Kelunturan semangat mengibarkan Jalur Gemilang semakin
ketara terutama tahun ini berbanding tahun sebelumnya yang mungkin
disedari ramai pihak namun menganggap ianya ‘perkara biasa’.
Walaupun mengibarkan Jalur Gemilang bukan pra-syarat utama
mengekspresikan semangat kemerdekaan, namun ianya kekal sebagai satu
elemen penting meraikan ulang tahun bersejarah bagi negara.
Fenomena ini sepatutnya difikirkan semua pihak terutama parti
pemerintah yang saban tahun memikirkan konsep baru sambutan kemerdekaan
agar terus tersemat di sanubari rakyat Malaysia.
Gambaran ini melambangkan rakyat sudah muak dengan apa yang berlaku
dalam iklim politik negara terutama pendedahan pelbagai skandal yang
melibatkan pimpinan negara dibawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk
Seri Najib Razak.
Sambutan Hari Kemerdekaan kali ke-55 dihujani kontroversi bermula
dengan pengenalan tema ‘Janji Ditepati’ yang dilhamkan kerajaan sebagai
lambang ‘kejayaan’ mereka mentadbir negara selama ini.
Tema bermotifkan ‘kelangsungan politik’ ini nyata mendapat kritikan banyak pihak yang jelas tidak melambangkan semangat patriotik seperti tahun sebelumnya.
Ruang kritikan turut diserikan dengan ungkapan sinis ‘Janji Dicapati’
sebagai tanda protes rakyat dengan tema yang disifatkan sebagai ‘syok
sendiri’.
Kesinambungan kontroversi diteruskan dengan pengenalan lagu tema
‘Janji Ditepati’ dengan lirik ciptaan sepenuhnya oleh Menteri
Penerangan, Kebudayaan dan Kesenian, Datuk Seri Rais Yatim.
Paling mencuri tumpuan, rangkap ‘Janji Sudah Ditepati, Kini Masa
Balas Budi’ menyaksikan kritikan hebat pelayar internet yang mengaggap
rangkap berkenaan sebagai ‘menuntut’ rakyat mengenang kembali jasa
pemerintahan Umno-BN.
Pakatan Rakyat (PR) turut menempelak tema berkenaan dengan
berpendirian tema kemerdekaan perlu tampil tanpa berbaur politik
kepartian.Justeru ianya tidak langsung melambangkan inspirasi sebenar
rakyat pelbagai kaum di negara ini
Jawatankuasa Tema Hari Kemerdekaan yang dibentuk PR tampil dengan
tema lebih dinamik dan segar, Sebangsa, Senegara Sejiwa yang lebih
mencerminkan Malaysia yang merdeka.
Tidak
cukup dengan itu, kehadiran lebih 10,00 rakyat pada malam ambang
merdeka ‘Janji Demokrasi’ mengukuhkan lagi kepedulian rakyat yang
sebenarnya bosan dengan Umno-BN.
Apakah transformasi politik yang cuba dibawa Najib Razak menemui jalan buntu sehingga isu kecil sebegini gagal diselesaikan?
Nyata retorik politik ini sebenarnya gagal menambat hati rakyat
meskipun pemberian beberapa insentif terutama durian runtuh bagi
peneroka Felda dan pemandu teksi.
Situasi ini sebenarnya menggambarkan hanya pihak tertentu yang
‘terbela’ walhal masih ramai yang menderita dengan kenaikan harga
barang, kegagalan anak muda memiliki rumah pertama dengan kos yang
tinggi dan beban hutang pembiayaan pendidikan.
Bukan ingin menimbulkan unsur hasad dengki mahupun cemburu terhadap
golongan Felda mahupun bekas tentera yang banyak berbakti kepada negara
tetapi harus diingat, banyak golongon marhaen yang belum menikmati hasil
negara secara saksama dan adil.
Harus diingat, pemberian ini sebagai modal kepada rakyat supaya terus memilih mereka bila ‘tiba masa balas budi’.
Tidak hairanlah apabila kempen mengibar jalur gemilang yang diberi
kempen meluas tidak mendapat sambutan rakyat. Ini disebabkan persepsi
rakyat merasakan mengibar jalur gemilang seolah-olah bersengkol dengan kerajaan mengibarkan bendera Umno-BN untuk berkempen.
Kepimpinan BN sebenarnya telah memperoleh ‘klu’ berhubung sokongan
rakyat terhadap kepimpinan Najib apabila menyaksikan satu dari 300
kenderaan dijalan raya yang mengibarkan jalur gemilang.
Hakikatnya rakyat sebenarnya menunggu ‘masa balas budi’ untuk membawa
perubahan kepada Malaysia untuk mencapai erti kemerdekaan sebenar
dengan lebih mendalam.
.
Seterusnya >>>
SHAH ALAM, 31 OGOS: Penasihat Ekonomi Selangor, Datuk Seri Anwar
Ibrahim memuji pentadbiran Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim
yang menekankan dasar Merakyatkan Ekonomi Selangor(MES) dalam
pentadbirannya di negeri ini.
“Khazanah Selangor mesti dipulangkan kepada rakyat negeri ini dan
inilah nikmat kemerdekaan,” katanya pada Majlis Sambutan Bulan
Kemerdekaan Ke-55 dan Sambutan Hari Malaysia peringkat Selangor 2012 di
Dataran Kemerdekaan Shah Alam malam tadi.
Anwar berkata, semangat kemerdekaan itu tidak hanya berhenti dengan
pesta dan harus mampu memupuk rasa kecintaan kepada negara dan
tanggungjawab yang dipikul oleh negara ini.
“Sebab itu saya ingin juga menyatakan bahawa kemerdekaan itu tidak
mungkin tercapai sekiranya semangat ibu-bapa kita itu malap, mengalah
dan hilang keyakinan dan jati diri demi melawan penjajah,” katanya yang
juga Ketua Pembangkang Malaysia.
Katanya, kemerdekaan menjadikan kebangkitan kepada rakyat dan bukan
hanya kepada segelintir pemimpin dan kepedulian siapa sahaja yang mendapat amanah untuk memimpin negara ini.
“Mandat pemerintahan yang diberikan akan dinilai oleh rakyat hanya
setelah terbukti dapat memberikan khidmat dan mengembalikannya sebaiknya
kepada rakyat,” katanya.
Sambutan kemerdekaan yang bertemakan “Sebangsa, Senegara, Sejiwa :
Terima Kasih Rakyat, Selangorku Terus Maju” itu dihadiri barisan Exco
selangor bersama lebih 10,000 rakyat.
Turut memeriahkan sambutan dengan acara perbarisan dan perarakan
antaranya daripada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Jabatan Bomba, Pejabat
Daerah dan Tanah Selangor, jabatan Kastam Selangor, Kolej Universiti
Islam Antarabangsa Selangor (KUIS), Kolej Antarabangsa INPENS dan
lain-lain.
Selain itu, turut mengambil tempat adalah persembahan kesenian dari
Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (PADAT) dan
persembahan pancaragam dari sekolah-sekolah yang mengambil bahagian.
Sementara itu, Anwar turut mengingatkan supaya sentiasa menghargai
jasa pemimpin-pemimpin terdahulu dan pasukan keselamatan seperti polis
dan tentera yang berusaha memerdekan negara ini dari tangan penjajah.
“Kita jangan lupa perjuangan Tunku Abdul Rahman dan tokoh
Dr.Burhanuddin Al-Helmy dan pejuang dari pelbagai kaum Melayu, Cina,
India, Dayak dan Kadazan yang berusaha memerdekakan negara tercinta ini
dari penjajahan,” katanya lagi.
.
Seterusnya >>>
KUALA LUMPUR 31 OGOS : Himpunan orang ramai didepan bangunan Dewan
Bandaraya Kuala Lumpur di Jalan Raja Laut mula menyanyikan lagu Hari
Merdeka ciptaan mereka sendiri yang memperlekeh tema Merdeka “Janji
Ditepati”.
“Kemerdekaan tiada guna, hanyalah janji dicapati,” merupakan chorus
kepada lagu yang dicipta sendiri oleh aktivis yang berkumpul untuk
menuntut penambahbaikan pilihanraya.
Mereka menyanyikan lagu itu sebelum menyambut countdown pada ambang Merdeka.
Himpunan itu yang sudah mencecah lebih kurang 10,000 orang itu juga
melaungkan slogan “Bersih” kepada sekumpulan mat rempit yang cuba
mengacau mereka dengan membunyikan enjin motosikal dengan kuat.
Himpunan itu dijangka akan mendengar bacaan puisi oleh sasterawan
negara A Samad Said serta ucapan dari aktivis seperti Hishammuddin Rais
dan Badrol Hisham Shahrin.
Pemimpin aktivis tersebut berkata mereka akan menyambut ambang Hari Merdeka di depan DBKL.
Terlebih dahulu, orang ramai berhimpun di Dataran Merdeka walaupun
countdown yang biasanya di adakan di tapak bersejarah itu dibatalkan.
Countdown yang biasanya diadakan julung kali itu tiba-tiba dibatalkan oleh pihak berkuasa.
Ini berikutan kerisauan pihak berkuasa yang program itu akan
dibanjiri ribuan peserta berbaju kuning untuk menuntut agar Kerajaan
Pusat menunaikan janji penambahbaikan pilihanraya.
Himpunan yang dinamakan “Janji Demokrasi” itu dilaporkan mendapat sokongan gabungan 47 NGO.
Antara tuntutan mereka yang lain adalah keluhuran perlembagaan,
kedaulatan undang-undang, mendukung hal sivil, kebebasan bersuara,
memansuhkan akta zalim dan kebebasan media.
.
Seterusnya >>>
KUALA LUMPUR 30 OGOS : Himpunan orang ramai di Dataran Merdeka telah
mula berpindah ke depan bangunan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur di Jalan
Raja Laut bagi meneruskan tuntutan penambahbaikan pilihanraya.
Himpunan itu yang sudah mencecah lebih kurang 10,000 orang dijangka
akan mendengar bacaan puisi oleh sasterawan negara A Samad Said serta
ucapan dari aktivis seperti Hishammuddin Rais dan Badrol Hisham Shahrin.
Pemimpin aktivis tersebut berkata mereka akan menyambut ambang Hari Merdeka di depan DBKL.
Turut serta pemimpin Pakatan Rakyat seperti Timbalan Presiden Pas Mohamad Sabu dan MP Kuantan Fuziah Salleh.
Terlebih dahulu, orang ramai berhimpun di Dataran Merdeka walaupun
countdown yang biasanya di adakan di tapak bersejarah itu dibatalkan.
Countdown yang biasanya diadakan julung kali itu tiba-tiba dibatalkan oleh pihak berkuasa.
Ini berikutan kerisauan pihak berkuasa yang program itu akan
dibanjiri ribuan peserta berbaju kuning untuk menuntut agar Kerajaan
Pusat menunaikan janji penambahbaikan pilihanraya.
Himpunan yang dinamakan “Janji Demokrasi” itu dilaporkan mendapat sokongan gabungan 47 NGO.
Antara tuntutan mereka yang lain adalah keluhuran perlembagaan,
kedaulatan undang-undang, mendukung hal sivil, kebebasan bersuara,
memansuhkan akta zalim dan kebebasan media.
.
Seterusnya >>>
KUALA LUMPUR 30 OGOS : Walaupun countdown Merdeka di Dataran Merdeka
dibatalkan, lebih 4,000 orang telah memenuhi kawasan luar padang Dataran
Merdeka di sini untuk himpunan “Janji Demokrasi”.
Tinjauan TVSelangor mendapati walaupun dataran bersejarah itu di
penuhi anggota polis, orang ramai yang berhimpun mula melaungkan slogan
“Bersih” dan “Ubah”.
Setakat ini keadaan masih tenang dan anggota polis kelihatan mengawasi benteng yang didirikan sekeliling dataran.
Countdown yang biasanya diadakan julung kali di dataran untuk menyambut Hari Merdeka tiba-tiba dibatalkan oleh pihak berkuasa.
Ini berikutan kerisauan pihak berkuasa yang program itu akan
dibanjiri ribuan peserta berbaju kuning untuk menuntut agar Kerajaan
Pusat menunaikan janji penambahbaikan pilihanraya.
Himpunan yang dinamakan “Janji Demokrasi” itu dilaporkan mendapat sokongan gabungan 47 NGO.
Antara tuntutan mereka yang lain adalah keluhuran perlembagaan,
kedaulatan undang-undang, mendukung hal sivil, kebebasan bersuara,
memansuhkan akta zalim dan kebebasan media.
.
Seterusnya >>>
KUALA LUMPUR- Setelah lima hari berlalu, poll yang dibuat oleh
akhbar The Malay Mail menunjukkan 98 peratus rakyat Malaysia memilih
'Sebangsa, Senegara, Sejiwa' sebagai tema merdeka tahun ini.
Hanya 2 peratus atau 163 peserta undian ini memilih tema 'Janji Ditepati' dari 6,791 peserta yang menyertai poll ini.
'Janji Ditepati' adalah tema yang diperkenalkan oleh Datuk Seri Rais
Yatim selaku pengerusi jawatankuasa sambutan Hari Kemerdekaan ke 55.
Tema ini telah dibantah oleh pelbagai pihak sehingga Pakatan Rakyat
memperkenalkan tema berlainan iaitu 'Sebangsa, Senegara, Sejiwa'.
Ia dipilih oleh satu jawatankuasa yang dipengerusikan oleh Sastrawan Negara, Datuk A Samad Said.
Selain membantah tema 'Janji Ditepati' yang dilihat sama dengan tema
kempen pilihan raya BN, lagu dan logo Hari Merdeka ke 55 juga dibantah.
Lagu itu juga dibantah kerana mempunyai persamaan yang ketara dengan sebuah lagu gereja di Indonesia.
Lyriknya pula terlalu kasar dalam menyampaikan mesej kempen BN dan bukan untuk semua rakyat negara ini.
Sehingga kini, Rais hanya menarik balik logo Hari Merdeka tetapi masih mengekalkan lagu dan tema sambutan tahun ini.
.
Seterusnya >>>
KUALA LUMPUR 3 Ogos: Pertama kali dalam sejarah negara, lagu tema
Hari Kebangsaan dijadikan kempen untuk menyampaikan agenda parti
politik.
Mengecam
tindakan itu, Angkatan Muda KEADILAN (AMK) mendesak kerajaan Umno
Barisan Nasional menarik balik lagu tema ‘Janji Ditepati’ yang
disalahguna sebagai medium untuk kempen politik mereka.
“Tidak pernah berlaku dalam mana-mana lagu patriotik khususnya untuk
sambutan Hari Kebangsaan, gubahan liriknya secara langsung mengaitkan
dasar ‘one-off’ kerajaan seperti yang dilakukan sekarang dengan menyebut
perihal BR1M, KR1M dan Klinik 1Malaysia.
“AMK mendesak kerajaan tanpa sebarang kompromi menalik balik lagu
tema tersebut dan memanggil karyawan muzik negara untuk kembali mengubah
lagu baru yang lebih menepati jiwa dan semangat kemerdekaan tulen,”
kata Ketuanya, Shamsul Iskandar Mohd Akin.
Kerajaan kata Shamsul, harus berhenti mempropagandakan segala perkara
di bawah kawalan mereka kerana selagi tabiat jelek ini diteruskan,
rakyat akan menolaknya tanpa kompromi.
“Ini menunjukkan sindrom ‘hilang idea’ sehingga terpaksa mencedok
isu-isu yang tidak berkait dengan Hari Kebangsaan,” katanya dalam
kenyataan.
Beliau turut menempelak Umno BN kerana meniru melodinya dari Indonesia.
“Pendedahan terbaru di ruang maya yang menyaksikan wujudnya persamaan
melodi lagu tersebut dengan lagu sambutan keagamaan gereja di
Indonesia, maka ini memperkuatkan lagi dakwaan bahawa kerajaan bukan
sekadar semberono mempropagandakan lagu tema tetapi turut menciplak
karya orang lain,” kata Shamsul.
Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais
Yatim turut dibidas kerana mengenepikan karyawan dengan membuat
keputusan sendiri berhubung Hari Kebangsaan tahun ini.
“Jika diteliti, saban tahun terdahulu, kelompok karyawan diraikan
melalui pertandingan mencipta logo ataupun lagu tema bagi sambutan Hari
Kebangsaan. Tetapi Rais Yatim terbukti tidak meletakkan dirinya di era
moden ini dengan membuat keputusan sehala tanpa mengambil kira pandangan
khalayak,” tegas beliau.
Inisiatif kerajaan tahun ini melalui Kementerian Penerangan bagi
meraikan Hari Kebangsaan mencetuskan kontroversi dan mendapat kecaman
pelbagai pihak kerana menjadikannya agenda politik parti pemerintah.
Dalam perkembangan berkaitan, Rais mengumumkan penubuhan panel
siasatan bagi menyiasat lagu kemerdekaan yang didakwa menciplak lagu
gereja Indonesia.
.
Seterusnya >>>
(Poll yang dibuat The Malay Mail pagi tadi. Ketika dimasuki sekali lagi, ia sudah 'off-line')
KUALA LUMPUR: Satu pungutan suara Malay Mail untuk
meninjau kesukaan pembacanya antara tema Merdeka ‘Janji Ditepati’ dan
‘Sebangsa, Senegara, Sejiwa’ bakal membawa tekanan pada Menteri
Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim.
Setakat
ini, pungutan suara yang berumur sehari itu telah menunjukkan satu
keputusan yang jelas bahawa tema Merdeka, yang juga slogan kempen
Barisan Nasional ditolak hampir sepenuhnya oleh pembaca Malay Mail.
Pagi
tadi, daripada 265 undi, 94 peratus atau 248 undi memilih tema Pakatan
Rakyat sebagai tema yang lebih disukai untuk sambutan Hari Kebangsaan
tahun ini.
Ketika cuba dimasuki sekali lagi pada jam 4.00 petang,
laman The Malay Mail di alamat http://www.mmail.com.my didapati laman
itu 'off-line'. (gambar kanan bawah)
Apakah ia benar-benar bermasalah teknikal sehingga menyebabkan ia 'off-line' tidak dapat disahkan.
Sehingga kini, Rais masih bertungkus-lumus mempertahankan slogan “Janji Ditepati” walaupun diserang daripada pelbagai pelusuk.
Logo
Kemerdekaan yang terlalu simplistik yang dipertahankan Rais dulu
telahpun ditarik balik dengan alasan yang dilihat amat tidak munasabah
dan logik.
Rais, yang sebelum ini mempertahankan logo tersebut
telah bertukar nada menyatakan bahawa tiada logo rasmi untuk sambutan
Merdeka tahun ini selain logo 1Malaysia.
Bukan itu sahaja, laju
tema sambutan Merdeka tahun ini – ‘Janji Ditepati’ yang liriknya ditulis
Rais turut mengundang kritikan ramai.
Ramai yang berpendapat
bahawa lagu tersebut dengan lirik berbunyi, “Janji telah ditepati, kini
masa balas budi” amat menyinggung perasaan.
Selain itu, lagu
tersebut kini turut dituduh menyamai lagu kerohanian Kristian Indonesia
yang dipopularkan oleh kumpulan True Worshippers semenjak tahun 2008.
Dakwaan
itu memaksa penggubahnya Jasnie Mohd Yaakub untuk tampil memberikan
penjelasan bahawa lagu ‘Janji Ditepati’ masih di peringkat pengolahan
dan belum dimuktamadkan.
"Lagu ini belum finalise lagi. Kami olah
dari peringkat ke peringkat sehingga ke tahap terakhir. Jika sudah
diluluskan untuk ke peringkat final, baru kami akan muktamadkan.
"Ilham lagu ini datang secara tiba-tiba, (kami) tak ikut mana-mana lagu pun," tegas Jasnie yang dipetik Sinar Harian.
Jawapan
itu jelas bercanggah dengan Rais, yang sebelum ini bertanyakan kepada
rakyat di Twitter, apakah pandangan mereka kepada lagu tersebut yang
sudah ditonton 304,276 kali dan mendapat 32,902 yang mengundi ‘Tidak
Suka’ berbanding ‘523’ yang mengundi suka.
Apakah ini penghujung
kareer politik Rais jika ketiga-tiga logo, tema dan lagu Merdeka hasil
usaha kementerian ditarik balik kerana memalukan keseluruhan BN dan
khasnya perdana menteri Datuk Seri Najib Razak?
.
.
Seterusnya >>>
KANGAR:
Bekas Ketua Penerangan Umno Perlis, Datuk Hashim Suboh menyelar Datuk
Dr Rais Yatim dan menyifatkan Menteri Penerangan, Komunikasi dan
Kebudayaan sebagai punca kontroversi sambutan hari merdeka 31 Ogos ini.
“Dr Rais anggota kabinet yang tidak memahami erti tranformasi yang
mahu dibuat oleh Perdana Menteri. Beliau telah merosakkan momentum
sambutan hari merdeka.
“Kerana beliau, pembangkang telah mempolitikkan tema hari merdeka.
“Elok sahaja dia (Dr Rais) meletakkan jawatan dan berundur. Orang tua tidak memahami keperluan semasa.
“Beliau telah merosakkan momentum tranformasi Datuk Seri Najib Tun
Razak. Sekarang orang menyalahkan, BN, Umno dan Najib,” kata beliau hari
ini.
Pakatan Rakyat tolak
Menurut Hashim, tema sambutan hari merdeka perlu bercirikan semangat
kenegaraan bagi memastikan semua rakyat merasa bangga menjadi warga
yang merdeka.
Bagaimanapun, Katanya, kebebalan politik Dr Rais boleh menyebabkan sambutan hari merdeka menjadi hambar.
“Kita simpati dengan Perdana Menteri yang mahu melaksanakan
tranformasi tetapi dibantutkan oleh ahli-ahli kabinet yang tidak
memahaminya.
“Menteri-menteri kabinet juga ferlu tranformasi tetapi berlainan sekali
dengan yang ini. Beliau tidak memahami tranformasi,” tambah Hashim lagi.
Pakatan Rakyat menolak tema Janji Ditepati kerana mendakwa ia kempen BN.
Sebaliknya memilih tema alternatif “Sebangsa, Senegara, sebagaimana
diumumkan Pengerusi jawatankuasa pemilihan tema tersebut, Datuk A Samad
Said baru-baru ini.
Pakatan Rakyat juga memberi tempoh seminggu supaya Janji Ditepati ditarik balik.
.
Seterusnya >>>
Bagaikan trisula menikam sanubari rakyat Malaysia, trio logo dan lagu
Hari Merdeka serta kostum yang diperagakan kontinjen Malaysia di Sukan
Olimpik pastinya akan mengekalkan parut untuk sekurang-kurang dua tiga
tahun lagi. Barangkali sehingga rakyat puas mencemuh. Dan itu tidak
boleh ditentukan bila penghujungnya.
Kostum dengan motif harimau yang diperagakan atlit negara di majlis
pembukaan Sukan Olimpik telah dinobatkan sebagai antara kostum paling
buruk dalam laporan berita Yahoo!
Seolah-olah sudah tidak ada motif lain bercirikan Malaysia yang boleh
digunakan supaya kontinjen negara segak bergaya di pentas antarabangsa.
Seolah-olahnya rakyat Malaysia ini tidak punya nilai dan selera budaya
yang internasional. Macam kita ini semua suka yang buruk belaka.
Sama kesnya dengan hal logo Hari Merdeka. Isu logo hari Merdeka –
meski sudah ditarik balik rekaannya itu secara kelam kabut oleh pihak
pemerintah, adalah penghinaan maha besar kepada selera dan intelek
rakyat jelata. Ini jelas kelihatan di kalangan komuniti media sosial
yang kebanyakannya terdedah kepada aplikasi rekaan grafik digital.
Slogan
Apalagi dengan kemampuan carian gambar di Google yang membolehkan
kita mencari logo-logo hari kemerdekaan negara-negara lain untuk dibuat
perbandingan. Malu yang ditanggung amatlah besar. Ini belum dikira malu
yang ditanggung setelah mendapati bahawa Singapura, pada sambutan
kemerdekaannya pada tahun 1990 pernah menggunakan slogan ‘One People,
One Nation, One Singapore’ (Satu Rakyat, Satu Negara, Satu Singapura).
Kita harus sedia tahu bahawa tema hari kemerdekaan ini bukan benda
remeh. Cuba kalau kumpulan ultra-Melayu yang bernama Perkasa ubah
slogannya kepada ‘Bersama Makan Buah-buahan Tempatan’, bukankah lari
jauh maksud penubuhan organisasi tersebut? Jadi slogan harus selari
dengan pertubuhan.
Kita harus pergi kepada persoalan akar umbi yang mencetus kontroversi
tema, logo dan lagu Hari Merdeka tahun ini; tidak lain tidak bukan
berpokok pangkal kepada Dato’ Seri Utama Dr. Rais Yatim.
Rais Yatim, dikenali ramai dalam rangkaian media sosial sebagai
‘#yorais’; setelah dengan cemerlang meletakkan dirinya sebagai ‘trending
topic’ di laman Twitter berikutan komen beliau bahawa Twitter dan
Facebook adalah alat dunia Barat yang akan menghakis budaya Malaysia.
Beliau kemudiannya meneruskan legasi di alam cyber dengan pelbagai
langkah-langkah sekatan yang cuba membungkam kebebasan rakyat di
internet.
Lagu
Dan tulisan liriknya untuk lagu tema Hari Merdeka tahun ini
barangkali seperti peribahsa Arab yakni menjadi jerami terakhir yang
mematahkan belakang unta; dan memperlihatkan betapa lekehnya insan ini
sebagai menteri propaganda untuk Barisan Nasional.
Untuk faedah mereka yang tidak begitu ambil berat tentang salah silap
menteri Barisan Nasional, saya hadirkan di sini bait-bait syair karya
agung yang ditulis Rais Yatim dalam usaha beliau untuk kekal relevan
dalam politik transformasi anjuran Menteri Perdana Najib Razak. Rais
menulis:
Macam malam ikut siang,
Macam bulan ikut matahari,
Satu Malaysia terus berjuang,
Janji kita ditepati,
Kata kita dikota,
Janji kita ditepati,
Hidup rakyat dibela,
Masa depan diberkati,
Janji sudah ditepati,
Kini masa balas budi.
Eh! ‘Janji sudah ditepati, Kini masa balas budi’? Ewah-ewah indahnya
bahasa. Ayat terakhir itu mungkin faktor utama kenapa video lagu itu di
Youtube menerima undi tidak suka paling epik dalam sejarah.
Setakat waktu rencana ini ditulis, video pertama dalam carian ‘janji
ditepati’ di Youtube sudah ditonton 110,210 kali dengan 222 undi ‘suka’
dan 12,956 undi ‘tidak suka’. Pautan kedua dalam senarai itu lebih
parah. 169,824 kali ditonton; 265 yang suka, 19,700 tidak suka.
Selebihnya barangkali tidak mengundi suka atau tidak, dan terus tutup
tetingkap selepas baris ‘Kini masa balas budi’.
Pautan ketiga daripada senarai langsung terus tidak membenarkan pengundian dan komen. Takut, mungkin.
Kenapa begitu ganas sekali daya tolakan rakyat terhadap propaganda si
Rais ini? Apa salahnya kalau ‘Janji Ditepati’? Bukankah Barisan
Nasional dikatakan telah berjaya menepati janji-janjinya memajukan
negara? Bukankah Utusan Malaysia dan TV3 sudah membuktikan betapa
agungnya Barisan Nasional? Kenapa masih ditolak tema itu?
Adakah kerana melodi lagunya itu diplagiat daripada lagu ‘Tuhanku
Maha Besar’ yang menurut Youtube, telah dinyanyikan di majlis “Ibadah
Peringatan Kenaikan Tuhan Yesus Kristus ke Surga” pada 21 Mei 2009 di
Jalan Lengkong Kecil 34 -36 Bandung, Indonesia?
Apa pula kata Perkasa dan Hasan Ali dengan hakikat ini? Adakah wujud
pula konspirasi mahu menubuhkan negara Kristian dengan lagu melodi
saduran itu sempena Hari Merdeka kita?
Logo
Segala bobrok dan celaka yang terpalit dengan pembikinan lagu ini
tambah membusuk apabila dipasangkan dengan logo yang barangkali dibuat
guna Microsoft Word dalam jangkamasa kurang tiga minit itu.
Pihak pemerintah walau bagaimanapun akhirnya akur dengan tekanan dan
menggantikan logo yang maha buruk itu dengan logo 1Malaysia, sama
seperti tahun sudah dan tahun sebelum itu.
Kata Rais Yatim, langkah itu diambil bagi membendung salah faham yang
timbul. Tidak, Rais; kami tidak salah faham. Kami faham sangat bahawa
logo tersebut telah direka secara malas, dan dipamerkan kepada rakyat
jelata tanpa segan silu.
Tidak susah untuk faham propaganda ‘Janji Ditepati’ yang cuba
dihidangkan kepada rakyat. Tidak ada salah faham di situ. Namun mesejnya
akan jauh lebih jelas jika diletak sekali logo Barisan Nasional dengan
saranan supaya parti tersebut terus diundi pada pilhanraya umum yang
nampak gayanya hanya akan berlangsung tahun hadapan.
Sabotaj?
Ini membawa kita kepada persoalan seterusnya: Adakah Rais Yatim sedang cuba mensabotaj perancangan Najib Razak?
Kita tahu Rais Yatim pernah dahulu duduk bersama oposisi, di zaman
beliau begitu tidak percaya kepada media arus perdana. Pastinya Rais
masih ingat kata-katanya di dalam ceramah Semangat 46 dahulu. Katanya,
“Tuan-tuan dengar lah. Tapi kalau dengar daripada tivi-tiga, mungkin
lain bunyinya. Kalau dengar dari ar-ti-em, jangan katakan lain bunyi,
langsung tak berbunyi”. Inilah insan yang akhirnya kini menjabat
portfolio propaganda dalam pentadbiran Najib Razak.
Apakah Rais Yatim tidak perhati baik-baik senarai tema Hari Merdeka
yang ada di Wikipedia (kalau dia cari tak jumpa di pejabatnya itu)?
Apakah Rais tidak menilai aspek bahasa dan mesej yang mahu disampaikan
kepada sekian banyak pengundi yang mahu ditarbiahnya supaya memangkah
logo dacing? Penyudahnya ‘Janji Ditepati’ dan ‘kini masa balas budi’
yang dipilih?
Bukankah baik jika mencontohi bahasa yang baik dalam tema tahun 1978
contohnya, “Kebudayaan Sendiri Perpaduan”. Atau mengikut trend bermula
1979 sehingga 1982 yang mengekalkan kata ‘disiplin’ di dalam temanya.
Rais Yatim harus jawab, apa sebenarnya yang sedang cuba beliau lakukan kepada kempen politik Najib Razak.
Apakah beliau juga bertanggungjawab terhadap rekaan kostum hodoh
kontinjen Malaysia di sukan Olimpik? Saya harap tidak.
–/ Roketkini.com
.
Seterusnya >>>
KUANTAN:
Selemah-lemah Tun Abdullah Badawi (Pak Lah), tidaklah sampai logo
sambutan Hari Kemerdekaan perlu ditarik balik seperti sekarang, di zaman
pemerintahan Datuk Seri Najib Razak.
“Maknanya zaman Najib lebih lemah daripada pentadbiran Pak Lah,” kata Ketua Penerangan PAS Pahang, Ustaz Suhaimi Saad.
Suhaimi berkata, buat pertama kali dalam sejarah negara, tema Merdeka
gagal memberikan inspirasi pada rakyat sehingga rakyat mencadangkan
tema yang baru.
“Najib sememangnya sedang melengkapkan kejatuhan BN,” tambah beliau.
Pada 29 Julai yang lalu, Datuk Seri Rais Yatim menarik balik logo
Hari Kemerdekaan negara yang ke-55 akhirnya selepas diserang kiri dan
kanan.
Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan itu turut menjelaskan
tiada logo rasmi digunakan bagi sambutan Hari Kemerdekaan ke-55 tahun
ini, melainkan logo 1Malaysia seperti mana sambutan pada tahun lepas
bercanggah dengan kenyataannya yang lepas ketika mempertahankan logo
tersebut.
Malah, Rais berhelah bahawa "Bahan hiasan (artwork) yang dipaparkan
oleh sesetengah pihak setakat ini hanyalah paparan selingan bukan logo
rasmi."
Suhaimi juga berkata PAS Pahang menyambut baik cadangan tema Merdeka
yang dipilih rakyat, melalui Pakatan Rakyat iaitu “Sebangsa, Senegara
dan Sejiwa.”
Beliau berkata tema itu lebih menepati hasrat rakyat pelbagai kaum di Malaysia.
“PAS Pahang mencadangkan semua kain rentang, bunting yang akan
dikeluarkan oleh Pakatan Rakyat dan rakyat sempena sambutan Merdeka
meletakkan tema baru ini.
“Malah, negeri-negeri Pakatan Rakyat seharusnya menggunakan tema dan
logo yang akan dikeluarkan kemudian dalam acara rasmi sambutan
kemerdekaan di negeri masing-masing,” cadang beliau.
.
Seterusnya >>>
SHAH ALAM 31 JULAI : Pengunaan ‘Janji Ditepati’ atau ’1Malaysia’
untuk tema dan logo Hari Merdeka tidak akan mewujudkankan perpaduan pada
sambutan yang sepatutnya bermakna bagi rakyat Malaysia.
Pengarah Komunikasi PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata penggunaan
kedua-dua tema itu mengenepikan rakyat Malaysia yang tidak menyokong
Umno-BN.
Katanya, hari kemerdekaan sepatutnya dinikmati oleh seluruh rakyat Malaysia tetapi kini diambil alih oleh politik kepartian.
Beliau berkata tindakan itu juga menunjukkan kelemahan Umno-BN dan
mereka tidak ikhlas untuk menjadikan sambutan bagi seluruh rakyat
Malaysia.
“Saya setuju jika pemilihan slogan hari kebangsaan dan mana-mana
perayaan merupakan hak kerajaan yang memerintah tetapi mereka (Umno-BN)
harus faham bahawa sambutan itu milik seluruh rakyat Malaysia.
“Dan kemerdekaan itu sendiri bukan hanya diperjuangkan oleh mereka
tetapi diperjuangkan oleh semua rakyat,” katanya ketika dihubungi
TVSelangor.
Semalam, Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri
Rais Yatim mengumumkan kerajaan hanya akan menggunakan logo ’1Malaysia’
bagi sambutan pada Ogos 31.
Pertukaran itu bagi mengantikan tema ‘Janji Ditepati’ selepas ia dikritik pelbagai pihak sejak seminggu lalu.
Mengulas lanjut perkara itu, Nik Nazmi berkata pertukaran itu menunjukkan kerajaan dalam keadaan tertekan.
“Ia memalukan untuk beliau (Rais). Sudah di keluarkan dan diumumkan secara tiba-tiba mengambil keputusan untuk tukar,” katanya.
.
Seterusnya >>>
KUALA LUMPUR, 29 Julai — Kerajaan Pusat hari ini menukar logo
kontroversi Hari Kemerdekaan ke 55 yang dicipta oleh jurureka dalaman
kementerian penerangan, komunikasi dan kebudayaan dan menukarnya dengan
logo 1Malaysia.
Langkah ini diumumkan oleh menterinya, Datuk Seri Dr Rais Yatim, pagi ini melalui akaun Twitternya.
“Untuk menangkis beberapa salah faham, kami akan gunakan logo
1Malaysia sebagai logo Hari Merdeka dan Hari Msia. Akan ada beberapa
promosi yang menyerlah sehingga ke hari besar,” katanya dalam akaun
Twitternya, @DrRaisYatim.
.
Seterusnya >>>
Selepas logo sambutan Hari Kebangsaan dikritik hebat, kali ini lagi temanya pula dipertikaikan.
Bagi
Buddhi Hekayat - penulis lirik lagu yang memenangi anugerah, Awan Nano -
lagu tema Hari Kebangsaan merupakan satu "propaganda yang kasar".
"Bahasanya mungkin halus tetapi ia tak dapat timbulkan rasa
cinta pada negara. Malangnya, penulis seperti pemerintah yang puji diri sendiri," katanya.
Beliau menambah bahawa lirik "Janji sudah ditepati, kini masa balas budi" adalah seperti "meletak pisau ke leher rakyat".
"Ramai
orang akan mengatakan saya berkata begitu kerana saya ahli PKR dan
sebagainya, tetapi sebenarnya, saya akan mengatakan perkara yang sama
walaupun Pakatan Rakyat sendiri yang melakukannya," kata ketua cabang
PKR Parit Sulong, yang nama sebenarnya ialah Hasmi Hashim.
Malaysiakini menerima CD yang mengandungi lagu dan lirik semasa pelancaran tema Hari Kebangsaan di Brickfields awal bulan ini.
Lirik
ditulis oleh Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri
Rais Yatim manakala melodinya oleh Aye, Jasnie dan Arman E six.
Pandangan Buddhi Hekayat turut disokong oleh Bob Lokman,
yang menulis lirik untuk lagu hit rock blada 80-an - Isabella
- yang berkata bahawa lagu tema Hari Kebangsaan itu "murah dari segi
tulisan, tiada nilai puitis, kata-kata yang digunakan sangat murah.
Tiada nilai patriotik."
"Lagu patriotik perlu sesuatu yang
menimbulkan semangat rakyat, bukan mengajar mereka membodek. Lagu ini
membodek dan memberitahu orang yang mereka tiada pilihan. Ia kempen
politik dan bukannya lagu Hari Kebangsaan," tambahnya.
.
Seterusnya >>>
Ruang laman sosial Facebook dan Twitter dihangatkan dengan
isu video lagu tema sambutan Hari Kemerdekaan kali ke-55 yang dilihat
sebagai modal politik Umno-BN untuk memancing undi dalam pilihan raya
umum ke-13 yang akan datang.
Jika sebelum ini lagu ‘Bahtera Merdeka’ berkumandang setiap kali
sambutan kemerdekaan, tahun ini menyaksikan lagu bertajuk ‘Janji
Ditepati’, lirik ciptaan sepenuhnya oleh Menteri Penerangan, Kebudayaan
dan Kesenian, Datuk Seri Rais Yatim dipilih menjadi lagu tema sambutan
kemerdekaan negara.
Paling mencuri tumpuan, rangkap ‘Janji Sudah Ditepati, Kini Masa
Balas Budi’ menyaksikan kritikan hebat pelayar internet yang mengaggap
rangkap berkenaan sebagai ‘menuntut’ rakyat mengenang kembali jasa
pemerintahan Umno-BN.
Video berkenaan yang telah dimuatnaik ke laman Youtube pada 23 Julai 2012 dengan menggunakan nama akaun NazS10.
Berdasarkan pemerhatian TV Selangor sehingga jam 6.30 pagi tadi video
berkenaan ditonton oleh 11,374 orang dan berjaya mengumpul 3,292
‘Dislike’ sementara 50 ‘Like’.
Ruangan komen video berkenaan turut mendapat kritikan lebih hebat
dari pelayar internet yang rata-rata tidak bersetuju dengan tema
berkenaan.
Dijangkakan lebih ramai pelayar internet akan memberikan kritikan
hebat sekaligus pola ‘Dislike’ akan mengungguli rating video berkenaan.
Video tersebut boleh ditonton pada pautan http://www.youtube.com/watch?v=MzWHRz-owZ8&feature=related
Selain video, logo tema kemerdekaan ‘Janji Ditepati’ turut menjadi
sindiran pelayar internet yang mengubah slogan berkenaan kepada ‘Janji
Dicapati’ sebagai tanda protes.
Sebelum ini, pelbagai pihak mempertikaikan pemilihan tema Hari
Kemerdekaan tahun ini yang dilihat cuba dipolitikkan oleh BN yang
semakin kehilangan kepercayan rakyat ekoran pelbagai pendedahan
penyelewengan termasuk beberapa projek yang memperlihatkan campurtangan
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Pakatan Rakyat turut menggesa tema berkenaan ditukar dan memberikan
tempoh selama seminggu untuk kerajaan berbuat demikian. Jika kerajaan
masih berkeras untuk menggunakan tema berkenaan, negeri di bawah
pentadbiran Pakatan Rakyat mungkin menggunakan tema lain yang lebih
sesuai dengan unsur kemerdekaan.
Slogan ‘Janji Ditepati’ turut menjadi tema siri jelajah 1Malaysia
Barisan Nasional ke seluruh negara sebagai modal ‘kempen awal’ kepada
rakyat.
Minggu ini turut dibangkitkan satu lagi kontroversi iklan ‘Saya Pilih
Malaysia’ yang telah diterbitkan di semua stesen televisyen dan akhbar
media arus perdana dengan memaparkan Mantan Perdana Menteri, Tun
Mahathir Mohamad dan beberapa selebriti terkenal.
.
Seterusnya >>>
KUALA
LUMPUR, 28 JULAI: Slogan Hari Kebangsaan ke-55 gagal mempamerkan
semangat kemerdekaan rakyat Malaysia pelbagai kaum kerana ia telah
dijadikan propaganda untuk menonjolkan Datuk Seri Najib Razak sebagai
ketua kepada United Malays National Organisation (UMNO) dan Barisan
Nasional sahaja.
Slogan “Janji Ditepati” itu diselar kerana tidak memperlihatkan
semangat nasionalisme, malah memecahbelahkan masyarakat kerana membawa
mesej politik sempit semata-mata.
Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang, mengecam tindakan Menteri
Penerangan, Datuk Dr Rais Yatim yang berdegil menegakkan benang basah
dengan mempertahankan slogan berbau kempen pilihan raya tersebut.
Menurutnya, slogan itu hanyalah retorik memandangkan masih banyak janji-janji UMNO yang tidak ditepati, malah dimungkiri.
Beliau mengingatkan tentang masalah pendatang asing di Sabah yang
sudah mencecah angka 1.9 juta; selain masalah jenayah yang kian
meruncing dan gejala rasuah yang semakin menjadi-jadi.
“Banyak yang boleh ditulis tentang bagaimana slogan ‘Janji Ditepati’
itu telah gagal dan langsung tidak berjaya sepanjang 55 tahun Merdeka
dan 49 tahun pembentukan Malaysia,” ujar beliau.
Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timur memberi contoh-contoh
lain seperti kegagalan UMNO-BN menangani keharmonian negara, mencabul
demokrasi serta kegagalan menepati janji tiga tahun Program Transformasi
Kerajaan untuk mengurangkan kadar jenayah, rasuah dan pelaksanaan
transformasi ekonomi dan politik.
Menurutnya, adalah salah dan tidak tepat untuk menggunakan slogan
politik BN sebagai slogan perayaan kebangsaan kerana ia memperlihatkan
Najib sebagai pemimpin untuk UMNO-BN sahaja.
“Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia sepatutnya adalah perayaan untuk
semua rakyat Malaysia, tidak kira keturunan, agama, daerah dan fahaman
politik untuk bersama-sama sebagai sebuah bangsa,” ujar beliau.
Katanya, slogan itu turut diiringi logo yang disifatkannya sebagai
‘rojak’ dan kelihatan buruk, malah turut menerima kritikan hebat di
ruang media sosial disebabkan rekabentuknya yang tidak menepati
ciri-ciri sebuah logo.
“Tidak hairanlah kenapa Malaysia di bawah pentadbiran UMNO dan BN
begitu berantakan, tidak kiralah dalam soal pembinaan negara, politik,
ekonomi, pendidikan mahupun sosial,” ujarnya.
Undian akhbar Sinar Harian dalam jangkamasa 48 jam memperlihatkan
2,359 atau 84% daripada 2,811 orang responden menyokong supaya tema dan
logo tersebut ditukar.
–/ Roketkini.com
.
Seterusnya >>>