Showing posts with label Dewan Pemuda Pas Pusat. Show all posts

Festival busana: PAS berhimpun bantah Rosmah


Dewan pemuda PAS pusat akan berhimpun secara aman bagi membantah tindakan isteri perdana menteri, Datin Seri Rosmah Mansor yang didakwa menghina syariat Islam dan Rasulullah SAW pada penganjuran Festival Busana Muslim di Kuala Lumpur, baru-baru ini, lapor Harakahdaily.
"DPPP mengecam sekeras kerasnya tindakan Rosmah Mansor yang didapati menghina syariat Islam dan Nabi Muhammad SAW apabila salah satu fesyen mereka menulis nama Nabi dalam keadaan pakaian itu jelas mendedahkan sebahagian besar aurat mereka.

"Kita desak Rosmah bertaubat dan minta maaf kepada umat Islam secara terbuka," kata Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Nasrudin Hassan.

Katanya, bantahan berkenaan akan diadakan di masjid negeri seluruh Malaysia selepas solat Jumaat, 22 Oktober ini.

Pada festival itu, perkataan "Muhammad" dalam tulisan Arab secara terbalik didakwa diguna dan dipakai di dada salah seorang peraga fesyen yang tidak menutup aurat.

Tambahnya, pakaian yang diperagakan itu bukan pakaian Islam tetapi “pakaian wanita jalang dan jahiliah”.

"Sungguh memalukan dan jelas menunjukkan Rosmah jahil dan berniat jahat terhadap Islam," kata Nasrudin.


Sehubungan itu, beliau menggesa umat Islam bangkit menyertai perhimpunan itu bagi meluahkan bantahan terhadap tindakan Rosmah dan mendesak isteri perdana menteri itu bertaubat dan mohon maaf secara terbuka kepada seluruh umat Islam.

Rosmah merupakan Penaung Festival Busana Muslim atau Islamic Fashion Festival.

Semalam, ahli parlimen Titiwangsa, Dr Lo' Lo' Ghazali menggesa pPemimpin pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam suapaya mengkaji tindakan Rosmah berhubung perkara yang sama.

Katanya, festival busana itu jelas menghina Islam apabila menggunakan nama agama untuk mengesahkan tindakan penganjuran pertunjukan yang tidak wajar itu.

"Kita berarak bantah kartun Nabi yang dibuat di Denmark, di sini di Malaysia, seluruh maruah Islam ditelanjangkan oleh IFF tersebut," kata Lo' Lo'.
Seterusnya >>>

Jawapan balas terhadap kenyataan Ketua Pemuda MCA dan Gerakan

Pertama, Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP) mengucap terima kasih atas kritikan biarpun keras dari Ketua Pemuda Gerakan Kedah, Tan Keng Liang dan Ketua Pemuda MCA, Wee Ka Siong ekoran tindakan kami membantah penganjuran Konsert Artis Gay Adam Lambert di Stadium Putra Bukit Jalil baru-baru ini. (merujuk kepada kenyataan Tan Keng Liang yang disiarkan dalam laman web Free Malaysia Today, 15 Oktober 2010, manakala kenyataan Wee Ka Siong dalam The Star Online, 16 Oktober 2010.  Kedua-dua pemimpin pemuda tersebut membidas sikap DPPP dalam membantah konsert Adam Lambert yang didakwanya sebagai berfikiran sempit, ekstrim dan tindakan untuk mendiskriminasikan komuniti gay di Malaysia.)
Kedua, mereka harus memahami bahawa Malaysia adalah sebuah negara yang majoriti ummat Islam dan mempunyai lunas perlembagaan serta undang-undang yang tersendiri.  Adalah tidak manis sekiranya Malaysia menjemput seorang artis yang mempopularkan budaya homoseksual yang jelas bertentangan dengan imej, budaya dan agama di Malaysia.  Malah, perbuatan tersebut disifatkan sebagai satu kesalahan dalam undang-undang di Malaysia.  Ini menunjukkan sikap tidak sensitif kerajaan dalam membenarkan penganjuran konsert tersebut di negara ini.
Ketiga, DPPP (Ketua, Nasruddin Hassan At Tantawi, gambar kiri) menginginkan sebuah negara maju yang tidak meruntuhkan naluri kemanusiaan dan kemuliaan seorang manusia.  Apakah maknanya sebuah negara maju sekiranya perbuatan songsang dianggap sebagai satu kebiasaan, trend masa kini dan adakah ia memberikan kebaikan kepada rakyat Malaysia?  Jika benar dakwaan Tan Keng Liang bahawa terdapat satu komuniti gay di Malaysia, inilah masanya untuk kita sama-sama bimbing dan membentuk mereka ke arah perbuatan yang betul dan bukannya membantu untuk menyuburkan budaya tersebut.
Keempat, DPPP juga khuatir sekiranya artis luar negara, Adam Lambert (gambar kanan) akan melakukan sesuatu perkara yang bercanggah dengan garis panduan persembahan artis luar negara yang telah ditetapkan oleh Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Malaysia iaitu mengenai gerak laku semasa persembahan.  Pihak DPPP tidak mahu sekiranya Adam Lambert akan mengulangi tindakan yang pernah dilakukan di American Musics Award sebelum ini di Malaysia pula.
Kelima, suka DPPP mengajak Ketua Pemuda MCA dan Ketua Pemuda Gerakan Kedah untuk turun bergandingan dan berkerjasama dengan Pemuda PAS membimbing dan menyelamatkan generasi muda dari terus terjebak dalam cara dan gaya hidup yang songsang dan tidak bermoral.
Keenam, atau apakah kalian mahu membiarkan budaya songsang dan tidak bermoral ini menular di dalam negara kita tanpa dibendung?  Apakah sebenarnya matlamat perjuangan Pemuda MCA dan Pemuda Gerakan?  DPPP tidak fikir kalian mahu negara ini terdedah kepada budaya kuning dari Barat itu menular masuk ke dalam negara kita.  Marilah kita selamatkan negara dan generasi mudanya dari budaya kotor seperti seks bebas dan homoseksual ini.  DPPP mengajak kalian untuk bersama berjuang menjadikan Malaysia negara kita sebagai zon bebas dari budaya hidup yang songsang dan tidak sihat ini lantara implikasinya adalah sangat buruk buat pertumbuhan sosial negara kita.
Ketujuh, andainya gejala songsang dan homoseksual ini berlaku dalam MCA dan Gerakan, apakah kalian mahu membiarkan ia menular lantas kalian membela dan mempertahankan cara hidup mereka?  Mudahnya, jika itulah sikap yang diambil oleh kalian, DPPP percaya suatu masa nanti Pemuda MCA dan pemuda Gerakan akan pupus ketiadaan waris yang meneruskan perjuangan kalian justeru homoseksual tidak akan melahirkan waris.
Kelapan, DPPP ingin menekankan bahawa PAS tidak anti hiburan.  Namun, corak persembahan, lirik lagu, budaya dan peribadi artis yang diundang mestilah diambil kira kerana ia boleh mempengaruhi sikap individu terutamanya golongan muda.  Malah, kami menyeru agar semua pihak bersama-sama membentuk rakyat agar memiliki jati diri yang teguh, mengamalkan corak hidup yang sihat dan bertamadun ke arah menuju sebuah negara yang maju.
Kesembilan, DPPP bukanlah ekstrim sebagaimana yang didakwa.  Justeru ekstrim itu ialah mereka yang degil untuk melakukan maksiat dan mungkar biarpun mereka menyedari ia adalah terlarang.  Ekstrim ialah mereka yang degil melakukan perbuatan yang merosakkan moral dan akhlak biarpun mereka mengetahui implikasinya membinasakan pertumbuhan sosial negara.  Sementara mereka yang berjuang untuk kebenaran dan menyelamatkan generasi dari terjebak dalam pengaruh mungkar serta kerosakan moral ini pula ialah golongan yang berprinsip bukan ekstrim.
Kesepuluh , DPPP mengharapkan Kalian tidak salah faham apalagi buat-buat tidak faham, kenapa Pemuda PAS bangkit membantah budaya seperti ini.  Tidak cukup lagikah kebejadan yang berlaku menimpa negara hari ini akibat berleluasanya pengaruh cara hidup barat dalam negara dan generasi muda kita?  Kalian tentu tidak mahu rosaknya peradaban dan tamadun negara kita sebagaimana rendah dan runtuhnya moral dan tamadun kemanusiaan di Barat hari ini.
*Kenyataan media oleh Nasruddin Hassan At Tantawi selaku Ketua Pemuda Dewan Pemuda PAS Pusat.
Seterusnya >>>

Tun Mahathir tepati teori "Melayu mudah lupa"

KUALA LUMPUR, 24 Sept: Dewan Pemuda PAS Pusat menyifatkan mantan Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad menepati teori sendiri iaitu "Melayu mudah lupa" apabila menyatakan Melayu hilang kuasa di bawah Pakatan Rakyat.

Sambil menyelar tindakan Mahathir yang cuba meniupkan api perkauman itu, Setiausaha DPPP Khairul Faizi Ahmad Kamil turut mempersoal akan kebenaran kenyataan tersebut.

"Jika diteliti kembali akan kenyataan beliau seolah-olah kenyataan tersebut dikeluarkan oleh mereka yang ‘tidak cerdik’ dan bukannya datang daripada seorang yang dianggap tokoh negarawan.

"Fakta-fakta yang diberikan menunjukkan beliau sememangnya mengesahkan teori  beliau sendiri iaitu Melayu Mudah Lupa," katanya dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily hari ini.

Utusan hari ini menyiarkan kenyataan Mahathir yang mendakwa kuasa politik Melayu akan hilang sekiranya Pakatan Rakyat yang digelarnya parti pembangkang mendapat kuasa.

Mahathir juga mengambil contoh negeri Perak ketika dibawah Pakatan Rakyat.

Beliau mendakwa, walaupun menteri besarnya iaitu Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin Melayu dari PAS, tetapi kerajaan itu dikuasai oleh DAP.

Pemuda PAS bagaimanapun mengajak Mahathir melaihat secara waras negeri Kelantan yang diperintah PAS yang kini sudah lebih 20 tahun.

"Berapa inci tanah orang Melayu yang PAS telah khianati? Sedangkan kalau dilihat ekonomi Melayu di Kelantan lebih hebat jika dibandingkan dengan negeri yang diperintah oleh Umno BN.

"Terbaru, sebanyak 118 projek di Kelantan telah dibekukan sejak Rancangan Malaysia ke-6 diperkenalkan pada tahun 1991...

"Bukankah Kelantan yang majoritinya terdiri daripada masyarakat orang Melayu? Mengapa dihalang pembangunan negeri yang majoritinya orang Melayu jika Umno benar-benar memperjuangkan Melayu?" soal Khairul Faizi lagi.

Beliau juga memberi contoh sewaktu Terengganu diperintah PAS pada tahun 1999.

Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang ketika menjadi Menteri Besar negeri itu jelasnya telah memberi tanah kepada orang Melayu namun dirampas kembali setelah Umno berjaya menawan semula Terengganu pada tahun 2004.

"Apakah ini tidak khianat namanya?" beliau melemparkan soalan seterusnya.

Di Perak pula ketika 10 bulan Pakatan Rakyat memerintah, 3,000 ekar tanah diberikan kepada orang cina manakala orang melayu mendapat 7,000 ekar.

"Jika Umno menuduh PAS boneka DAP, mengapa tanah yang dipohon oleh Tuan Guru Hj.Abd.Latif (Pondok Pak Teh Kroh, Grik Perak) yang dipohon sejak 1996  telah diluluskan oleh Exco PR pada tahun 2008 (setelah 12 tahun) sebanyak 45 ekar.

"Jika Datuk Seri Nizar adalah merupakan boneka DAP, pastinya permohonan beliau ditolak," jelasnya lagi.

Beliau turut mengemukakan beberapa kes yang didakwa pengkhianatan Umno kepada Melayu berhubung isu tanah antaranya:
- 22,000 ekar tanah kerajaan digadai kepada gergasi KLK (KL Kepong) di Lekir, Manjung.
- 5,000 ekar di Bruas yang mana 1,500 ekar kepada MCA di Bandar Baru, Kampar (UTAR)

- 200 ekar Tanah Rizab Melayu (TRM) digadai kepada Perak Hanjoong (sekarang YTL) di Padang Rengas, Kuala Kangsar (dekat sebelah Lebuhraya PLUS)

- Pada tahun 1990 seramai 80 penduduk di Pantai Chenang, Langkawi yang tinggal di atas TRM dihalau untuk membina Pelangi Beach Resort

- Sebanyak 930 hektar TRM di Kampung Mambau, N. Sembilan telah diambil untuk Projek Seremban 2 pada 1990.

- Juga pada tahun yang sama, 600 orang yang tinggal di situ, 26,000 hektar TRM di Tanjung Langsat – Tanjung Piai, Johor diambil oleh Kuok Brother Collabratioan UEM 

"Hakikatnya Umno menjadi punca tanah rezab melayu banyak tergadai terutamanya dizaman Tun Mahathir sewaktu menjadi PM dahulu. Ini baru isu tanah. Belum lagi bab saham bumiputera yang tinggal 2 bilion daripada 52 bilion, isu rasuah dan salah laku pemimpin," katanya.

Sehubungan itu, pemuda PAS turut mencabar Mahathir untuk berdebat secara terbuka siapa sebenarnya pengkhianat Melayu.

Kembara Jr......... Itulah dia bekas Perdana Menteri Malaysia. Dek kerana dalam keadaan terdesak dia sanggup lakukan apa saja  demi menjaga kuncu-kuncu, biarpun perbuatanya atau kata-katanya itu akan menimbulkan kemarahan rakyat
Seterusnya >>>

Santa 'Pak Haji', TV3 diminta tak ulangi kesilapan

Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP) menghantar surat peringatan kepada rangkaian televisyen Media Prima Bhd agar tidak mengulangi kesilapan menyiarkan iklan menyentuh sensitiviti umat Islam.
Surat dari ketuanya, Nasrudin Hassan dihantar kepada ketua pegawai eksekutif rangkaian itu, Datuk Seri Ahmad Farid Ridzuan melalui faksmili semalam.

"DPP Pusat mengingatkan TV3 agar tidak mengulangi perkara ini lagi di masa akan datang serta menjaga sensitiviti umat Islam.

"TV3 seharusnya mempunyai lembaga penapisan atau pemantauan syariah yang ketat agar sesuatu iklan atau filem yang ditayangkan di TV3 tidak bercanggah dengan syariah atau aqidah umat Islam serta boleh diterima oleh semua pihak," katanya dalam satu kenyataan.

PAS juga kata Nasrudin mahu TV3 berhati-hati dalam setiap bahan yang mahu disiarkan dan menggesa stesen tersebut mewujudkan lembaga penapisan atau pemantauan syariah.

Katanya, iklan tersebut tidak sepatutnya disiarkan langsung kerana mengundang persepsi buruk daripada masyarakat khususnya umat Islam lebih-lebih lagi ketika pada bulan Ramadan.

"Iklan Aidil Fitri ala Santa Claus ini dilihat sebagai satu perbuatan menghina agama Islam dan mendidik penonton khasnya kanak-kanak menjadi syirik.”


Selain itu, Pemuda PAS turut meminta pihak berkuasa termasuk Jabatan Agama Islam Malaysia (Jakim), Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) dan Kementerian Penerangan agar meningkatkan pemantauan ke atas penyiaran seperti iklan, drama atau filem agar kandungannya tidak melanggar batas syarak.

Sejak Khamis lalu, TV3 menyiarkan iklan yang menggambarkan seorang lelaki tua dan kanak-kanak menaiki beca ajaib ala kereta salju Santa Claus sehingga melintasi bulan.

Ia dilihat seperti menyamakan Aidil Fitri dengan unsur Krismas, Hindu dan Buddha apabila memasukkan elemen beca terbang, bunga teratai dan pelita.

Kos penerbitan iklan itu dikatakan mencecah RM200,000 dan banyak menggunakan teknik janaan pengimejan komputer (CGI).
Seterusnya >>>

TV3 Didakwa Cuba Satukan Agama Di Bawah Payung 1Malaysia

SHAH ALAM 6 Sept - Dewan Pemuda PAS mendakwa iklan Aidilfitri yang disiarkan oleh TV3, stesen televisyen yang dikaitkan dengan Umno dianggap satu usaha untuk menyatukan semua agama di negara ini di bawah konsep 1Malaysia selain menggalakkan amalan syirik di kalangan umat Islam terutamanya golongan belia dan kanak-kanak.
Semalam stesen televisyen tersebut membuat keputusan menarik balik iklan tersebut setelah dikritik hebat serta memohon maaf kepada umat Islam di negara ini.
Ketua Dewan Pemuda PAS PUsat, Nasrudin Hassan At Tantawi berkata iklan tersebut jelas menunjukkan stesen swasta tersebut gagal dalam menyelami sensitiviti dan mengetahui batasan agama dan kaum walaupun setelah 26 tahun beroperasi.
"Inilah bahananya apabila konsep 1Malaysia yang menjadi sloganan Perdana Menteri tidak difahami oleh rakyat Malaysia hatta pemimpin Umno-Barisan Nasional sendiri.
"Akhirnya TV3 membuat tafsiran sambutan Aidilfitri mereka sendiri sehingga boleh menyebabkan gugurnya akidah seseorang Muslim itu. Tak faham konsep 1Malaysia sampaikan agama pun hendak disatukan sebab itu kita lihat ada unsur Kristian, Buddha, Hindu dalam iklan tersebut," tegas Nasrudin kepada Suara Keadilan ketika dihubungi.
Malah lebih mengejutkan, beliau mempersoalkan keberkesanan fungsi serta peranan yang dimainkan oleh agensi seperti Lembaga Penapis Filem yang memantau serta menapis bahan yang disiarkan melalui media elektronik seperti filem, drama, iklan dan dokumentari.
"Kita lihat dalam kes iklan TV3 ini seolah-olah Lembaga Penapisan Filem lepas tangan atau terlepas pandang mengenai iklan tersebut walaupun mereka mempunyai panel syariah. Apa yang mereka buat sampai lalai begini?
"Kita desak Jakim (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia) supaya memantau dan mengambil tindakan terhadap TV3 kerana menyiarkan iklan seperti itu yang menimbulkan kekeliruan terutamanya kepada kanak-kanak yang menontonnya.
"Kalau orang awam boleh menyedari iklan TV3 tersebut boleh menggugat akidah dan keimanan umat Islam bagaimana pula agensi seperti Pusat Islam, Jakim dan para Mufti di Malaysia," tegas Nasrudin lagi.
Iklan Aidilfitri terbitan stesen televisyen itu memaparkan beberapa babak yang boleh ditafsirkan mempunyai pengaruh agama Kristian dan Buddha.
Antara yang paling menonjol ialah adegan dimana seorang lelaki tua yang berkopiah muncul di luar tingkap sambil mengajak dua kanak-kanak menaiki becanya yang berwarna merah.
Beca itu pun secara magik terbang membawa kedua-dua kanak tersebut menjelajah alam di waktu malam.
Unsur ini jelas dilandaskan kepada perayaan Hari Natal di mana watak Santa Claus yang berpakaian serba merah dengan menaiki pedati terbang yang ditarik oleh sekumpulan rusa.
Begitu juga dengan adegan yang menunjukkan bunga teratai mengembang yang merupakan simbol daripada ajaran Buddha.
"TV3 mempamerkan Aidilfitri itu sebagai satu sambutan perayaan yang sama taraf seperti sambutan parayaan agama dan kaum lain seperti Kristian, Hindu, Buddha, Tahun Baru Cina dan sebagainya. Walhal Aidilfitri ialah satu ibadah merupakan manifestasi kesyukuran umat Islam berpuasa melawan nafsu selama sebulan serta melatih jiwa dalam proses penyucian rohani atau spiritual seseorang islam itu.
"Ia bukan majlis pesta seperti yang digambarkan oleh TV3 atau media milik Umno-BN yang mengosongkan jiwa Aidilfitri itu dengan sambutan ala jahiliyah yang dipenuhi gelak ketawa, makan minum serta pergaulan bebas tanpa ada had dan sempadan di mana halal dan di mana haram sesuatu perbuatan itu," jelas Nasrudin panjang lebar.
Nasrudin berkata Dewan Pemuda PAS akan menyampaikan memorandum bantahan kepada pihak pengurusan TV3 dan Kementerian hari ini.
Seterusnya >>>

Iklan Aidil Fitri: Pemuda PAS hantar bantahan ke TV3

KUALA LUMPUR, 5 Sept: Dewan Pemuda PAS Pusat akan menghantar surat bantahan ke stesen TV3 dan juga kepada Kementerian Penerangan berkaitan siaran iklan Aidil Fitri yang didakwa mengelirukan.

Iklan tersebut didakwa seperti cuba menyamakan perayaan Aidil Fitri dengan unsur-unsur Krismas, Hindu dan Buddha apabila memuatkan elemen menaiki beca terbang ala Santa Claus, bunga teratai dan pelita.

Bantahan tersebut akan dihantar pada Isnin ini, 6 September 2010.

"Iklan Aidil Fitri ala Santa Claus ini juga dilihat sebagai satu perbuatan menghina agama Islam dan mendidik penonton khasnya kanak-kanak menjadi syirik.

"Ia sangat mengguris perasaan dan sensitiiti ummat Islam," kata Ketua Dewan Pemuda PAS, Nasruddin Hassan.

Sehubungan itu, Dewan Pemuda PAS katanya menggesa agar TV3 segera membatalkan penyiaran iklan tersebut.

"Kalaupun pihak mereka mahu mempromosikan 1 Malaysia , janganlah keterlaluan sehingga mengenepikan persoalan sensitif mengenai agama dan pegangan hidup ummat Islam," katanya lagi.

Selain itu mereka mendesak agar TV3 memohon maaf kepada ummat Islam di atas penyiaran iklan yang bercanggah dengan Syara' dan memberi gambaran yang salah tentang Aidil Fitri sebagai satu hari yang mulia dalam diari ibadah ummat Islam .

Manakala Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (Jakim) pula diges memantau iklan, filem dan drama yang bertentangan dengan nilai dan syariat Islam sepanjang perayaan ini.

"Nampaknya tidak memadai iklan atau filem ditapis oleh pihak Finas jika perkara-perkara yang menjejas nama baik Islam masih terus berleluasa di dalam media elektronik negara kita," katanya.

Sementara itu, iklan tersebut juga mendapat kritikan hebat uamat Islam di laman FaceBook yang mandakwa TV3 sengaja mahu membangkitkan kemarahan orang Islam.

Mereka juga mendakwa, iklan tersebut adalah yang paling rendah nilai dalam sejarah iklan TV3.
Seterusnya >>>

Fitnah Zam: PAS lapor polis

KUALA LUMPUR, 2 Sept: Dewan Pemuda PAS Pusat hari ini membuat laporan polis berhubung kenyataan fitnah bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Zainuddin Maidin terhadap parti itu.


Ianya ekoran kenyataan Zainuddin sebelum ini yang mendakwa PAS meminta Allahyarham Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj ‘merampas’ harta-harta orang Cina semasa Tragedi 13 Mei 1969, manakala ketika Konfrantasi Malaysia-Indonesia, PAS menyebelahi Indonesia supaya ‘mengambil’ Malaysia.
Beliau membuat kenyataan tersebut dalam temuramah bertajuk "Zam Dedah Hasutan Jahat Pas" bersama umno-online dan kemudiannya disiar akhbar Utusan Malaysia pada 30 Ogos lalu dengan tajuk 'PAS parti ekstrem'.
Laporan polis hari ini dibuat oleh Ketua Penerangan PAS Pusat, Idris Ahmad di Balai Polis Chow Kit, Lorong Haji Taib di sini kira-kira jam 3 petang ini.
PAS sebelum ini memberi tempoh tiga hari bermula 30 Ogos lalu kepada Zainuddin agar beliau memohon maaf dan menarik balik kenyataan tersebut.
Ekoran gagal berbuat demikian, PAS sedang menimbang akan mengambil tindakan undang-undang.
Seterusnya >>>

Tandatangan Online Sokong Hapus Saman Ekor

KUALA LUMPUR, 31 Ogos - Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP) berharap anak-anak muda seluruh negara dapat bersama menurunkan tandatangan secara online sebagai tanda sokongan menghapuskan saman ekor yang dilihat tidak mendidik pemandu sebaliknya memeras wang rakyat dengan cara halus.
Setiausahanya, Khairul Faizi Ahmad Kamil berkata, ini lanjutan daripada pelancaran Kempen Sejuta Tandatangan Bantah Saman Ekor yang dilancarkan pada 23 Ogos lepas di Bazaar Ramadhan Pasar Keramat.
Tambahnya, tandatangan bolehlah diturunkan di alamat http://www.petitiononline.com/saman/petition.html mulai sekarang dan akan berakhir pada 31 Oktober nanti.
Katanya, walaupun kempen itu sedang  rancak gerak kerjanya di peringkat parlimen yang diuruskan oleh setiausaha DPP kawasan-kawasan, namun DPPP merasakan perlunya satu alternatif yang lain iaitu dengan melalui dunia siber yang semakin popular terutamanya di kalangan masyarakat bandar dan ibu kota.
“Kempen begini dirasakan perlu oleh DPPP dalam usaha untuk menarik  masyarakat terutamanya  golongan anak-anak muda untuk menyatakan sokongan supaya dapat bersama-sama DPPP bagi menyatakan sikap terhadap kerajaan Malaysia agar memansuhkan terus saman ekor, bukannya menangguhkannya,” ujarnya.
DPPP melancarkan kempen tersebut sebagai sokongan kepada usaha Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar yang juga merupakan Ahli Parlimen Pokok Sena melalui Kempen Anti Saman Ekor (KASE) yang begitu komited dalam menentang saman ekor.
Katanya, kempen itu dijalankan ekoran kesukaran untuk memperbaharui cukai jalan dan lesen memandu mereka yang telah disenaraihitamkan ekoran mempunyai saman ekor.
Tambahan pula, ujarnya dengan rintihan rakyat tentang saman ekor yang jelas membebankan, maka DPPP mengambil ketetapan untuk mengumpul tandatangan membantah saman ekor dan sedang digerakkan ke seluruh negara yang mana kemudiannya akan diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sebagai tanda bantahan.
Seterusnya >>>

Pemuda PAS promosi ‘nikah gantung’ atasi masalah buang bayi


 KUALA LUMPUR, 23 Ogos — Dewan Pemuda PAS Pusat akan melancarkan kempen nikah khitbah atau nikah “gantung” — pasangan yang berkahwin tidak perlu tinggal bersama jika masih tidak mampu — sebagai salah satu cara mengatasi masalah membuang bayi.
“Nikah khitbah atau nikah gantung ini kita anggap dapat selesaikan masalah sosial.
“Ia sama macam nikah biasa cuma pasangan tidak tinggal bersama selepas nikah atas sebab tertentu seperti tidak mampu atau masih belajar,” kata Ketuanya Nasrudin Hassan Al-Tantawi di sini.
Beliau menambah menariknya bagi mereka yang telah bernikah gantung ini ialah tidak perlu risau setelah terlanjur kerana sudah pun bernikah.
“Mereka boleh bergaul secara halal dan kalau mengandung pun tidak akan panik lalu membuang bayi,” kata beliau merujuk kepada masalah pembuangan bayi yang menjadi polemik sejak kebelakangan ini.
Bagaimanapun beliau berkata, nikah “gantung” ini dianjurkan untuk mereka yang berusia 18 tahun ke atas atau pelajar universiti dan bukannya seperti cadangan perkahwinan bawah umur yang dianjurkan Majlis Agama Islam Negeri Melaka.
Kes buang bayi dan masalah kehamilan luar nikah di kalangan pelajar semakin menjadi sehingga membuatkan pelbagai pihak memberikan pandangan bagi mengatasi masalah ini.
Kerajaan Negeri Melaka telah membenarkan perkahwinan awal bagi remaja bawah umur yang berkemampuan berkahwin serta menubuhkan sebuah sekolah khas untuk pelajar hamil.
Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah merumuskan bahawa lebih 80 peratus mereka yang didakwa terlibat dalam kes pembuangan bayi terdiri daripada orang Melayu.
Malah 13 dari 65 kes sepanjang tahun ini telah pun masuk proses pendakwaan di mahkamah dan semua yang tertuduh adalah orang Melayu.
Sebanyak 67 kes direkodkan pada 2005, dan disusuli 83 kes pada tahun berikutnya, 76 (2007), 102 (2008) dan 79 (2009).
Selain itu Dewan Pemuda PAS juga mencadangkan agar kerajaan pusat menubuhkan segera Suruhanjaya Sosial Negara bagi menangani masalah kebejatan sosial di kalangan golongan negara ini.
Nasrudin berkata peranan suruhanjaya ini adalah selaras dengan perjuangan PAS iaitu mencegah kemungkaran dan gunakan cara Islam sebagai jalan penyelesaian.
“Suruhanjaya ini adalah untuk menangani perkara-perkara yang melibatkan penyakit sosial seperti dadah, jenayah, keruntuhan akhlak, masalah remaja, serta media massa yang sebahagiannya tidak bertanggungjawab menyiarkan cerita tidak sopan yang membawa kepada gejala sosial,” katanya.
Dewan Pemuda itu juga meminta kerajaan menilai penggunaan perundangan syariah sebagai alternatif usaha membanteras masalah sosial ini.
Nasrudin berkata perundangan syariah ini menggunakan kaedah menyeluruh dari segi pendidikan, kawalan pencegahan dan perlaksanaan, bukannya hanya tertumpu dari sudut hukuman semata-mata dan tidak memaksa penganut agama lain.
“Undang-undang dan peraturan syariah bukan semata-mata terhenti ke atas hukuman.
“Ia terlibat dalam kawalan, pencegahan dan sebagainya. Bagi bukan Muslim, kita serahkan kepada undang-undang agama mereka jika ada dan jika mereka nak ikut, tiada masalah,” ujar beliau.
Menurut Nasrudin PAS, akan bekerjasama dengan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) Islam lain bagi mengadakan Konvensyen Sosial Negara pada November ini bagi mengeluarkan satu deklarasi mengenai masalah sosial di kalangan muda negara ini.
Seterusnya >>>