Showing posts with label Orang Asli. Show all posts

Orang Asli nafi Kelantan rampas tanah


KUALA LUMPUR: Masyarakat Orang Asli Kelantan hari ini melahirkan rasa kecewa dan terkilan dengan pihak tertentu yang menuduh kerajaan negeri pimpinan PAS telah merampas tanah mereka sedangkan ianya sama-sekali tidak berlaku.

Sekumpulan 10 orang mereka yang hadir ke Parlimen hari ini menafikan tuduhan tersebut malah menganggapnya sebagai fitnah didalangi pihak berkepentingan.

Malah kata wakil Orang Asli Kelantan Ajom Alang, Kerajaan Kelantan yang diterajui PASlah satu-satunya kerajaan negeri yang berusaha untuk memberi hak milik tanah kepada mereka.

"Bermacam-macam tomahan dan tuduhan fitnah bahawanya kerajaan negeri di bawah YAB Tuan Guru (Datuk Nik Abdul Aziz) merampas tanah-tanah Orang Asli.

"Fitnah itu tak betul, sebenarnya kerajaan negeri pimpinan tuan guru pada hakikatnya telah meluluskan dan mewartakan tanah-tanah itu untuk memberi hak milik kepada sebahagian masyarakat Orang Asli di Gua Musang," katanya pada sidang media di lobi parlimen (gambar).

Turut serta pada sidang media itu Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah, Siti Zailah Mohd Yusof (Rantau Panjang), Mohammad Husin (Pasir Putih) Dr. Siti Mariah Mahmud (Kota Raja) dan Abdul Aziz Abdul Kadir (Ketereh).

Sebelum ini, banyak pihak termasuk Umno Kelantan menuduh kerajaan negeri yang diterajui PAS merampas tanah daripada Orang Asli Hulu Kelantan untuk tujuan pembangunan.

Ianya termasuk tanah Orang Asli di Sendrop dan Blau.

Kerajaan negeri bagaimanapun menafikan dakwaan itu dengan mendakwa tanah yang dibangunkan di kawasan itu adalah milik kerajaan.

Menurut Ajom lagi, di Kelantan tidak ada tanah adat untuk Orang Asli mahupun tanah wilayah, cuma yang ada adalah tanah yang mahu digazet untuk Orang Asli pada zaman BN yang tidak selesai-selesai.

Maka katanya, tidak timbul langsung soal kerajaan negeri merampas tanah mereka.

"Zaman BN dulu mana ada org asli dapat hak milik. Adakah sekarang ini di negeri-negeri BN Orang Asli dapat hak milik? Saya rasa belum ada," katanya.

Beliau turut menyelar pihak tertentu yang mempengaruhi Orang Asli untuk berdemonstrasi Januari lalu bagi membantah kerajaan negeri yang mahu membangunkan projek Ladang Rakyat di tanah-tanah Hulu Kelantan.

Malah kata mereka, Orang Asli sangat-sangat mengalukan Projek Ladang Rakyat dibuat kerana mereka akan mendapat banyak kebaikan dari projek itu.

Selain kebaikan dari sudut ekonomi mereka, projek itu juga akan mebawa kepada pembukaan jalan yang bekal memudahkan mereka.

"Saya rasa ini (demonstrasi) bukan tindakan Orang Asli sendiri tapi kemungkinan ada konco-konco lain dari belakang yang menghasut Orang Asli bertindak liar. Kita dari dulu lagi tak pernah demonstrasi bantah kerajaan negeri.

"Bahkan kita sebenarnya merayu kepada kerajaan negeri supaya selesaikan segera masalah tanah bagi membuktikan Kelantan negeri yang pertama berusaha memberi hak milik kepada Orang Asli di Malaysia," katanya.
Seterusnya >>>

Orang Asal Sokong Calon Pakatan Rakyat Di Galas

PC_OrangAsalKUALA LUMPUR 19 Okt - Masyarakat Orang Asal dijangka memberi sokongan penuh kepada calon PAS yang mewakili Pakatan Rakyat pada Pilihan Raya Kecil  Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas berikutan keputusan Speaker Dewan Rakyat menolak usul tergempar berhubung kedudukan pribumi Orang Asal di dalam Perlembagaan pagi tadi.

Timbalan Pengerusi Badan Bertindak Tanah Orang Asal, Simpan Suda berkata masyarakat Orang Asal akan turun ke Galas bagi membantu kempen Pakatan Rakyat dan seterusnya mengekalkan kerusi tersebut ditangan PAS.

"Ya, kami semua akan turun ke Galas dan sokong penuh jika Pas letakkan calon Orang Asli sebagai wakil Galas nanti.

"Walaupun mengharapkan agar wakil kami dicalonkan supaya suara kami dapat didengari, kami tetap menghormati keputusan kerajaan negeri atau PAS jika mahu meletakkan sendiri calon lain," katanya.

Sebelum ini Tan Sri Pandikar Amin Mulia menolak usul tergempar berkaitan kedudukan pribumi Orang Asal sebagai Bumiputera berdasarkan takrifan yang termaktub dalam Fasal (2) Perkara 160 serta memaktubkan secara jelas kedudukan istimewa mereka sebagai Bumiputera dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.

Ahli Parlimen Telok Kemang, Datuk Kamarul Baharin Abbas berkata beliau kesal dengan keputusan tersebut yang sekaligus menafikan hak Orang Asal di negara ini.

"Kita merayu agar pihak kerajaan mempertimbangkan cadangan tersebut memandangkan proses rayuan memakan masa terlalu lama.

"Kita minta kerajaan turut mempertimbangkan usul tersebut memandangkan Orang Asal telah menunggu terlalu lama untuk mendapatkan pengiktirafan dan hak sebagai kaum bumiputera," jelas beliau pada sidang media di lobi Parlimen pagi tadi.

Simpan Suda berkata kehadirannya bersama 28 Orang Asal di Parlimen adalah sebagai pemerhati untuk melihat perbahasan usul mengenai hak keistimewaan suku kaumnya.

Menurutnya, mereka tidak berniat mempertikai keistimewaan Orang Melayu serta Bumiputera Sabah-Sarawak yang termaktub dalam Perlembagaan tetapi mahu hak mereka juga dimasukkan dalam tafsiran Perkara 153 dan Perkara 160 Perlembagaan.

"Sudah lebih 50 tahun merdeka, tapi masyarakat Orang Asal jauh ketinggalan dalam pelbagai sektor, malah kami terus ditindas dan tanah kami dirampas kerajaan atas alasan demi pembangunan negara.

"Kita mahu Orang Asal diiktiraf dalam Perlembagaan untuk pertahankan hak-hak kami, bukan kita minta dimansuhkan hak keistimewaan Melayu dan Bumiputera Sabah dan Sarawak dalam Perlembagaan," kata beliau kepada media.

Fasal (2) Perkara 160 hanya menafsirkan mengenai masyarakat Orang Asal Semenanjung Tanah Melayu tetapi tidak menjamin sebarang hak keistimewaan kaum minoriti tersebut.

Sebelum itu, seramai 28 pemimpin Orang Asal disekat oleh polis di pintu masuk bangunan Parlimen walaupun mereka telah membuat permohonan rasmi untuk mengikuti perbahasan Bajet 2011.
Seterusnya >>>

Orang Asli kecewa usul tergempar ditolak

KUALA LUMPUR, 19 Okt: Timbalan Pengerusi Badan Bertindak Tanah Orang Asli, Simpan Suda menyuarakan rasa kecewa apabila Dewan Rakyat mengetepikan usul tergempar yang dibawa oleh Ahli Parlimen Telok Kemang, Datuk Kamarul Baharin Abbas.
"Usul (tergempar) hari ini mungkin ditolak, terpulang pada Ahli Parlimen kita (Kamarul Baharin) untuk membawanya," ujarnya ketika ditemui di luar Parlimen.
Difahamkan, Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia mengetepikan usul tergempar tersebut demi melaksanakan peraturan mesyuarat.
Menurut Simpan, pemimpin-pemimpin Orang Asli terbabit tidak berniat mempertikai keistimewaan Orang Melayu serta Bumiputera Sabah-Sarawak yang termaktub dalam Perlembagaan.
Orang Asli Semenanjung Malaysia katanya cuma mahu hak mereka dimasukkan dalam tafsiran Perkara 153 dan Perkara 160 Perlembagaan sahaja.
"Apa yang kita lihat, jangan dipertikai (Perkara) 153 Hak Istimewa Orang-Orang Melayu (dan Agama Islam) Perlembagaan Persekutuan."
"Tapi, kita nak memanjangkan keistimewaan Orang Asli di Semenanjung (Malaysia) saja kerana hak orang Melayu, Bumiputera Sabah dan Bumiputera Sarawak saja yang ada," ujar beliau.
Difahamkan, Perkara 153 dan 160 perlembagaan tidak memberikan hak istemewa kepada Orang Asli Semenanjung sebagai Bumiputera.
Fasal (2) Perkara 160 hanya menafsirkan Orang Asli adalah Orang Asli Semenanjung Tanah Melayu tetapi tidak menjamin sebarang hak keistimewaan kaum minoriti tersebut.
Baginya, Hak Orang-Orang Asli nampaknya seakan tidak dipelihara menurut Parlimen.
"Seolah-olah hak kami (Orang Asli Semenanjung) tidak ada hak apa-apa dalam Perlembagaan kerana tafsiran hak kami pun tidak ada," ujarnya.
Menurut beliau, Perlembagaan wajar ditafsirkan semula dengan menjamin hak Orang Asli di Semenanjung Malaysia.
"Kita nak minta panjangkan sendiri untuk pertahankan hak-hak kami, bukan kita minta dimansuhkan hak keistimewaan Melayu dan Bumiputera Sabah dan Sarawak dalam Perlembagaan," ujarnya.
Sehubungan itu, beliau mendesak Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz supaya prihatin dengan tuntutan mereka.
Sebelum pada itu, Sambut Sotet, 65, mengaku bahawa beliau disoal siasat oleh polis cawangan khas (SB) di Pahang, semalam.
SB, katanya meminta beliau memberikan maklumat lanjut berhubung suatu khabar angin bahawa lebih 200 pemimpin Orang Asli bertekad untuk berkampung di Parlimen pagi ini.
"Kita hanya datang ke sini (Parlimen) untuk lihat usul tergembar kita dibahaskan, itu sahaja, tidak ada apa-apa.
"Polis sedia kata ada beberapa biji bas datang, itu semua tidak ada," katanya.
Beliau yang juga pemimpin utama suku Temuan di Pahang berkata, SB sepatutnya tidak wajar mendesaknya memberitahu tentang inti memorandum badan bertindak kepada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.
"Dia tanya (tentang) memorandum kami, saya tetap kata tiada apa-apa," tegasnya.
Seterusnya >>>

Orang Asli dakwa diganggu dan dibuli

Sekumpulan Orang Asli dari Kampung Sebir berhampiran Seremban di Negeri Sembilan hari ini mendakwa mereka 'diganggu dan dibuli' oleh polis dan Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA).

"Kami berasa sedih dan terhina dengan tindakan ke atas kami sebagai Orang Asli,” kata Zurdi Baharu, yang mewakili komuniti kaum itu di Kampung Serbir.

Lebih kurang 15 daripada penduduk kampung itu berjumpa dengan wartawan ketika sidang media di bangunan Majlis Peguam di Kuala Lumpur untuk menyuarakan rasa tidak puas hati mereka.

Pada 30 September lalu dan beberapa hari selepas itu, kumpulan berkenaan mendakwa mereka diganggu oleh polis dan pegawai JHEOA yang mengarahkan mereka memohon permit bagi 'perjumpaan adat' yang mereka cadang anjurkan.

Orang Asli berkenaan mendakwa sebelum ini mereka belum pernah diminta memohon permit atau kebenaran bagi sebarang 'perjumpaan adat' mereka.

Menurut mereka, gangguan terbaru itu dipercayai cubaan mengagalkan usaha mereka membincangkan pindaan Akta Orang Asli 1954 yang bakal diadakan tidak lama lagi.

Beberapa pemimpin Orang Asli mendakwa mereka tidak dirunding berhubung pindaan Akta Orang Asli dan bimbang pindaan tersebut akan menjejaskan kehidupan mereka.
Melabelkan gangguan polis ke atas Orang Asli itu sebagai 'pelik' perwakilan Jawatankuasa Kampung Orang Asli Negeri Sembilan, Tijah Yok Chupin yang turut hadir pada sidang media ini berkata tindakan pihak berkuasa adalah melarangnya daripada bercakap dengan penduduk kaumnya di Kampung Sebir.

"Saya dijadualkan bercakap kepada mereka pada mesyuarat itu. Mereka mahu tahu berhubung maklum balas kerajaan berhubung protes yang diadakan pada Mac lalu di Putrajaya berhubung pindaan Akta Orang Asli.

"Jika saya tidak dijemput, mereka akan dibuli oleh polis,” kata Tijah.

Beliau juga percaya tindakan pihak berkuasa itu bertujuan menghalang Orang Asli daripada membincangkan pindaan akta berkenaan.
Seterusnya >>>