Showing posts with label Malaysiakini. Show all posts

Serangan ke atas Malaysiakini, cerita lama diungkit lagi

azlan

Serangan terhadap Malaysiakini menampakkan bahawa kerajaan semakin terdesak.

Sepanjang minggu lalu lalu, media arus perdana - TV3, Utusan Malaysia, New Straits Times dan The Star - melancarkan serangan ke atas Malaysiakini dan organisasi masyarakat sivil kerana menerima geran dari yayasan antarabangsa yang mereka dakwa sebagai satu plot untuk menggugat kestabilan kerajaan.

Malaysiakini telah diserang kerana mempunyai pelabur asing yang
didakwa dikaitkan dengan jutawan George Soros. Malaysiakini diburukkan lagi bahawa beberapa pemegang saham kami mempunyai kaitan politik.

Saya faham sebab serangan itu. Lagipun, pilihan raya semakin dekat, dan berdasarkan perkembangan semasa, keputusannya boleh memihak kepada mana-mana parti.

Oleh itu, media arus perdana telah diarah oleh pemilik politik mereka - Umno dan MCA - untuk menyerang dan menjatuhkan suara-suara yang mahukan pilihan raya bebas dan adil, menggesa siasatan dibuat terhadap pelbagai skandal rasuah dan agar prinsip-prinsip demokrasi dipatuhi dan ditegakkan.

Jadi, tidak mengejutkan apabila mereka berulangkali melaporkan tuduhan, sindiran dan perkara separuh benar, bersama-sama dengan dos hodoh perkauman - satu strategi yang disempurnakan oleh yang tidak lain dan tidak bukan - ketua propaganda Nazi Joseph Goebbels.

Mari kita lihat tuduhan ini satu persatu dan mematahkannya:

1. Tuduhan yang sama 11 tahun yang lalu

Tuduhan berulangkali oleh bekas pengarang berita Malaysiakini, YL Chong bahawa pada tahun 2001 kami merahsiakan geran RM188,000 dari Tabung Pinjaman Pembangunan Media (MDLF) dan dia meletak jawatan selepas mengambil satu pendirian mengenai perkara itu.

Tuduhan ini bukanlah sesuatu yang baru. Ia telah dicanangkan dalam media arus perdana 11 tahun yang lalu - diungkit semula pada tahun 2001 - sebagai "bukti" kaitan kami dengan Soros. Kami telah menerbitkan jawapan kami untuk mematahkannya, sejurus selepas tuduhan tersebut dibuat.

Pendek kata, Malaysiakini bersikap terbuka dengan kakitangan tentang
kontrak untuk membangunkan satu aplikasi perisian untuk Centre for Advanced Media Prague (Camp), yang merupakan cabang bahagian teknologi MDLF.

Chong berjumpa media dengan membuat tuduhan bahawa perjanjian itu adalah satu geran dan kami telah merahsiakan perjanjian itu. Hakikatnya, Malaysiakini sudah pun membuat pengumuman mengenai perjanjian perisian itu di lamanwebnya.

2. 'Orang Soros dalam lembaga pengarah Malaysiakini'

Ekoran kejayaan membangunkan teknologi tersebut serta kejayaan melancarkan model langganan pada bulan Januari 2002, MDLF memutuskan untuk melabur dalam Malaysiakini - yang pertama bagi mereka dalam medium online - menyimpang daripada pelaburan tradisional mereka dalam akhbar, televisyen dan stesen radio.

Malaysiakini menerima RM1.3 juta untuk 29 peratus ekuiti dan MDLF bersetuju untuk menandatangani perjanjian tidak campurtangan dalam urusan editorialnya. Berikutan itu, Malaysiakini mengadakan sidang akhbar dan membuat pengumuman mengenai perkara itu.

Pada masa pelaburan itu dibuat, MDLF diterajui oleh pengasas bersamanya, Sasa Vucinic seorang wartawan yang stesen radionya B92 di Belgrade terbabit dalam satu perjuangan yang panjang dan amat sukar untuk membantu menjatuhkan Presiden Serbia, Slobodan Milosevic. Milosevic kemudiannya didakwa dengan jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan yang berkaitan dengan peperangan di Bosnia, Croatia dan Kosovo.

Sasa telah menubuhkan MDLF dengan strategi untuk membantu media bebas di Eropah Timur berkembang berikutan kejatuhan komunisme. Soros, seorang rakyat Hungary yang mempunyai rekod yang menyokong kebebasan akhbar, adalah antara penderma utama MDLF.

Tontonilah TED talk Sasa untuk mengetahui lebih lanjut tentang falsafah MDLF.

Sehingga ini, MDLF terlibat dalam 269 projek untuk 85 syarikat media bebas di 27 negara.
.
Seterusnya >>>

Mkini 'dihalau' dari bilik media AGM Umno


Malaysiakini diminta dikeluar dari bilik media di perhimpunan agung Umno kerana tidak memiliki pas media yang dikeluarkan oleh sekretariat parti itu.

Semua lapan wartawan portal berita bebas itu diberitahu tidak dibenarkan menggunakan kemudahan bilik media oleh seorang pegawai sekretariat perhimpunan itu.

Perkara itu berlaku walaupun setiausaha agungnya Tengku Adnan Tengku Mansor - dalam wawancara eksklusif dengan Malaysiakini pada 5 Oktober lalu - menjanjikan sedia mengeluarkan pas berkenaan.

"Sesiapa yang tidak memiliki tag, tidak dibenarkan berada dalam pusat media," kata pegawai berkenaan sambil memberitahu bahawa wartawan terbabit turut dilarang memasuki dewan tempat persidangan berlangsung.

Menurut pegawai terbabit, arahan tersebut dikeluarkan terus dari setiausaha agung.

Usaha menghubungi Tengku Adnan setakat ini belum berhasil tetapi Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin memberitahu di laman Twitter, beliau akan meneliti aduan tersebut.

Pusat media berkenaan menyediakan kemudahan meja, televisyen kemudahan soket elektrik untuk kemudahan petugas media mengikuti persidangan tahunan mereka.

Sejak beberapa tahun lalu, Malaysiakini dibenarkan menggunakan tersebut tanpa gangguan walaupun dinafikan pas media.

Bagaimanapun, petugas Malaysiakini akan terus menghantar laporan persidangan tiga sayap Umno hari ini yang ditulis di sekitar ruang legar di bangunan Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur.
Seterusnya >>>

Permit penerbitan: Malaysiakini saman kerajaan


Tindakan kerajaan menolak permohonan permit bagi menerbitkan akhbar oleh Malaysiakini akan dicabar di mahkamah.

Malaysiakini - yang memfokus isu politik, rasuah dan isu sosial - memfaikan kesnya di Mahkamah Tinggi hari ini bagi mencabar tindakan Kementerian dalam Negeri yang menolak permohonannya.
Laman sesawang berita perintis itu adalah saluran utama bagi rakyat mendapatkan maklumat utama sejak sedekad yang lalu berikutan sebahagian besar akhbar utama dan stesen penyiaran dikuasai oleh kerajaan.

“Saya tidak lihat mengapa kami tidak dibenarkan menerbitkan sebuah akhbar,” kata Ketua Pegawai Eksekutifnya, Premesh Chandran (kanan) kepada AFP.

"Ia adalah hak perlembagaan dan Malaysiakini telah berada sejak sepuluh tahun lalu dan kami telah membuktikan bahawa kami mempunyai rekod sebagai laman berita yang bebas, seimbang dan kredible.”

Semua akhbar di Malaysia memerlukan permit yang perlu diperbaharui setiap tahun.

Sistem perlesenan memperuntukkan kerajaan menutup syarikat media di negara ini mengikut budi bicaranya dan meletakkan tekanan ke atas penerbit supaya mematuhi arahannya.

Bagiamanapun, Malaysiakini dan beberapa media online berjaya kekal bebas - di sebalik serbuan dari semasa ke semasa, larangan dan bidasan kerajaan - kerana pada pertengahan 90an kerajaan berikrar tidak akan membuat penapisan atau sekatan di internet untuk menarik pelabur asing.

Chandran berkata Malaysiakini, yang mempunyai 1.8 juta pembaca setiap bulan ingin melancarkan akhbar sendiri bagi mencapai lebih ramai pembaca. Operasi di laman sesawang portal berita itu tidak terjejas dengan keputusan kementerian berkenaan.

"Ini adalah petanda bahawa tiada perubahaan (oleh kerajaan). Ini adalah polisi yang berterusan bagi mengenakan kawalan ketat ke atas media cetak dan penyiaran,” katanya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang mengambil-alih tampuk pemerintahan negara tahun lalu telah memberi jaminan untuk mengamalkan dasar yang lebih terbuka dan telus tetapi sehingga hari ini, ia dilihat lebih berusaha melenyapkan pengkritiknya.

Pegawai Kementerian Dalam Negeri gagal dihubungi untuk ulasan tetapi dalam sepucuk suratnya bertarikh 19 Ogos lalu kepada Malaysiakini berkata “kementerian telah mengambil keputusan untuk tidak mempertimbangkan permohonan permit penerbitan”. Tiada alasan yang diberikan.
Seterusnya >>>