Showing posts with label Ambiga Sreenevasan. Show all posts

Buku kecil diedar JASA propaganda murahan, kata pemimpin Bersih

http://media.themalaysianinsider.com/images/uploads/mugshots/ambiga-sreenevasan1-june14.jpg

KUALA LUMPUR, 3 Feb – Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) mengecam langkah Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) mengeluarkan buku kecil mengkritik kumpulan reformasi pilihan raya tersebut seperti yang dilaporkan oleh akhbar berbahasa Cina Sin Chew semalam, sambil menyifatkannya sebagai taktik yang sudah lapuk digunakan oleh Putrajaya.
Dalam buku setebal 322 muka surat tersebut yang berjudul “Panduan Penjelasan Isu Semasa” yang diedarkan kepada orang awam menyerang perhimpunan yang menuntut agar pembaharuan dalam sistem pilihan raya negara ini.
“Bukan sahaja buku kecil itu menyalahguna wang pembayar cukai, kandungannya juga tidak jujur dan cuai.
“Pengeluarannya adalah sejak 2012 lalu lagi,” kata pengerusi bersama Bersih 2.0, Datuk Ambiga Sreenevasan kepada The Malaysian Insider.
Menurut Ambiga, segala yang didakwa dan diperkatakan mereka sebelum ini sudah dibuktikan terbukti dalam Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai pendatang haram di Sabah baru-baru ini dan mencukupi untuk menidakkan propaganda murahan oleh agensi dibawah Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan tersebut yang dipengerusikan oleh bekas ahli dewan undangan negeri Umno Hulu Klang, Datuk Fuad Hassan.
“Orang ramai boleh nilai sendiri daripada RCI di Sabah dan laporan setiap hari mengatakan terdapat orang yang didaftarkan tanpa pengetahuan mereka seperti mana yang dikatakan oleh Bersih selama ini adalah benar,” ujar beliau lagi.
Bekas presiden Majlis Peguam itu juga membidas tuduhan liar yang mengatakan peserta telah dibayar RM100 setiap seorang serta mengarahkan JASA untuk berhenti menilai orang ramai mengikut kaedah dan piawaian sendiri.
“Sebaliknya ramai peserta perlu mengeluarkan wang sendiri untuk membeli kemeja T dan membayar tambang serta makanan sendiri,” kata Ambiga lagi.
Dalam pada itu, ahli jawatankuasa Pemandu Bersih 2.0 Maria Chin Abdullah menyifatkan agensi kerajaan tersebut sudah kehabisan modal dan propaganda yang digembar-gemburkan mereka sudah tidak lagi dipercayai.
“Buku kecil itu dikeluarkan pada tahun lepas sebelum Bersih 3.0.
“Tapi sudah jelas dan terbukti propaganda tersebut tidak memberikan kesan kepada rakyat Malaysia.
“Malahan pada Himpunan Kebangkitan Rakyat bulan lalu ratusan ribu rakyat hadir di Stadium Merdeka,” kata Maria.
Maria menjelaskan kejayaan perhimpunan bulan lepas juga petunjuk orang ramai dan pergerakkan badan bukan kerajaan tersebut tidak pernah cuba mewujudkan kekacauan sebaliknya menyalahkan pasukan polis yang tidak dapat mengawal keadaan sehingga berlaku keganasan.
“Pada Himpunan KL 112, orang ramai masih ke jalan raya dan kali ini pasukan polis bertingkahlaku baik dan menjalankan tugas serta tanggungjawab mereka.
“Ini membuktikan pasukan polis sepatutnya boleh mengawal keganasan pada Bersih 3.0 tetapi gagal melakukannya,” jelas Maria yang menunding jari kepada pasukan polis di atas insiden semasa perhimpunan tahun lepas.
Menurut laporan akhbar Sin Chew, satu daripada 17 jawapan melibatkan Bersih menyatakan perhimpunan di Kuala Lumpur tersebut hanya disertai 25 ribu orang, sama sekali berbeza dengan kenyataan pengerusi Bersih 2.0, Ambiga yang mendakwa perhimpunan tersebut dihadiri oleh hampir 300 ribu orang.
Buku kecil itu juga mendakwa peserta dilaporkan mengakui mereka dibayar RM100 setiap seorang untuk turun pada hari tersebut dan juga diberikan makanan dan penginapan.
Kandungan buku kecil itu juga mengandungi keputusan kajian bersemuka yang dijalankan pada Mei tahun lepas semasa Himpunan Sejuta Belia dikalangan 15,686 orang muda dengan bertanyakan pendapat mereka yang diantaranya adalah tentang perhimpunan Bersih 3.0.
Keputusan kajian tersebut menunjukkan sebanyak 54 peratus merasakan tingkahlaku peserta semasa perhimpunan melampaui batasan undang-undang, manakala 43 peratus lagi menyatakan pasukan polis telah menjalankan tugas mereka secara profesional semasa acara tersebut.
Mereka yang menyatakan persetujuan supaya kerajaan mengambil tindakan tegas keatas peserta perhimpunan jalanan adalah 64 peratus, menurut kajian itu lagi.
Kajian tersebut dijalankan keatas mereka yang berusia antara 15 hingga 40 tahun, kebanyakkannya lelaki (57.47 peratus) dan terdiri daripada kaum Melayu 83.34 peratus, manakala Cina dan India terdiri daripada 10 peratus dan 3.94 peratus.
Seterusnya >>>

Bersih 3.0 perlu memandangkan pilihan raya ‘terburu-buru’


KUALA LUMPUR, 6 April — Bersih 2.0 mempertahankan rancangannya untuk mengadakan perhimpinan 28 April depan kerana melihatnya sebagai satu keperluan memandangkan kerajaan masih lagi tidak menunjukkan sebarang komitmen untuk melaksanakan lapan tuntutan mereka sebelum pilihan raya akan datang.
Pengerusi badan pemerhati pilihan raya itu, Datuk Ambiga Sreenevasan mendakwa kerajaan “menunjukkan sikap terburu” untuk memanggil pilihan raya, yang menurutnya akan diadakan dalam jangka masa terdekat, dan itu menjadikan Bersih sangat relevan.
“Seperti yang saya katakan kerajaan terburu-buru untuk mengadakan pilihan raya. Tiada pihak yang menjelaskan segala pembaharuan yang dituntut Bersih 2.0 akan dilaksanakan sebelum pilihan raya ke-13. Kenapa?
“Kami perlu melaksanakannya kerana pilihan raya dijangka berlaku dalam masa terdekat ... saya menolak kenyataan Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar,” katanya kepada The Malaysian Insider.
Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) itu berkata langkah Bersih menganjurkan perhimpunan ketiga mereka adalah satu tindakan terburu-buru.
Menurutnya, Bersih seharusnya menerima 22 syor Jawatankuasa Khas Pilihan Parlimen (PSC) berkenaan penambah baikan sistem pilihan raya dan memebenarkan suruhanjaya tersebut mengkaji cadangan berkenaan.
Beliau turut mempersoalkan rasional Bersih mengadakan perhimpunan ketiganya itu, dan menegaskan SPR sendiri perlu menyelesaikan beberapa isu yang dicadangkan dalam laporan lengkap PSC.
Namun kenyataan SPR itu ternyata menimbulkan rasa kurang senang Ambiga, yang berulangkali mempersoalkan komitmen Putrajaya dan SPR untuk memperbaiki sistem pilihan raya yang adil dan bersih.
“Kami rasakan pandangan kami boleh dilaksanakan sebelum pilihan raya ke-13. Kami turut menawarkan bantuan untuk membantu. Sudah berbulan kami memperjuangkan perkara ini.
“Bagaimana ia adalah tindakan terbur-buru? Sedangkan pilihan raya sendiri terburu-buru. Kami kelihatan terburu-buru kerana mereka seperti terburu-buru untuk mengadakan pilihan raya sebelum penambahbaikan tersebut,” katanya.
Perhimpunan ketiga Bersih dijangka berlangsung di Dataran Merdeka bermula dari jam dua hingga empat petang.
Namun begitu, perhimpunan kali ini turut disertai daripada pelbagai organisasi, sepertinya ingin memberikan tekanan kepada kerajaan melaksanakan tuntutan organisasi ini yang menuntut pilihan raya yang bersih dan adil.
Perhimpunan Bersih pada 9 Julai lalu bertukar kecoh selepas pihak berkuasa menggunakan bom pemedih mata dan meriam air untuk menyuraikan peserta demonstrasi.
Peserta demonstrasi telah berkumpul sejak pagi di ibu negara dan enggan mendengar arahan polis yang menegah mereka daripada menyertai perhimpunan tersebut.
Lebih 1,600 peserta termasuk Ambiga dan pemimpin pembangkang ditahan, dan Bersih 2.0 kemudiannya mengatakan protes berkenaan berjaya berdasarkan jumlah peserta dan publisiti yang diperoleh mereka termasuk media nasional dan juga antarabangsa.
Kerajaan kemudiannya menggubak Akta Perhimpunan Aman selepas demonstrasi tersebut dan membentuk PSC untuk penambah baikan pilihan raya, namun Bersih 2.0 menyatakan tindakan sedemikian adalah tidak mencukupi.
Ambiga menegaskan 22 syor PSC itu gagal untuk menangani sesetengah perkara dalam sistem pilihan raya.
Ia termasuklah pengundi berganda, jumlah pengundi yang besar didaftarkan di bawah satu alamat, pengundi hantu, dan jumlah pengundi pos yang bertambah, serta beberapa keraguan lain.
Bekas Pengerusi Majlis Peguam ini juga menjelaskan PSC juga gagal menyentuh berkaitan isu politik kotor dan keganasan politik, tapi turut tidak mengarahkan SPR melaksanakan 22 syor berkenaan untuk pilihan raya ke-13.
Beliau mengharapkan Pilihan Raya Umum ke-13 tidak dijalankan dalam masa terdekat bagi membolehkan kerajaan melaksanakan segala penambah baikan tersebut.
Perhimpunan pertama bersih pada 2007 telah mengubah landskap politik negara pada pilihan raya 2008 yang menyaksikan barisan Nasional (BN) kehilangan lima negeri dan dua pertiga majoriti dewan.
Kekalahan tersebut kemudiannya menjurus kepada pembentukan Pakatan Rakyat (PR) yang dianggotai oleh PKR, DAP, dan PAS.
Seterusnya >>>

Ambiga bidas MCA berhubung hak mengundi


Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0) hari ini mengambil pendirian tegas menolak cadangan MCA yang tidak mahu rakyat Malaysia yang menetap di luar negara, dibenarkan mengundi.

"Kita tidak boleh menjadi logistik untuk menafikan rakyat hak perlembagaan untuk mengundi...
"Pengundi di luar negara juga bersedia untuk membantu dalam apa-apa cara untuk menjayakannya," katanya.

Ambiga memberitahu Malaysiakini demikian di luar sesi pendengaran awam Jawatankuasa Pilihan Parlimen (PSC) pembaharuan pilihan raya di bangunan Parlimen hari ini.

Beliau merujuk kepada cadangan MCA kepada PSC pada hari pertama sesi pendengaran awam itu semalam.

Semalam, MCA memberitahu anggota panel PSC bahawa rakyat Malaysia yang menetap di luar negara tidak harus dibenarkan untuk mengundi kerana mereka tidak tahu perkembangan dan situasi sebenar di dalam negara, dan mungkin bergantung kepada" maklumat yang "berat sebelah, meragukan, dan salah".

Presidennya, Dr Chua Soi Lek, kemudian menjelaskan bahawa langkah membenarkan mereka mengundi, juga akan menimbulkan cabaran logistik.
Seterusnya >>>

Kerajaan Pemerintah Takut Kuasa Rakyat - Ambiga

KUALA LUMPUR 27 JUN : Pengerusi Bersih 2.0 Datuk Ambiga Sreenevasan menganggap tuduhan dan provokasi terhadap penyokong dan mereka yang memakai baju Bersih sebagai tidak masuk akal dan menunjukkan betapa Kerajaan takut dengan gerakan rakyat ini.

"Kami nampak intimidasi Polis terhadap penyokong Bersih sebagai tak masuk akal. Ingat, apa yang berlaku kepada penyokong berseih, berlaku kepada rakyat Malaysia. Sesiapa pun boleh kena kerana ini. Kenapa tak boleh berjumpa kami dan berbincang macam mana nak buat ketiga-tiga himpunan ini berlangsung dengan baik.

Datuk Ambiga Sreevenasan disiasat selama kira-kira dua jam, bermula jam 2 petang semalam, berhubung perhimpunan yang akan dijalankan pada 9 Julai depan.

Siasatan ke atas Ambiga juga dijalankan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan dan juga Seksyen 27(5) Akta Polis.

Sejak tangkapan pertama dibuat Rabu lepas, polis sehingga ini telah menahan 81 orang dan jumlahnya dijangka meningkat ketika BERSIH memperhebatkan lagi kempennya dalam tempoh dua minggu sebelum perhimpunannya.

Bagaimanapun Ambiga tidak terkejut dengan hal ini.

"Saya tak terkejut dengan semua laporan ini, kerana perkara sama terus dibuat (Kerajaan) setiap kali dapat perkara yang mereka tak suka.

Sementara itu, Ambiga turut menyatakan betapa tuduhan kepada Parti Sosialis Malaysia (PSM) menyebarkan ideologi komunis dan cuba mengaitkannya dengan Bersih sebagai tidak masuk akal.

Menurut Ambiga Bersih berjalan sebagai gerakat masyarakat yang mahukan sistem demokrasi yang adil dan bukannya bersandarkan ideologi politik semata. 

"Ia tak masuk akal. Apa yang berlaku kepada PSM amat mengelirukan . Saya tak tahu apa yang asas (tuduhan) itu. Tuduhan dan Akta yang digunakan terlalu usang. Saya tak tahu dah berapa lama akta itu tidak digunakan

"Sesiapapun boleh menyokong bersih. Pada saya semua rakyat Malaysia boleh sokong bersih tak kira apa ideologi mereka," kata beliau.

Beliau turut menempelak usaha mengaitkan Bersih dengan tuduhan tidak berasas kerana ia tidak membawa sebarang kebaikan kepada mana-mana pihak.

"Mengapa Kerajaan seolah terperangkap dalam masa silam. Lebih baik kerjasama  dengan kami Daripada beri ugutan, mengapa tak bekerjasama.

"Siapa yang cakap pasal komunis lagi sekarang? Minta maaf saya anggap semua tuduhan ini sampah," kata beliau.

Selain Ambiga, turut disoal-siasat semalam adalah Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said dan Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali.

Peguam pengiring A. Samad iaitu Fadiah Nadwa Fikri dan N Surendran akan memberi keterangan hari ini di tempat yang sama bersama Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat Nurul Izzah Anwar pada jam 2.30 di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi.

Notis serahan untuk mengadiri siasatan mengikut Seksyen 111, Kanun Acara Jenayah itu diserahkan kepada kedua-dua peguam berkenaan ketika siasatan ke atas A Samad berlangsung.

Sementara itu Ketua Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan Rizalman Mokhtar menyatakan Pemuda UMNO turut menerima notis 112 tersebut namun masih tidak bertemu dengan polis.
Seterusnya >>>

Pengerusi Bersih 2.0 fail saman

KUALA LUMPUR, 14 Jun — Ketua badan pemantau pilihan raya Bersih 2.0, Datuk Ambiga Sreenevasan memfailkan saman ke atas kerajaan Sarawak yang melarang beliau memasuki negeri itu dua bulan lalu atas alasan ia bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.
“Ya, sudah difailkan dan permohonan izin akan didengar pada 13 Julai,” kata beliau kepada The Malaysian Insider.
Sarawak dan Sabah boleh melarang mana-mana pihak memasuki negeri itu termasuk rakyat Malaysia sendiri di bawah perjanjian pembentukan Malaysia 1963 tetapi dikehendaki memberikan alasan untuk berbuat demikian.
Ambiga (gambar) telah ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching pada 15 April lalu, tetapi tidak diberikan sebarang sebab.
Beliau tiba di lapangan terbang untuk memantau pilihan raya negeri yang diadakan pada keesokan hari.
Bekas presiden Majlis Peguam itu telah pergi ke negeri tersebut bersama dua ahli jawatankuasa Bersih 2.0 iaitu Subramaniam Pillay, yang juga seorang anggota Aliran dan Arul Prakash, pegawai program KOMAS serta Ivy Josiah, pengarah eksekutif Women’s Aid Organisation.
Bagaimanapun ketiga-tiga mereka dibenarkan masuk Sarawak.
Dengan tindakan Sarawak itu, antara mereka yang pernah ditahan memasuki negeri itu ialah Steven Ng, Cynthia Gabriel, Wong Chin Huat, Johan Tan dan Ahli Parlimen Subang Sivarasa Rasiah.
Bersih 2.0 telah menuntut Suhakam agar menyiasat elemen salah guna kuasa oleh Jabatan Imigresen dan pihak berkuasa negeri.
Tan Sri Abdul Taib Mahmud, Ketua Menteri Sarawak paling lama berkuasa, sehingga kini tidak memberikan respons kepada kritikan mengenai isu itu manakala Putrajaya pula mempertahankan sikap bisu mereka berhubung kebebasan rakyat Malaysia untuk bergerak bebas dalam persekutuan.
Seterusnya >>>