KUALA LUMPUR 17 APRIL: Sempena perdebatan Datuk Seri Anwar Ibrahim
dengan Datuk Seri Najib Razak yang dijadual berlangsung malam ini,
pengguna di laman facebook Ketua Umum KEADILAN dilihat meragui serta
memperlekeh keberanian Perdana Menteri untuk hadir.
Kira-kira 8,000 pengguna menyukai foto Anwar yang ditandakan ‘HADIR’ manakala foto Najib pula diletakkan tanda soal.
Grafik tersebut dipapar dalam facebook Anwar pada semalam.
Salah seorang pengguna, Tam Sem Hoong yang mengulas foto tersebut
menulis, “Najib pun tak berani debat dengan Rosmah (Mansor), macam mana
nak debat dengan Anwar”.
Tok Ayah Li pula menulis, “Najib mana berani…Cakap berdegar-degar kat TV. Ajak debat takut…”.
Seorang lagi pengguna, Zaidi Mahat mengulas, “Penakut.. Mana berani
dia datang…Macam inikah sikap ketua BN? Nahaslah rakyat kalau pilih
pengecut jadi pemimpin. Kalau perang dia lari dulu…Hampeh!”, demikian
antara komen yang disusuli 600 ulasan lain.
Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) pada 11 April lalu
mempelawa Anwar dan Najib untuk membentangkan manifesto masing-masing
dalam program debat yang berlangsung 8.45 malam ini bertempat di Dewan
Perhimpunan Cina Kuala Lumpur-Selangor.
Anwar mengesahkan kehadiran melalui jadual dan laman facebooknya
Isnin lalu yang bertulis ‘Saya akan hadir’, dan status tersebut mendapat
5,277 jumlah ‘LIKE’.
Terbaru, kira-kira jam 6.55 minit petang ini, Anwar sekali lagi mengulangi pemberitahuan akan hadir ke program itu.
“Malam ini selepas acara di Dewan Perhimpunan Cina KL-Selangor, saya
akan ke Desa Pinggiran Putra dekat Putrajaya – ceramah bersama TG Nik
Aziz, Dato’ Husam dan sdr Borhan Aman Syah,” tulis Anwar di facebook.
Bagaimanapun, sehingga berita ini ditulis, Najib masih belum memberi
sebarang kata putus, malah beliau dilaporkan akan menghadiri program
pelancaran manifesto BN di Pusat Konvensyen Shah Alam.
Dalam perkembangan sama, Bersih dilaporkan akan membuat satu kejutan kepada hadirin jika Najib atau wakilnya gagal hadir.
“Kami masih menanti (maklum balas Najib) dan jika sehingga akhir
tiada jawapan (dari Najib), kami akan persembahkan satu ‘kejutan’ buat
hadirin pada forum malam ini,” kata Ahli Jawatankuasa Pemandu Bersih,
Maria Chin Abdullah dipetik. – NS
Seterusnya >>>
KUALA LUMPUR 18 Julai: Alasan kerajaan kononnya perdebatan sesuai
dibuat di Parlimen hanya untuk menutup ketakutan Datuk Seri Najib Razak
berdebat bersama Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ketua
Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Selangor, Azmizam Zaman Huri berkata,
keengganan Perdana Menteri itu tidak perlu ditutupi kerana umum tahu
seberapa banyak alasan pun, pokoknya, Najib memang takut berdebat.
“Sebab itulah mereka takut berdebat. Lagi banyak cakap, lagi banyak
keburukan terkeluar. Tambah pula, mereka tidak boleh menjawab isu-isu
yang dibawa Pakatan Rakyat.
“Mereka (Umno) tahu PR kalau bercakap, lebih banyak fakta. Itu semua
alasan mereka takut debat. Sekarang rakyat hanya tunggu debat Najib
Razak dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya kepada Keadilan Daily.
Baru-baru ini, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengatakan perdebatan cukup hanya di Dewan Rakyat.
Azmizam menyifatkan kenyataan Muhyiddin itu sebagai dangkal malah memalukan dirinya.
Kata beliau, Muhyiddin perlu sedar negara ini tidak mengamalkan
ketelusan dalam laporan media terutama arus perdana, sebaliknya hanya
menyiarkan berita di pihak kerajaan.
“Memang berlaku perdebatan dalam Parlimen, tapi rakyat tidak pernah
tahu. Beliau juga lebih tahu laporan Parlimen yang disiarkan di TV telah
disunting.
“Kalau kita bandingkan dengan Taiwan, jika Parlimen bermula, mereka
wujudkan saluran TV khas secara langsung untuk rakyat menilai dan
mendengar perdebatan wakil rakyat mereka,” jelas Azmizam.
Tambah beliau, sikap berdolak dalik membuktikan Umno BN terlalu takut berdepan Pakatan Rakyat.
“Kalau Timbalanpun cakap debat lebih sesuai hanya di Parlimen, rakyat
patut fikir, layakkah beliau diangkat sebagai Perdana Menteri kelak.
“Pemimpin Umno perlu terima arus politik semasa, bukan lagi memberi seribu satu helah mengelak berdebat,” katanya.
.
Seterusnya >>>
Debat di antara Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dan Presiden
MCA, Chua Soi Lek, rentetan daripada debat pertama mereka sebelum ini
anjuran Institut Kajian Strategik dan Kepimpinan Asia (ASLI) membawa
sindiran cabaran debat di antara Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim kepada
Perdana Menteri Najib Razak.
Bukti
debat demi debat yang berlangsung di antara para pemimpin Pakatan
Rakyat dan Barisan Nasional memberi kepastian bahawa idea politik baru
bukanlah hal yang mengingkari norma masyarakat.
Sebelum ini, kita
disaksikan dengan penampilan tokoh politik muda Pakatan Rakyat, Rafizi
Ramli berdebat sepentas dengan Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin
berkenaan hala tuju pendidikan negara.
Debat sebagai permulaan era demokrasi matang
Debat
politik kini merupakan arus baru dalam mewadahi kredibiliti pimpinan
negara. Tradisi debat bukanlah omongan yang direkayasa, malahan sejarah
menyaksikan debat adalah suatu pentas yang membangunkan dhamir
pemimpin-pemimpin yang punya kredibiliti.
Debat adalah cerminan
para pemimpin untuk menaruh kepercayaan rakyat akan wawasan yang mereka
bawa. Tuduhan beberapa pemimpin UMNO termasuklah Najib sendiri yang
mendakwa debat tidak bersesuaian dengan norma masyarakat Malaysia adalah
kenyataan yang serong. Tindakan "menyelamatkan" diri Najib daripada
berdepan dengan Anwar Ibrahim nyata membuktikan Najib bakal dirundum
bala.
Debat sebagai "bukan" budaya kita sepertimana yang
dilaungkan Najib dan proksinya mempunyai asas yang lemah. Sebagai salah
seorang pimpinan utama Malaysia, alasan yang dihujani beliau supaya
terselamat daripada debat bersama Anwar Ibrahim menguatkan lagi bahawa
Najib tidak bersedia dengan seruan "transformasi" yang dia laungkan.
Mengapa?
Perubahan budaya politik
Pertama,
keadaan politik Malaysia sedia berubah ke arah yang lebih matang pasca
"Tsunami-Politik" dalam PRU 12. Ini terbukti apabila analisis terhadap
politik pasca 2008 sama sekali menggerakkan kelompok masyarakat sivil
untuk berpartisipasi di dalam arena politik negara. Kesannya, anjakan
kebudayaan politik baru bukan bertitik daripada kelompok parti politik
sahaja, tetapi gerakan masyarakat sivil mendapat lebih suara untuk
didengari di ruang awam.
Lantas,
kesan kesedaran politik baru ini berjaya melobi para pemimpin politik
supaya lebih matang. Salah satu ruang dalam menguji kematangan pemimpin
politik ini adalah menerusi interaksi dua hala seperti debat awam.
Bentuk interaksi politik sehala seperti ceramah yang akhirnya hanya
dihidupi dengan sentimen "maki-makian", monopoli politik terhadap media
ini tidak lagi disahut sebagai kebanyakan rakyat. Rakyat kini lebih
teruja untuk menyaksikan pertarungan idea diraikan di atas pentas yang
lebih adil dan saksama demi kemaslahatan bersama.
Bukan soal kalah menang
Kedua,
debat bukanlah wadah untuk menyaksikan kalah-menang. Barangkali Najib
terperangkap dengan persepsi ini. Jadi, cabaran debat dari Anwar
Ibrahim lebih dirasakan sebagai pertarungan kalah menang sokongan
rakyat. Sentimen sebegini merupakan kesalahfahaman terbesar terhadap
proses perdebatan ini.
Debat bukanlah kertas ujian yang
menjadikan teras kejayaan sesebuah parti politik. Misalnya, mantan
Perdana Menteri Britain, Tony Blair cukup dikenali sebagai pendebat yang
sangat mahir. Namun, dia bukanlah seorang Perdana Menteri yang
benar-benar berjaya. Dia kehilangan mandat rakyat Britain akibat
daripada dasar luarnya yang lemah terutamanya di dalam isu penglibatan
Britain dalam Perang Iraq-Amerika.
Debat bukan budaya kita?
Ketiga,
kesan globalisasi serantau membawa kepada faktor kenapa alasan Najib
bahawa "debat bukan budaya kita" sama sekali tidak terpakai. Najib
mungkin terlupa atau "buat-buat lupa" bahawa kita hidup di era
globalisasi. Pengaruh global mendorong keperluan para pemimpin untuk
berdebat bagi memastikan manifesto kepimpinan parti-parti politik yang
bakal bertanding pilihanraya wajib didengari dan diadili oleh semua.
Globalisasi
memberi pendedahan rakyat Malaysia kepada isu-isu semasa berkaitan
politik, sosioekonomi, sosial hanya menerusi teknologi internet. Jadi,
perkembangan demokrasi di negara-negara luar menyaksikan bahawa debat
bukanlah norma yang begitu ganjil dengan demokrasi.
Kebanyakan
negara yang menghuni demokrasi ternyata melihat debat sebagai acara
penting yang bermanfaat. Kita menyaksikan pemilihan presiden di Amerika
Syarikat seperti Barrack Obama dan John McCain, pemilihan Presiden
Perancis di antara Francois Hollande dan Nicolas Sarkozy serta debat
tiga penjuru parti politik di Britain antara David Cameron, Nick Clegg
dan Gordon Brown adalah kesediaan umum dalam mencorakkan perkembangan
politik yang bertemakan demokrasi.
Jadi, adakah janji Najib
memastikan Malaysia sebagai negara "first class democracy" dengan
menolak tawaran untuk berdebat dengan pesaing politik terdekat beliau
jauh meleset?
Debat khazanah intelektual kita
Keempat,
debat merupakan sebahagian khazanah intelektual negara kita. Menerusi
debatlah, banyak polisi-polisi awam dirangka. Misalnya, Debat
Kebudayaan yang berlangsung pada tahun 1968 di antara Prof Syed Naguib
Al-Attas dan Lim Kit Siang menjadi teras kepada Dasar Kebudayaan
Kebangsaan.
Jadi, hujahan yang mendakwa debat sebagai "tradisi"
yang direka-reka Pakatan Rakyat untuk mencalarkan norma masyarakat sama
sekali terpesong daripada fakta sejarah negara kita.
Debat juga
menzahirkan pemikiran dan hala tuju varsiti. Penulis percaya debat
adalah sebahagian daripada tradisi intelektual golongan cerdik-pandai/
mahasiswa untuk membina intergrasi sosial masyarakat Malaysia mencermati
isu-isu semasa secara matang dan professional. Dakwaan Najib dan
beberapa pimpinan UMNO sekali lagi gagal.
Mengapa ada Piala Tun Razak untuk pertandingan debat?
Kelima,
tindakan Najib mengalu-alukan program debat di kalangan mahasiswa
ternyata membuktikan bahawa debat adalah budaya kita. Jangankan tidak,
Najiblah orang yang bertanggungjawab merasmikan sekaligus
mempengerusikan Piala Tun Razak yang sememangnya menjadi rebutan para
pendebat siswa di universiti-universiti tempatan.
Sekali lagi Najib (gambar kiri) dalam tidak sedar mentertawakan dirinya yang sememangnya sudah ditertawai banyak pihak.
Jadi,
alasan yang dihujahkan Najib merupakan bahan jenaka yang menghakis
kredibiliti beliau sebagai seorang Perdana Menteri. Sekalipun tidak
bersedia untuk bertemu pesaingnya, Najib seharusnya lebih "bijak" dalam
menegaskan jawapan beliau apabila diajak berdebat bersama seteru
politiknya.
Kini, tindakan-tindakan lawak Najib menuju ke
persimpangan dan dilemma, apakah janji "transformasi" politik yang
digembar-gemburkan sebenarnya gurauan memperbodohkan diri sendiri?
Siri
demi siri debat sudah pun terlaksana, banyak pemimpin-pemimpin utama
Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional sendiri sudah ke hadapan untuk
berdebat sesama sendiri tentang polisi, idea dan wawasan yang
masing-masing bawa.
Kini rakyat Malaysia dahaga untuk melihat
tokoh pimpinan utama Malaysia sedia tampil berdebat di ruang awam demi
kesejahteraan bersama. Persoalannya sekarang, sanggupkah Najib?
-/ Roketkini.com.
.
Seterusnya >>>
KUALA LUMPUR 9 Julai: Kegagalan polisi kerajaan termasuk Bidang
Keberhasilan Utama Negara (NKRA), Program Transformasi Kerajaan (GTP)
serta Program Transformasi Ekonomi (ETP) punca Perdana Menteri, Datuk
Seri Najib Razak takut untuk berdebat, kata Timbalan Ketua Penerangan
KEADILAN, Sim Tze Tzin.
“NKRA
tak berfungsi, ekonomi tak memberangsangkan seperti yang dicatat Model
Ekonomi Baru telah membuktikan kegagalan Najib dalam memerintah. Sebab
itu beliau takut untuk berdebat dan membentangkan polisi kerajaan,”
katanya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pantai Jerejak itu turut
menyifatkan, keengganan Najib untuk berdebat dengan Ketua Umum KEADILAN,
Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah bukti kelemahan Najib sebagai ketua
pemimpin.
“Dah berkali-kali Najib mengelak untuk berdebat, itu menunjukkan kelemahannya sebagai seorang pemimpin.
“Bukan itu saja, anak muda juga merasa tidak yakin terhadap
kepimpinan Najib, sedangkan ahli politik muda seperti Rafizi (Ramli) dan
Khairy (Jamaluddin) boleh berdebat, kenapa tidak mereka yang lebih
berpengalaman?” soal Sim.
Beliau mengulas ‘Debat 2.0 DAP dan MCA: Dasar siapa memberi lebih
manfaat kepada negara?’ yang berlangsung semalam, menyaksikan
pertembungan kali kedua antara Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng
dan Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek.
“Guan Eng dan Soi Lek sudah dua kali berdebat, Anwar-Najib bila lagi?
Kawan-kawan saya dari Barisan Nasional pun ternanti-nanti,” kata Sim
lagi.
Dalam program debat itu juga, Guan Eng turut mencabar Najib berdebat dengan Anwar.
.
Seterusnya >>>
SHAH ALAM: Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub
berkata, Pakatan Rakyat tidak akan menghalang hak BN untuk
berdemonstrasi apabila Pakatan Rakyat diberi mandat mengusai Putrajaya.
Malah
menurutnya, Pakatan Rakyat juga akan memastikan SOP polis yang betul
diginakan pada himpunan yang akan diterajui Umno itu nanti.
"Kami akan bagi ruang pada BN nanti sekiranya kami kuasai Putrajaya.
"BN
yang ketika itu sebagai parti pembangkang akan dibenarkan berhimpun
atau melakukan demonstrasi secara aman tanpa ada sebarang kekecohan atau
provokasi yang terjadi kepada perhimpunan yang disertai PR lalu,"
katanya dalam Debat Sinar malam tadi.
Debat
malam tadi menemukan beliau dengan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi
Datuk Saifuddin Abdullah dengan Prof Datuk Mohamad Abu Bakar sebagai
perantara.
Menurut beliau lagi, demonstrasi aman adalah dijamin
perlembagaan dan merupakan salah satu cara bagi menegur pihak pemerintah
apabila teguran melalui ruang-ruang lain yang ada tidak diendahkan.
Apatah
lagi dalam keadaan negara kita yang masih belum sampai tahap demokrasi
yang sempurna, maka demonstrasi katanya salah satu cara untuk menjadikan
demokrasi lebih matang.
"Kita masih belum sampai satu sistem yang sempurna tapi sedang menuju ke arah kesempurnaan.
"Jika
negara menerima demonstrasi ia adalah pengukuhan untuk negara, tapi
sekiranya tidak, ia adalah keruntuhan bagi sesebuah negara," tambah ahli
Parlimen Kubang Kerian itu.
Salahuddin juga berkata, demonstrasi
secara aman boleh dijadikan sebagai alat untuk menghentikan kemelut
kepada negara yang impikan demokrasi.
Dalam pada itu beliau
memberitahu, demonstrasi jalanan tidak akan berlaku sekiranya demokrasi
diamalkan secara adil dan ruang yang cukup diberikan terhadap semua
parti.
"Ruang bersuara ketika pilihan raya kecil dan pilihan raya
umum umum terlalu kecil, maka rakyat yang ada hanya lidah dan gigi ini
turun ke jalan raya untuk menuntut hak mereka,"
Pada masa sama,
beliau menafikan siri himpunan Bersih yang beberapa dianjurkan NGO
sebelum ini adalah untuk mencetus huru-hara dan cuba mengguling
kerajaan.
"Demonstrasi yang diadakan kami (PR) melalui Bersih 3.0
terutamanya bukan untuk meruntuhkan (kerajaan) tapi mengukuhkan
kerajaan dan menuntut hak demokrasi yang diamalkan oleh negara.
"Yang jadi huru-hara sebab ada tembakan gas, tu yang jadi huru hara.
"Cuba ambil seekor ular, dan campak ditengah-tengah orang ramai dewan ini, apa akan jadi pada dewan ini," soalnya.
Baginya, hanya kerajaan yang berpura-pura dengan keadilan demokrasi sahaja yang takut dengan demonstrasi rakyat.
.
Seterusnya >>>
KUALA LUMPUR: Walaupun debat berlangsung antara Mohd
Rafizi Ramli dengan Khairy Jamaludin namun yang paling tertekan dengan
debat malam tadi adalah Datuk Seri Najib Razak.
Ini ekoran,
kesimpulan yang dibuat oleh moderator debat itu, Dr Maszlee Malik yang
mendesak debat diadakan pula antara Datuk Seri Najib dan datuk Seri
Anwar Ibrahim.
Dr Maszlee membuat kesimpulan itu di akhir debat
dengan mendesak agar debat itu pula diadakan selepas debat semalam
berjalan dengan baik dan penuh kematangan.
Anwar sejak sekian lama mengajak Najib berdebat namun pelbagai alasan diberikan oleh pimpinan BN dan Najib sendiri.
Debat antara Khairy dengan Rafizi semalam merupakan kali kedua berlangsung antara mereka.
Yang pertama kali dibuat di London di depan pelajar dan rakyat Malaysia di sana.
Debat
malam tadi pula dianjurkan oleh akhbar Sinar Harian dengan kerjasama
Astro Awani yang membuat siaran langsung dalam medianya.
Bagi Dr
Dzulkefly Ahmad, anggota Parlimen Kuala Selangor yang bersama-sama
penonton untuk kedua-dua debat itu, Khairy lebih berjaya dalam pusingan
pertama di London.
Namun malam tadi jelas Rafizi lebih berjaya dan mendapat sokongan umum ekoran pendekatan yang dibawanya.
"Saya
berada di London ketika debat mereka. Saya mengaku ketika itu Khairy di
depan. Tetapi malam tadi, hujjah Rafizi jauh lebih baik. Jadi 1-1 lah,"
kata Dr Dzul.
Ramai penonton debat malam tadi memberikan pujian kepada Rafizi kerana berjaya membawa hujjahnya dengan baik.
"Rafizi jauh lebih baik pada persepsi awam kerana Khairy terlalu defensif," kata salah seorang dari pengulas politik.
Bagi Astro Awani dalam berita mereka, debat semalam disifatkan pembukaan kepada sikap kematangan dalam politik negara.
Laporan sebegini memberikan tekanan yang lebih berat kepada Najib agar menerima cabaran berdebat dengan Anwar.
Tambahan
lagi, kesimpulan yang dibuat oleh moderator malam tadi menyebabkan para
penyokong Umno di Kompleks Kumpulan Media Karangkraf benar-benar marah
kepada kesimpulan Dr Maszlee itu.
Menurut penonton yang berada di
dewan itu, sekumpulan penyokong Umno marah kepada pihak penganjur yang
membenarkan Dr Maszlee menekan Najib sebegitu rupa.
Seterusnya >>>
Seperti yang dijangka, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah sekali lagi menolak daripada berdebat di televisyen dengan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, kali ini menyembunyikan sikapnya yang pengecut dan berdolak dalih dengan menggunakan penulis blog yang hidup dalam pelarian Raja Petra Kamaruddin.
Awal bulan ini, Najib telah cuba untuk memberi gambaran bahawa dia akan menimbang semula tawaran untuk berdebat, mendorong parti PKR Anwar untuk menghantar jemputan kedua kepadanya. Tetapi sehingga kini telah tiada jawapan walaupun Najib telah menulis di laman blognya bahawa dia bersedia untuk mengadakan wacana "bertamadun" mengenai topik-topik yang bermakna.
Perubahan fikiran Najib dengan secara tiba-tiba telah mendapat kritikan bahawa parti Umno mempunyai pemimpin yang paling pengecut dan bukan anak jantan, dan sekutunya dalam BN iaitu MCA lebih baik daripada mereka. Presiden MCA, Chua Soi Lek sekurang-kurangnya berani untuk berdebat dengan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dalam apa yang telah dikatakan sebagai "Perdebatan Terbesar Cina" pada bulan lepas.
"Sandiwara dimanipulasi" supaya Najib boleh terlepas
U-turn terbaru Najib ini hanya akan mengukuhkan tanggapan buruk rakyat terhadap kepimpinannya, terutamanya di kalangan profesional muda, ramai daripada mereka adalah pengundi yang mahu melihat apa yang Anwar dan Najib ada untuk tawarkan. Satu tinjauan awam baru-baru ini juga menunjukkan bahawa lebih daripada 70% daripada mereka mahu Anwar-Najib untuk berdebat.
"Seluruh Malaysia boleh menunggu sampai bila-bila tetapi Najib tidak akan berani untuk berdebat dengan Anwar. Najib tidak mempunyai visi dan langsung tiada idea untuk dikemukakan - hanya PR nya dengan rakyat serta gimik seperti RPK sahaja yang ada," kata naib presiden PKR Chua Jui Meng kepada Malaysia Chronicle.
Baru-baru ini, RPK telah memanggil Anwar ‘pengecut’ kerana didakwa meminta namanya dikeluarkan dari senarai panel program TV di mana Ketua Pembangkang itu dijadualkan akan muncul bersama pengasas Wikileaks Juilan Assange. RPK yang pro-Umno itu juga berkata Anwar tidak berhak untuk mencabar Najib supaya berdebat - lebih baik Anwar berdebat dengan dirinya sahaja.
Media Umno segera menggunakan kenyataan ini untuk membuka jalan bagi Najib menyerang Anwar kerana "tidak konsisten". Pengkritik, bagaimanapun berkata, seluruh episod "sandiwara telah dimanipulasi" dan inilah isyarat bahawa Najib tidak akan menerima jemputan perdebatan dengan Anwar.
Tekanan untuk menanti jawapan
Sesungguhnya, sudah 2 minggu berlalu sejak Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution mengeluarkan jemputan kedua dan menggesa PM untuk memberi jawapan, terutama sekali dengan pilihan raya umum ke-13 yang bakal berlangsung sudah semestinya rakyat begitu berminat untuk melihat apa yang kedua-dua pihak - kerajaan dan pembangkang boleh tawarkan.
Tetapi Najib hanya berpegang kepada ucapan RPK untuk merasionalkan sekaligus mempertahankan dirinya disebalik sikap pengecutnya untuk kesekian kali.
"Nampaknya dia (Anwar) tidak bersedia (untuk berdebat dengan Raja Petra)," Bernama melaporkan Najib sebagai berkata. "Lambat-laun, rakyat akan mempersoalkan dia kerana tidak konsisten. Kita mesti konsisten. Kita sendiri yang kata bahawa kita mengamalkan demokrasi dan secara terbuka mengutuk kerajaan kerana tidak demokratik dan terbuka. Tetapi sebenarnya, jika kita lihat pada tindakan mereka, seperti menyekat sesetengah akhbar daripada menghadiri sidang media mereka, apakah ini selaras dengan apa yang mereka katakan selama ini? "
Tidak hairanlah jika Najib mula mencemuh sepertimana RPK bersikap hipokrit. Najib telah mengambil alih daripada bekas Perdana Menteri, Abdullah Ahmad Badawi pada tahun 2009. Pentadbirannya dianggap sebagai yang paling teruk, bergelumang dengan rasuah, tidak konsisten dan perkauman serta ketaksuban kaum yang belum pernah disaksikan sebelum ini.
"Ia sudah semestinya tidak konsisten bagi seorang seperti Najib untuk menuduh orang lain tidak konsisten apabila dia sendiri paling banyak membuat flip-flop berbanding 6 perdana menteri kita yang lalu, termasuk Mahathir Mohamad yang telah memerintah selama 22 tahun," kata Jui Meng.
-/ Malaysia Chronicle
Seterusnya >>>
KUALA LUMPUR : Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan Datuk Seri Najib Razak sengaja mencipta helah untuk mengelak dari berdebat dengan beliau, berikutan pengumuman terbaru perdana menteri itu.
“Debat Anwar-Najib: pelbagai alasan, helah untuk mengelak,” kata Anwar dalam laman Twitternya malam semalam.
Anwar mengulas pengumuman Najib melalui catatan blognya, yang mengatakan kesediaan untuk berdebat dengan sesiapa sahaja pemimpin yang ‘berfikiran munasabah’.
Menyifatkan medan debat sebagai wacana yang sopan dan segar, Anwar berkata, beliau yakin rakyat Malaysia sangat matang untuk menilai debat berkenaan sekiranya diadakan.
“Saya yakin rakyat Msia matang utk menilai debat sebagai wacana sopan, segar,” katanya lagi.
Pengumuman Najib untuk berdebat itu turut disiarkan oleh Buletin Utama, TV3 malam tadi.
Namun, di pertengahan berita tersebut, TV3 membuat pembetulan Najib hanya mahu berbincang mengenai kedudukan ekonomi di Malaysia.
Kali terakhir Najib memberi respon berkenaan debat itu ialah ketika Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang, di Johor, Januari tahun lalu, dengan mendakwa Anwar akan ‘demam’ sekiranya menerima cabaran debat berkenaan.
Selepas itu, Najib terus membisu meskipun Anwar berulangkali melontarkan cabaran yang sama, termasuk memberi peluang kepada presiden Umno itu memiliki tambahan masa 10 minit jika sedia berdebat.
Sementara itu, kajian terbaru Merdeka Center mendapati 54 peratus responden mahu debat diadakan manakala 75 peratus responden dalam kumpulan belia Melayu turut menyatakan persetujuan mereka.
Merdeka Center sebelum ini turut menyatakan debat berkenaan disokong kumpulan profesional Melayu di negara ini, yang berminat untuk melihat debat membabitkan kedua-dua pemimpin berkenaan.
Seterusnya >>>
KUALA LUMPUR 5 Mac: Satu kajian yang dijalankan Merdeka Centre mendapati majoriti pengundi di negara ini setuju jika debat diadakan antara Perdana Menteri , Datuk Seri Najib Tun Razak dan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Memetik laman berita The Malaysian Insider, 54 peratus responden ingin melihat debat tersebut diadakan manakala lebih 75 peratus responden di dalam kumpulan ‘belia Melayu’ bersetuju dengan debat antara Najib dan Anwar.
Bagaimanapun, hanya 39 peratus responden Melayu berusia 60 tahun ke atas setuju dengan cadangan ini.
Kajian ini diadakan dari 10 hingga 23 Februari lalu, melibatkan 1022 pengundi berdaftar di Semenanjung Malaysia sebagai responden, dengan 59 peratus daripadanya Melayu, 32 peratus Cina dan 9 peratus India.
Dapatan daripada kajian ini juga menunjukkan, responden memilih ekonomi (17 peratus), isu nasional (9 peratus), kebajikan masyarakat dan pembangunan (7 peratus) dan rasuah (5 peratus) sebagai tema debat.
Merdeka Centere dalam kenyataannya berkata, kajian mendapati debat dapat membantu pengundi atas pagar dalam membuat keputusan dalam pilihanraya nanti.
“Seramai 62 peratus responden yang belum membuat keputusan dalam pilihanraya akan datang bersetuju jika debat Najib-Anwar ini diadakan.
“67 peratus responden pula berpendapat debat perlu diadakan supaya kedua-dua belah pihak dapat menjelaskan dasar-dasar mereka kepada rakyat,” jelas Merdeka Centre.
Pada 18 Februari lalu, debat antara Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng disiarkan secara langsung di saluran Astro AEC.
Sebelum ini, debat di antara Ketua Pergerakan Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin dan Ketua Strategik KEADILAN, Rafizi Ramli diadakan di London dan mendapat liputan yang cukup meluas di internet.
Anwar berulangkali mencabar Najib untuk berdebat berkenaan dasar-dasar negara, namun ditolak Najib.
Perkembangan baru menunjukkan, Najib, di dalam blognya, menyatakan kesediaan berdebat dengan sesiapa ‘yang mempunyai pemikiran yang munasabah’, kerana menghargai suasana politik Malaysia yang meriah.
Seterusnya >>>
Antara masalah utama Malaysia adalah, semua perkara suka diambilsecara “setengah masak”.
Lihatlah demokrasi di Malaysia. Mengaku demokrasi, tetapi banyak betul halangannya - kebebasan bersuara, kebebasan menerbitkan akhbar dan kebebasan berhimpun secara aman.
Semalam, Mahkamah Sesyen baru saja menjatuhkan hukuman bersalah ke atas 14 orang aktivis anti ISA kerana berhimpun secara aman pada 1 Ogos 2009, bagi membantah akta “draconian” tersebut.
Nordin Mohamad, Hayati Abdul Samad, Salmah Ismail, Norlaila Othman, Nashita Mohd Noor, Rashini, Hasbullah Pit, Wan Muhamad Jazlan Razali, Mohd Petri Mohd Yassin, Syaza Muaz Shaharudin, Mohd Sukri Mohd Sirat, Mohamd Sukeri Muhammad, Mohd Sallehuddin Yusop, Zulsifli Kama Kutty, Mohd Fazlzy Mohd Ismail, dan Norazam Sakib dijatuhkan hukuman denda sebanyak RM 2000 dan penjara sehari.
Inilah demokrasi ala Malaysia. Demokrasi yang hanya ada pada nama.
Pengkhianatan secara terbuka dilakukan oleh pemerintah hari ini terhadap janji perdana menteri pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj - untuk menjadikan Malaysia (Malaya ketika itu) sebagai sebuah negara demokrasi.
Debat BN-Pakatan
Sehingga hari ini, perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak masih belum menunjukkan keberanian apabila dicabar oleh ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk berdebat.
Entah apa yang ditakutkan, tiada siapa yang tahu. Sebagai seorang pemimpin negara, seluruh jentera kerajaan berada di belakang Najib.
Dengan mudah arahan boleh diberi kepada badanpemikir atau “think-thank” dan institusi akademik untuk menyediakan fakta-fakta bagi Najib berhadapan dengan Anwar.
Mantan perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sejak awal lagi menolak idea debat antara Najib-Anwar ini. Beliau konsisten menyatakan debat antara Najib dan Anwar adalah membuang masa.
Mengenali Dr Mahathir, bukanlah satu “nilai berita” jika beliau menolak idea debat secara terbuka ini.
Pada zaman pemerintahan Dr Mahathir, kerajaan tidak mesra dengan program-program seperti ini. Malahan zaman pemerintahan beliau adalah zaman gelap untuk demokrasi di Malaysia.
Cina lebih berani?
Minggu lalu berlaku perdebatan di antara presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek dan setiausaha agung DAP, Lim Guan Eng. Debat dijalankan dalam bahasa Mandarin dengan bantuan jurubahasa - disiarkan secara langsung. Yang mengecewakan adalah debat ini tidak dijalankan dalam bahasa kebangsaan yang boleh difahami oleh masyarakat Malaysia yang bukan Cina. Pujian harus diberikan kepada Chua dan Lim kerana berani untuk berdebat secara terbuka.
Umno penakut?
Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan berdolak dalik. Pada mulanya beliau mengatakan bahawa Umno dan BN bersedia untuk berdebat dengan sesiapa sahaja.
Apabila kenyataan beliau dianggap sebagai Najib menyahut cabaran Anwar, beliau mengubah pula kenyataannya dan berkata Najib tidak perlu berdebat dengan Anwar.
Persepsi umum pada hari ini adalah presiden Umno kecut untuk berdebat dengan ketua pembangkang.
Tidak benar jika berhujah secara dangkal dengan mengatakan rakyat Malaysia belum bersedia menerima debat terbuka.
Perdebatan antara Anwar dan Datuk Seri Shabery Cheek membuktikan tidak berlaku rusuhan selepas debat itu selesai. Begitu juga dengan debat antara Chua dan Lim.
Budaya debat bukan sahaja milik Barat. Di Filipina, perdebatan adalah sesuatu yang lumrah.
Ketika musim pilihanraya di negara Jose Rizal itu, perdebatan di antara calon bukan sahaja berlaku di peringkat tertinggi seperti calon presiden malahan ia turut berlaku sehingga peringkat bawahan.
Commission on Election (Comelec) menyediakan platform untuk calon-calon pilihanraya berdebat.
Ini diamalkan sehinggalah ke peringkat yang paling bawah iaitu ketua kampung (Barangay Captain).
Malaysia tidak akan kemana-mana jika terus melakukan sesuatu perkara secara “setengah masak”. Malaysia telahpun ketinggalan berbanding Filipina, Indonesia dan Thailand. Jangan sampai nanti, Myanmar lebih demokrasi daripada kita.
-/malaysiakini
Seterusnya >>>
Dengan selesainya debat yang dinanti-nantikan antara Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dengan Presiden MCA, Datuk Seri Chua Soi Lek, - Lim menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak supaya mencontohi mereka.
"Debat ini adalah langkah pertama yang baik tetapi kecil, langkah besar
seterusnya akan tiba apabila Datuk Seri Najib berdebat dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim," kata Lim dalam sidang akhbar selepas debat mereka di Kuala Lumpur petang ini.
Chua yang turut hadir berkata, ia terpulang kepada pemimpin Umno untuk memutuskan sama ada mereka ingin berdebat.
Bagaimanapun, presiden MCA berkata beliau telah bersetuju untuk berdebat semula dengan Lim, kali ini dalam bahasa Inggeris atau Melayu, yang dijangka diadakan bulan depan.
"Masa dan tarikhnya akan diputuskan tetapi tajuk akan berbeza," katanya.
Perdebatan hari ini, yang berlangsung di penghujung persidangan sehari "Cina Malaysia di Persimpangan Politik" anjuran bersama Institut Strategi dan Kepimpinan Asia (ASLI) serta kumpulan pemikir MCA, Insap, di ibunegara, disiarkan seara langsung.
Ditanya sama ada mereka berdoa mengelak menjawab soalan dari hadirin, Chua mempertahankan Lim dan dirinya, dengan berkata: "Hanya ada tiga minit, bagaimana kita boleh menjawab lima soalan dalam masa yang singkat."
Seterusnya >>>
PUTRAJAYA: “Kami tunggu respon PM,” kata Zulfadzli Abdul Halim, penyelaras Akademi Pak Sako selaku penganjur debat antara Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Najib Razak dalam isu ekonomi dan Belanjawan 2012.
Beliau berkata, pihaknya sudah menghantar surat jemputan Majlis Debat Belanjawan kira-kira jam 11 pagi tadi di Pejabat Perdana Menteri, Putrajaya, selain diterima Ketua Pembangkang di ibu pejabat KEADILAN.
Anwar sebelum ini menyatakan kesediaan untuk berdebat, malah menyambut baik tawaran mana-mana badan bukan kerajaan (NGO) untuk debat terbuka itu.
Ketua Umum KEADILAN itu juga debat berkenaan berlangsung sebelum perbahasan Belanjawan 2012 di Dewan Rakyat berakhir bagi penggal ini.
“Saya menyambut baik, mana-mana NGO yang ingin menganjur perdebatan. Saya harap disegerakan sebelum tamat perbahasan Belanjawan ini,” katanya pada sidang media di Parlimen beberapa hari lalu.
Bercakap kepada KeadilanDaily, Zulfadli berkata, Akademi Pak Sako turut mempelawa NGO untuk turut serta menjayakan debat itu.
“Kita alu-alukan sesiapa yang sukarela bekerjasama dan berharap debat ini dapat dianjurkan dengan berjayanya.” katanya.
Minggu lalu, Anwar mencabar Najib yang juga menteri kewangan supaya berdebat secara terbuka berhubung kedudukan ekonomi dan Belanjawan 2012 yang
dibentang 7 Oktober lalu.
Debat berkenaan ditetapkan pada Khamis, 3 November jam 9 malam di Dewan Tunku Canselor, Universiti Malaya jika kedua-dua pihak bersetuju.
Seterusnya >>>
KUALA LUMPUR 19 Okt : Sebuah Akademi Penulisan sedia menjadi penganjur bagi debat antara Ketua Pembangkang, dan Perdana Menteri berhubung soal ekonomi dan Belanjawan 2012.
Jurucakap Akademi Pak Sako, Hilman Idham berkata, debat itu merupakan perkembangan sihat bagi membolehkan rakyat menilai belanjawan yang dibentangkan Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat.
“Perdebatan seperti ini akan memberi ruang yang adil kepada rakyat untuk menilai secara rasional dasar-dasar yang digarap demi kepentingan mereka.
“Justeru Akademi Pak Sako bersedia untuk menjadi penganjur kepada Debat Belanjawan Negara 2012; di antara YAB Dato’ Sri Mohd Najib Tun Razak dan YB Dato’ Seri Anwar Ibrahim,” kata Hilman dalam satu kenyataan media.
Katanya, pihaknya akan menghantar undangan kepada perdana menteri dan ketua pembangkang itu, Jumaat ini.
Sekiranya kedua-dua tokoh itu bersetuju, debat berkenaan akan ditetapkan pada hari Khamis, 3 November pada jam 9 malam dan bertempat di Dewan Tunku Canselor, Universiti Malaya.
“Kami berharap kedua-dua tokoh ini bersedia untuk menerima undangan debat daripada pihak kami. Semoga debat ini berlangsung dengan baik dan berhemah demi manfaat dan kesejahteraan rakyat,” ujar Hilman.
Isnin lalu, Anwar mencabar Najib berdebat secara terbuka berhubung soal ekonomi dan Belanjawan 2012 yang dibentang baru-baru ini.
Ia berikutan kenyataan Najib mengkritik belanjawan Pakatan Rakyat dengan menyifatkannya gagal memahami kehendak rakyat.
Menurut Ahli Parlimen Permatang Pauh itu, debat itu juga perlu disiarkan secara langsung melalui televisyen ke seluruh negara.
Seterusnya >>>
Janji 100 hari Pakatan Rakyat jika memerintah Malaysia tiba-tiba merungsingkan BN. Bagi Pakatan Rakyat, ia adalah janji realistik yang mampu dilakukan.
Najib pula mengatakan ia boleh membawa Malaysia bankrap. Melalui berita radio, saya dengar ucapan Najib (lebihkurang ayatnya): ‘Dalamasa 2 tahun laksanakan janji itu, Malaysia boleh bankrap macam Greece.’
Ayat ini sangat penting. Anwar dan PR kata tak muflis. Najib dan BN kata janji 100 hari boleh muflis. Tak mungkin kedua-duanya benar. Salah seorang berbohong. Tapi siapa?
Malaysia menuju muflis juga sangat penting. Ertinya kalau Pakatan Rakyat memerintah dan menunaikan janjinya itu, ucapan Najib itu mungkin menjadi kenyataan, iaitu Malaysia boleh bankrap dalamasa 2 tahun. Tapi dari fakta yang ada yang disiarkan dalam pelbagai media alternatif, termasuk ucapan terakhir Datuk Mustafa Ali dan Anwar di program Himpunan Kebangkitan Rakyat: PAS Ganti Umno, PR Ganti BN di Geliga, Kemaman pada hari Sabtu 15 Jan 2011 menunjukkan janji itu mampu ditunaikan dengan izin Allah.
Justru, apa penyelesaian terbaik? Ia tidak lain melainkan satu debat terbuka antara Najib dan Anwar mesti diadakan. Di Amerika, UK dan beberapa negara lain, termasuk negara haram Israel, rasanya, boleh mengadakan debat antara pemimpin tertinggi parti.
Kalau begitu, mengapa Najib takut? Kalau sungguh rakyat tidak akan terpengaruh dengan janji kosong PR, mengapa tidak bersedia berdebat? Kalau janji PR boleh bawa negara muflis, di atas dasar mempertahankan negara dari muflis, maka sepatutnya Najib bersedia mempertahankan Malaysia dari menjadi muflis dengan sebab janji kosong PR itu?
Najib ada pakar ekonomi. Anwar ada pakar ekonomi. Masing-masing sediakan fakta dan angka. Bentangkan dalam debat itu. Apa takut? Najib kata debat tidak mendatangkan hasil. Siapa kata?
Atau takut kalah dengan janji ‘kosong’ PR itu. Kalau sungguh BN mendahulukan rakyat, Najib mesti bersedia berdebat dengan Anwar, dan biarkan rakyat yang menonton secara langsung dalam TV itu menjadi hakimnya. Masih takut?
Nik Nasri Nik Malek,
Kemaman, Terengganu
-/ Harakahdaily
Seterusnya >>>