meletakkan rasa hormat yang tinggi terhadap Raja-raja berasaskan peruntukan undang-undang dan perlembagaan negara,” akhiri Nasrudin.
Seterusnya >>>

Pemuda PAS berdepan Utusan esok

NONEPemuda PAS akan menghantar memorandum bantahan kepada pihak pengurusan Utusan Malaysia di ibu pejabatnya di Cheras berhubung penyiaran kartun yang dianggap menghina Islam.

Ketua Pemudanya Nasrudin Hasan akan mengetuai delegasi 10 orang dewan itu yang mahu bertemu dengan pihak akhbar berkenaan bagi mendapatkan penjelasan berhubung lanjut.

"Kita akan menyerahkan memorandum supaya mereka mengambil tindakan terhadap pelukis karikatur itu. Kita mahu minta penjelasan mengapa ia boleh terlepas atau tidak ditapis atau ia mengikut kehendak pihak tertentu," kata setiausahanya Khairul Faizi Ahmad Kamil.

Beliau memberitahu Malaysiakini, pihaknya juga akan menuntut Utusan memohon maaf dan menarik balik penyiaran kartun itu.

Semalam akhbar milik Umno itu pada halaman 15 menyiarkan kartun bertajuk 'Kekeliruan Kes Rogol' karya Miki.

Lakaran pertama mengambarkan seorang gadis yang mendakwa dirinya dirogol dan dikatakan mempunyai bukti dalam bentuk rakaman video telefon tetapi ditolak oleh "tok penghulu" kerana tidak mempunyai empat saksi.

Lakaran kedua itu pula menunjukkan lukisan gadis yang sama membawa aduan berkenaan kepada seorang anggota polis yang menerima aduan berkenaan.

Khairul Faizi berkata, delegasi pada jam 9 pagi esok dijangka diiringi 100 ahli dan penyokong parti itu dari sekitar Lembah Kelang.

Sementara itu, Nasrudin dilaporkan berkata, sekiranya desakan mereka itu tidak dihiraukan, Pemuda PAS akan mengadakan bantahan lebih keras melalui demonstrasi besar-besaran.

"Karikatur itu jelas mempersendakan hukum dan agama Islam, apabila ia dilukis dengan memberi mesej dan gambaran hukum Islam sangat lemah sedangkan hukum Islam itu datangnya dari Allah, sifatnya adil dan pelaksanaannya sudah terbukti berkesan," beliau dipetik sebagai berkata kepada Harakahdaily.

Tegasnya, penyiaran kartun sebegitu merupakan kesalahan besar yang tidak boleh dibiarkan.
Seterusnya >>>

‘Utusan pemangkin fikiran Umno, bukan pemangkin fikiran rakyat’


KUALA LUMPUR, 11 Mei — Ketua Pemuda PAS Nasrudin Hasan berkata Utusan Malaysia sudah tidak layak dikenali sebagai akhbar “pemangkin fikiran rakyat”, sebaliknya hanya wajar bertindak sebagai “pemangkin fikiran Umno” ekoran laporan-laporan tidak berasas termasuk kononnya komuniti Kristian mahu menjadikannya agama rasmi negara ini.
“Sebahagian rakyat mula menunjukkan reaksi mual dan tidak selesa mereka terhadap sikap dan pendekatan Utusan Malaysia pada hari ini.
“Layaknya Utusan Malaysia menjadi ‘Pemangkin Fikiran Umno’ bukan ‘Pemangkin Fikiran Rakyat. Justeru, ia kini menjadi seratus peratus lidah rasmi Umno bukan lagi menjadi media umum yang perlu diakses oleh seluruh rakyat.
“Sebaliknya Utusan Malaysia dicadangkan agar ditulis besar pada penjuru kirinya ‘Untuk Ahli Umno Sahaja’,” kata beliau dalam entri terbaru blognya hari ini.
Nasrudin berkata beliau percaya andai trend semasa ini kekal dan berlarutan, Utusan Malaysia akan kehilangan pembeli dan pembaca popularnya dan Sinar Harian akan menjadi tumpuan masyarakat teramai dan hitnya akan jauh mengatasi Utusan Malaysia.
“Tinggallah Utusan Malaysia dengan keangkuhannya dan ditindih perasan serta syok sendiri yang ketara,” kata Ketua Pemuda PAS itu menyentuh laporan muka depan Utusan Malaysia Sabtu lalu bertahuk “Kristian agama rasmi?”
Katanya, sementara tidaklah mengapa jika Utusan Malaysia mahu mengkritik pembangkang biarpun secara demokratiknya keadaan masih berat sebelah, tetapi biarlah “benar, tepat dan berfakta.”
“Jika tersilap, segera memohon maaf dan siarkannya secara terbuka pula,” katanya lagi.
“Saya tidak perlu menjadi konsultan percuma buat Utusan Malaysia, justeru usia mereka di arena kewartawanan ini sayugianya mereka mampu menilai dan dewasa dalam bertindak.
“Saya sendiri mula diserang rasa rugi membeli Utusan Malaysia yang mula merosot teruk nilai informasinya,” kata Nasrudin sambil menambah, “Utusan Malaysia kini hanya sarat dengan laporan bersifat provokasi, lucah, berita jenayah dan hiburan.”
“Sementara laporan bernilai informasi yang membangun minda dan membina spiritual terlalu minimum,” katanya.
Dalam tulisannya yang turut diedarkan kepada media, beliau berkata, kebelakangan ini, Utusan Malaysia bagai “dirasuk” dengan persembahan tajuk yang agak liar dan bersifat provokatif tanpa mengambil kira kesan langsung yang bakal dihadapi oleh negara dan rakyat seluruhnya.
“Jelas kelihatan seperti Utusan Malaysia tidak sabar-sabar mahu menunjukkan wajah sebenarnya sebagai alat ‘misionery’ pihak tertentu apabila Utusan Malaysia bukan sahaja sanggup mengenepikan etika kewartawanan yang bernilai tinggi tetapi tergamak mempalit wajahnya dengan laporan bertaraf jalanan dan berita bertaraf lucah,” katanya lagi.
Malah tulisannya juga berkata, “saya tidak menafikan seketika dulu, Utusan Malaysia pernah menjadi akhbar terbilang di rantau ini, namun malang sejak mutakhir ini prestasinya menjunam teruk dengan taraf dan standard berita yang kian runtuh etika dan susut nilainya pada mata masyarakat berinformasi.”
“Slogan Utusan Malaysia ‘pemangkin fikiran Rakyat’ kini menjadi ‘pencelaru fikiran rakyat’.
Katanya, ketika negara ini ada undang-undang dan peraturan sementara negara juga memiliki pendakwa raya, mahkamah dan hakim, “kenapa Utusan Malaysia pula yang mengambil alih tugas sebagai pendakwa raya, mahkamah dan hakim.”
“Negara akan runtuh peradabannya jika perkara ini dibiarkan berlarutan dan berleluasa,” katanya.
“Terkini Utusan Malaysia menyiarkan berita mengenai kononnya terdapat usaha untuk mengkristiankan negara dengan menjadikan Kristian sebagai agama rasmi.
“Lebih malang, berita itu hanya dipetik dari sebuah blog yang tidak bertanggungjawab. Tanpa mempedulikan implikasi dari laporan yang dibuat, Utusan Malaysia akhirnya menjatuhkan tarafnya dan duduk sama ranking dengan blog nyamuk,” kata beliau lagi.
Seterusnya >>>

Hub hiburan: Pemuda PAS sifatkan mundur, jahiliah

Tindakan pentadbiran Datuk Seri Najib Razak menjadikan Malaysia hub pusat hiburan malam dilihat sebagai ekonomi ‘pumping' (turun naik), kata Ketua Pemuda PAS Pusat, Nasrudin Hasan Tantawi.
"Jika benar apa yang dilakukan oleh kerajaan ini, peringkat awal mungkin ia akan dapat menjana pendapatan tetapi kesan sosial yang diterima akan menjadikan kita rugi besar," katanya ketika dihubungi petang tadi.
Katanya, kerajaan terpaksa pula membelanjakan sejumlah wang yang besar untuk kempen dan menangani masalah keruntuhan sosial seperti masalah buang bayi, penyakit Aids, penyakit kelamin dan lain-lain masalah sosial.
"Ini kerja sia-sia, kerja korek dan kemudian timbus. Pertumbuhan gejala sosial juga akan parah daripada apa yang sedia parah.
"Ini sebenarnya nak membawa Malaysia ke arah kehancuran kerana dia lupa modal insan merupakan asas yang sangat penting untuk menjadi negara maju," tegas beliau dalam nada yang kecewa.
Nasrudin juga melihat apa yang dirancang oleh kerajaan pimpinan Najib sebagai suatu yang mundur, bersifat jahiliah dan tidak sepatutnya terfikir oleh seorang pemimpin di dunia moden kini.
"Langkah ini, langkah mundur kebelakang kerana negara sepatutnya dipacu untuk menjadi negara maju kehadapan dengan mendidik rakyat kerja keras dan menjadikan rakyat berdikari, rajin dan bermoral, tetapi malan dia mahu menjadikan rakyat malas, bodoh dan tenggelam dalam dunia hiburan," katanya.
Nasrudin juga hairan pada masa Najib menjadi Perdana Menteri, beliau memperbanyakkan program-program hiburan, berbeza dengan zaman Dr Mahathir yang tidak menjadikan hiburan sumber utama dalam penjanaan ekonomi.
"Saya bukan menolak hiburan, tetapi menjadikan hiburan sebagai suatu tumpuan, industri besar akan melumpuhkan modal insan dan kerajaan pula terpaksa membelanjakan perbelanjaan yang besar untuk membangunkan modal insan," tambahnya.
Seterusnya >>>

IFF: Ulama Muda Umno Keliru- Nasaruddin Tantawi

KUALA LUMPUR 24 OKT: Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Nasaruddin Tantawi menyifatkan kenyataan ulama muda Umno, Fathul Bari Mat Jahya mempertahankan Datin Seri Rosmah Mansor berkenaan penganjuran Islamic Fesyen Festival(IFF)  sebagai keliru.

Dakwanya adalah sesuatu yang amat mendukacitakan, kerana yang pertama beliau menyedari dan mengetahui bahawa perkara itu adalah mungkar dan maksiat.

"Fathul mendakwa yang bersalah adalah penganjur dan Rosmah hanyalah penaung sahaja. Saya rasa beliaupun keliru dengan ucapannya sendiri.

"Sebagai seorang yang berilmu sudah tentu beliau menyedari pelaku dan penaung maksiat adalah sama. Sebab disana ada unsur subahat.

"Terutama penaung itu adalah pemimpin yang bergelar 'first lady' dalam negara.(meminjam Istilah yang didakwa Rosmah)," katanya.

Tambahnya lagi, sepatutnya ulama muda itu perlu menasihati Rosmah yang hadir bersama suaminya Datuk Seri Najib Razak dalam majlis Islamic Fesyen Festival tersebut.
"Bukan setakat hadir tetapi menyampaikan ucapan dan menyampaikan sumbangannya kepada penganjuran tersebut. Sudah tentulah ia perlu bertangggungjawab, mengapa perlu dibezakan di antara penganjur dan penaung. Saya rasa ini satu kenyataan yang tidak bertangggungjawab dari seseorang yang berilmu," ujarnya.

Berkata kepada TV Selangor, Nasaruddin juga mengingatkan Rosmah memang kenyataan ulama muda itu menyenang dan menyeronokkan beliau kerana membela tindakannya. 

Tetapi yakinlah ulama seperti itu tidak membawa kebaikan kepada Rosmah kerana tidak berani menasihati dan menegurnya dari terlibat dalam program maksiat dan mungkar yang tidak menepati syariat Islam tetapi kononnya bersandar kepada Islam.

"Ini merupakan satu kesalahan besar dan satu jenayah dalam agama, iaitu mengistiharkan sesuatu yang tiada dalam agama sebagai agama. Sesuatu yang tidak datang dari Islam tetapi dikatakan Islam. Ini sesuatu yang serius," suaranya tegas.

Bercakap dakwaan bahawa golongan agama perlu menasihati penganjur mengapa perlu berbuat demikian sebelum memberi teguran. Nasaruddin, menjelaskan ulama muda itu menggunakan kaedah yang songsang.

Sepatutnya beliau kena tegur pihak penganjur sebelum melakukan sesuatu aktiviti mereka perlu tanya ulama dahulu, berkenaan hukum syariat sama ada ia dibenarkan, bercanggah atau pun tidak dengan Islam.

Bukan apabila mereka buat kemudian bertentangan dengan Islam kemudian orang bantah dan perlu tanya pula mengapa dia buat. Ini satu kaedah yang sonsang.

Kes ini menjadi besar kerana ia membabitkan pemimpin utama negara dan melibatkan kepentingan umum.

Sebelum ini Fathul Bari yang berucap kali pertama dalam perhimpunan agung Umno berkata, manusia sentiasa dituntut meneliti terlebih dahulu sama ada sesuatu kesilapan itu  dilakukan dengan sengaja atau pun tidak.

Beliau juga menyelar pembangkang kerana mengecam tindakan Rosmah menaungi Festival Busana Islam (IFF) - yang mencetuskan kontroversi - tersasar daripada konsep agama sebagai nasihat.

Dakwanya, pembangkang sengaja membesar-besarkan isu itu sambil meletakkan sepenuhnya kesalahan atas bahu Rosmah tanpa menyiasat terlebih dahulu perkara itu.

Sekurang-kurangnya empat perhimpunan aman anjuran Dewan Pemuda PAS diadakan di tiga negeri sebagai membantah tindakan Rosmah yang didakwa menghina syariat Islam dan Rasulullah dalam penganjuran festival itu di Monte Carlo 9 Ogos lalu.

Demontrasi itu berlangsung di masjid-masjid di Pahang, Kuala Terangganu dan dua masjid di Pulau Pinang.
Seterusnya >>>

Ulama muda Umno patut nasihat, bukan kipas

KUALA LUMPUR, 23 Okt: "Ulama muda Umno sepatutnya menasihati pemerintah dan pembesar, bukan mengipasnya dalam perkara yang beliau sendiri tahu ia salah," kata Ketua Pemuda PAS Pusat, Nasrudin Hasan ketika memberi respons kepada kenyataan Fathul Bari yang berucap dalam perhimpunan Agung Umno di PWTC, hari ini.
Nasrudin berkata, semua orang yang menyaksikan bentuk persembahan Festival Busana Muslim (Islamic Festival Fashion) itu melihat pertunjukan tersebut bercanggah dengan Islam.
"Apa yang kita bantah ialah pertunjukkan fesyen  yang kita saksikan melalui satu siaran yang disiarkan oleh CNN dan juga melalui laman web IFF sendiri," katanya ketika dihubungi tadi.
Beliau memberitahu bahawa Pemuda PAS dan NGO Islam bukanlah bertindak melulu tetapi Datin Seri Rosmah Mansor sebagai penaung yang hadir dalam majlis tersebut mesti bertanggungjawab, memohon maaf, bertaubat dan tidak mengulangi kesilapan tersebut.
"Sering kali orang pertikai kenapa bantah mungkar itu, kenapa tidak tanya dulu penganjur dan penaungnya?
“Kalau saya tanya kembali masa putuskan (untuk) menganjurkannya mengapa tidak tanya ulama dahulu?
"Sepatutnya sebelum buat kena tanya dulu, bukan dah buat orang kena tanya mereka (penganjur dan penaung) mengapa mereka buat," katanya.
Beliau juga melihat tindakan Fathul Bari mempertahankan Rosmah itu sebenarnya akan terus mengheret pemimpin itu kekal dalam maksiat.
Ulama muda Umno tersebut juga dilihat cuba membersihkan Rosmah yang menaungi penganjuran itu agar kesalahan itu ditanggung oleh penganjur.
"IFF boleh terus berkarya menghasilkan reka fesyen selama mana ia tidak bertentangan dengan Islam dan Datin Seri Rosmah boleh menaunginya tanpa halangan selama mana ia tidak mengulangi penganjuran seperti di Monte Carlo," tambahnya.
 Dewan Pemuda PAS juga, ujarnya akan memberikan pandangan bertulis yang berasaskan Islam kepada penganjur mengenai perkara itu. 
Timbalan Ketua Lajnah Ulama Pelapis Dewan Ulamak PAS Pusat, Ustaz Azhar Yahya dalam kenyataannya pula menganggap tindakan IFF itu secara spontan telah mengguris perasaan para pecinta Rasulullah s.a.w. dan pendokong syariat Islam.
Katanya, sekiranya Rosmah tidak mahu bertanggungjawab jangan sesuka hati hendak menjadi penaung kepada program seperti itu.
"Fathul Bari bila dikalungkan sebagai ulama muda, maka pastinya akan mempertahankan pengalungnya.
"Kini isteri pengalungnya sedang dipaliti najis yang dinamai kononnya Islamik, maka tidak hairanlah Fathul Bari muncul dengan megahnya di PWTC membelai manja para perwakilan kononnya pembangkang tidak berakhlak Islam," katanya.
Seterusnya >>>