Showing posts with label Datuk Sri Mohammad Nizar. Show all posts

Jangan khianati wang pampasan 'landasan maut'


KUALA LUMPUR: Wang pampasan buruh paksa Landasan Kereta Api Maut Jepun yang digunakan untuk menubuhkan Perbadanan Perkapalan Antarabangsa Malaysia (MISC) merupakan satu tindakan yang tidak wajar.

Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin, berkata wang tersebut sepatutnya diserahkan kepada mangsa buruh paksa ataupun waris mereka.

"Sewajarnya wang itu untuk mangsa. Bayangkan ada di kalangan mereka yang hilang kerana dipaksa membina, tidak kurang juga mati ketika itu.

"Bagaimana kerajaan boleh menggunakan wang darah tersebut untuk membina MISC?" soal beliau pada satu sidang media khas, di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut, hari ini.

Tambah beliau, tindakan itu menunjukkan kerajaan benar-benar tidak mempunyai sikap kemanusiaan dan peka terhadap mangsa buruh paksa tersebut.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Datuk Ahmad Shabery Cheek, yang pernah dilaporkan Utusan Malaysia, bertarikh 11 Mei 2007 yang menyatakan wang tersebut digunakan untuk penubuhan MISC.

Shabery, ketika itu yang memegang jawatan sebagai Setiausaha Parlimen Kementerian Luar, dilaporkan berkata kes itu dianggap selesai.

Menurut beliau, ini berikutan satu perjanjian berkaitan bekas buruh paksa Jepun yang telah ditandatangani oleh kerajaan Malaysia dan kerajaan Jepun pada 21 September 1967.

Mengikut perjanjian tersebut, katanya, kerajaan Jepun bersetuju membayar wang darah kepada Malaysia dan wang tersebut telah digunakan untuk menubuhkan MISC.

Sebelum ini, isu berkaitan pampasan ini pernah dibangkitkan Nizar ketika perbahasan belanjawan 2013, hujung tahun lalu.

Beliau ketika itu meminta Menteri Kewangan menjelaskan status kedudukan wang tersebut yang dikatakan sudah dibayar kerajaan Jepun kepada Malaysia, namun mangsa ataupun waris masih tidak menerima wang tersebut.
Seterusnya >>>

Mengapa kerajaan bisu isu tuntutan RM207 bilion?

KUALA LUMPUR: Kerajaan masih membisu dalam menjelaskan status tuntutan wang berjumlah RM207 bilion oleh Persatuan Kebajikan Bekas dan Warisan Buruh Binaan Landasan Keretapi Siam ke Burma.
Malah menurut Ahli Parlimen Bukit Gantang, Dato' Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin, kerajaan kononnya masih dalam proses perbincangan dan segalagalanya terletak pada keputusan Menteri Kewangan Malaysia, Dato' Seri Najib Tun Razak.
Beliau juga menambah, pihak PAS sendiri akan mengadakan satu sidang akhbar serta pada masa yang sama akan memanggil beberapa orang wakil dari Persatuan Kebajikan Bekas dan Warisan Buruh Binaan Landasan Keretapi Siam ke Burma untuk menerangkan dengan lebih terperinci berkenaan hal tersebut.
Ditanya sama ada PAS akan menggerakkan satu sekretariat khas bagi mempermudahkan waris-waris mengumpulkan data dan maklumat mereka, Nizar berkata ianya bergantung kepada perkembangan yang akan berlaku selepas ini.
Sebelum ini, Nizar menggesa kerajaan menjelaskan di mana wang berjumlah RM207 bilion hasil tuntutan persatuan terbabit.
Kata Nizar, Kementerian Kewangan harus menjelaskan isu tersebut memandangkan adanya maklumat mendakwa bahawa ianya telah dibawa ke kabinet untuk diperhalusi.
Malah kata Nizar, bayaran oleh Kerajaan Jepun kepada Malaysia telah pun dibuat menurut satu laporan laman sesawang pihak berkuasa di sana.
Bercakap kepada Harakah pada 16 Oktober lalu, Nizar mendesak kerajaan memberi penjelasan lanjut mengenai status wang RM207 bilion itu.
"Sama ada wang itu berada di mana, dan jika benar telah diterima oleh kerajaan seperti dakwaan pihak lain, mengapa bayaran pampasan itu tidak diserahkan kepada pihak yang menuntutnya," ujar beliau.
Ujar beliau, ada maklumat yang menyatakan pembayaran oleh Kerajaan Jepun telah dibuat pada zaman Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri.
Nizar menyebut, mengikut surat yang diterima persatuan tersebut bertarikh 3 Oktober 2011 daripada Bahagian Kabinet, Jabatan Perdana Menteri memberitahu bahawa pengeluaran wang pampasan ini memerlukan proses tertentu kerana kelulusannya melibatkan Dana Khas.
Sebelum ini, semasa pemerintahan Jepun dulu sekitar 72,000 rakyat negara ini telah dikerah untuk membina landasan kereta api sepanjang415 kilometer dari Stesen Tha Rua Noi ke Stesen Thanbyuzayaty.
Dari sejumlah itu, hanya kira-kira 30,000 orang berjaya kembali ke negara ini manakala selebihnya mati atau hilang.
Seterusnya >>>

Penjelasan Nizar tentang Vale



Pakatan Rakyat Perak ingin menolak segala serangan yang terkutuk oleh Menteri Besar Barisan Nasional, yang mana mengatakan bahawa EXCO Pakatan Rakyat terlibat dalam membenarkan dan meluluskan tanah untuk VALE di Teluk Rubiah.


Amat tidak masuk akal sama sekali untuk mengatakan bahawa kerajaan PR menawarkan bekas tanah resort di Teluk Rubiah kepada VALE kerana ia adalah tanah persendirian. Kerajaan Pakatan Rakyat Perak telah mencadangkan Tanjung Hantu sebagai kilang mempeletan bijih besi dan juga projek pusat distribusi yang mana dicadangkan VALE.

Tanjung Hantu terletak kira-kira 45km dari Teluk Rubiah dan merupakan tempat yang dinyahhutankan dan mempunyai penduduk yang bilangannya kecil sahaja. Tanah yang dicadangkan juga merupakan tanah milik negeri. Kita berpendirian teguh atas pendirian ini.

Surat saya hanyalah kenyataan pengaluan, untuk bersetuju untuk menimbangkan kesemua tapak yang dicadangkan termasuk Teluk Rubiah. Seperti mana jua seorang Menteri Besar yang bertanggungjawab, saya menunjukkan budi bahasa dan positiviti kepada seorang yang berpontensi menjadi pelabur asing kepada negeri yang mana patut diterima mereka sebelum apa-apa penyiasatan dan keputusan dibuat.

Hal tersebut hanya diperingkat permulaan sahaja. Laporan-laporan daripada agensi negeri yang berkaitan belum lagi dikumpulkan dan dibincangkan,dan ia masih belum dibincangkan dalam mana-mana mesyuarat EXCO. Oleh itu, tidak mungkin sebarang keputusan boleh dibuat atas isu tersebut. Isu tersebut hanya boleh akan dibuat selepas Penilaian Kesan Alam Sekitar dijalankan dan keputusannya hendaklah memuaskan. Tambahan pula agensi-agensi berikut harus dirunding terlebih dahulu:

• TNB: Yang mempunyai Stesen Janakuasa hampir dengan Teluk Rubiah
• Perdagangan dan Industri Antarabangsa Malaysia (MITI)
• Jabatan Perikanan dan Marin
• Pejabat Tanah dan Galian
• Kementerian Pertahanan : Untuk memastikan ia tidak akan membawa kesan terhadap protokol-protokol berkaitan dengan Tentera Laut,Kementerian Pelaburan, Pembangunan dan Industri.

Apabila kita mengkaji tapak yang berpotensi, kita amat terkejut dengan penemuan kita. Harta Makmur Sdn Bhd yang memiliki tanah resort Teluk Rubiah menghadapi masalah kewangan. Syarikat tersebut berhutang dengan kerajaan negeri lebih RM20juta untuk cukai pintu. Ia juga mempunyai sejumlah hutang dan pinjaman belum berbayar kepada pelbagai institusi kewangan melebihi RM200juta. Oleh yang demikian, kita ada beberapa pertanyaan.

Adakah keputusan untuk meluluskan projek tersebut di Teluk Rubiah dipengaruhi oleh pertimbangan untuk membantu Harta Makmur dalam keadaan kewangannya meskipun ia bertentangan dengan kehendak rakyat? Tapak tersebut dan kawasan sekitarnya mempunyai tugas sebagai menjadi tumpuan pelancongan di Manjung. Berjuta-juta ringgit dibelanjakan untuk mencantikan kawasan tersebut demi menjadikan ia tumpuan pelancongan yang luar biasa cantiknya. Saya juga ingin tahu mengapa Zambry begitu melindungi kepentingan Harta Makmur, meskipun ia jelas bertentangan dengan kebajikan rakyat.

Ia difahamkan bahawa jika terdapat sebarang pertikaian yang timbul atas projek ini, ia telah dinyatakan dalam perjanjian antara BN dan VALE bahawa hal berbangkit tersebut akan diselesaikan dalam mahkamah Singapura. Ini merupakan satu penghinaan terang-terangan kepada negara kita, negeri kita, dan rakyat kita yang mana kedua-dua pihak tidak mengiktiraf sistem kehakiman negara ini. Saya mahukan Zambry memberikan penjelasan menyeluruh tentang hal ini.

Meskipun EXCO saya dijemput ke Brazil untuk rundingan lanjut oleh VALE, tidak seperti BN, kami telah menolaknya kerana kita tak boleh bertanya soalan lanjut sedangkan yang sedia ada masih belum dijawab oleh mereka.

Kami menolak dan menafikan tanpa kompromi bahawasanya Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat telah berperanan dalam meluluskan projek tersebut dan penukaran tanahnya.

Saya selaku Menteri Besar ketika itu, bersama mana-mana ahli EXCO, tidak boleh membuat keputusan secara berasingan untuk meluluskan projek yang sebesar ini. Kita sebagai kerajaan negeri Perak pada waktu itu membuat keputusan secara kolektif untuk isu-isu seperti mana besarnya isu ini dan kita akan terus berbuat demikian apabila kita kembali menjadi kerajaan.

Zambry tidak boleh memilih dalam memberi maklumat kepada orang ramai. Gambaran yang diberikan Zambry merupakan gambaran separuh benar pada yang terbaiknya dan penipuan besar pada yang paling teruknya. Sekiranya Zambry ikhlas berkhidmat untuk rakyat dan tidak bermain politik murahan yang didakwa beliau sedang dimainkan oleh kami, kami menuntut dan mencabar beliau untuk mendiklasifikasikan dan mengisytiharkan yang berikut:

1. Kesemua minit mesyuarat oleh agensi-agensi kerajaan berkaitan VALE
2. Kelulusan EXCO BN untuk projek tersebut
3. Surat Kebenaran yang ditandatangani Zambry kepada VALE
4. Perjanjian pelaburan antara Kerajaan Negeri dan VALE

Kita percaya bahawa rakyat Perak, dengan hal diatas dinyahklasifikasi, tidak akan percaya segala penipuan oleh Barisan Nasional.

Rakyat Perak akan bangkit dengan keputusan yang bijak dan bernas untuk mengembalikan keadilan kepada Perak dan mengembalikan semula demokrasi kepada negara kita.

-/ http://mediaperak.com/2012/04/07/penjelasan-nizar-tentang-vale/
Seterusnya >>>

1433H : Semoga bawa perubahan keatas Putrajaya

1433H: Semoga bawa perubahan Putrajaya
KUALA LUMPUR- AJK PAS Pusat, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berharap tahun baru 1433 Hijrah membawa perubahan besar-besaran di Putrajaya.
“Salam Hijratul Rasul kepada semua muslimin muslimat, semoga Tahun Baru Hijrah kali ini membawa perubahan besar-besaran di Putrajaya dan Parlimen Malaysia,” ujarnya melalui twitter.
Menurutnya yang juga ahli Parlimen Bukit gantang, yang ada ialah hijratul rasul, maal hijrah tidak tahu berasal dari mana.
Tambahnya, secara prinsip dan teknikal sebenarnya tak ada istilah maal hijrah dan menggesa ulama supaya mengubahnya.
Sementara itu, Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar turut mengucapkan salam Hijrah 1433 sambil menyeru bersama membangun aqidah ummah.
Seterusnya >>>

Srategi Umno runtuhkan Pakatan Rakyat gagal


KOTA BHARU, 23 April: Empat strategi gergasi dilakukan Umno bagi meruntuhkan keutuhan Pakatan Rakyat nampaknya sehingga kini tersasar, namun harus diingatkan usaha tersebut pastinya akan dilakukan berterusan sehingga pilihan raya umum akan datang.
Strategi tersebut iaitu isu kerajaan perpaduan, polemik kalimah Allah, tindakan Umno menghantar Tun Abdullah Ahmad Badawi menemui pemimpin utama PAS dan video lucah mirip pemimpin Pakatan Rakyat.
Anggota parlimen Bukit Gantang, Datuk Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, isu pertama dicetus Umno hampir-hampir memecahkan PAS daripada dalam.
“Isu kerajaan perpaduan pada awalnya ramai ahli dan pemimpin PAS keliru sehingga ada yang bersetuju. Isu tersebut dua kali dibincang pada muktamar termasuk di Ipoh, namun akhirnya perwakilan PAS menolak.
“Diperbesarkan pula polemik kalimah Allah sehingga ada juga ahli dan penyokong PAS terpengaruh dengan kenyataan pemimpin Umno.
“Namun akhirnya pemimpin tertinggi PAS buat keputusan agama sanawi boleh gunakan kalimah Allah,” katanya ketika merasmikan mesyuarat agung tahunan kali ke-44 PAS Kota Bharu di Kelantan Trade Centre di sini, semalam.
Hadir sama Yang Dipertua PAS Kota Bharu, Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah, timbalannya, Datuk Takiyuddin Hassan dan Naib Ketua, Datuk Anuar Tan Abdullah.
Hampir 1,000 perwakilan dan pemerhati termasuk pemimpin PKR Cabang Kota Bharu, DAP Bahagian Kota Bharu serta masyarakat bukan Islam hadir.
Mohd Nizar yang juga anggota jawatankuasa PAS Pusat berkata, paling mendebarkan usaha memecahkan PAS dengan Pakatan Rakyat berlaku apabila Pak Lah menemui Mursyidul Am, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang atas jemputan Yang di-Pertuan Agong menghadiri majlis makan malam di Istana Terengganu Kuala Lumpur.
Katanya, pada pertemuan yang disifatkan diatur khas turut dihadiri Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak dan timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin
 “Agenda besar yang dirancang tersebut bertujuan memecahkan PAS daripada Pakatan. Perangkap besar tersebut sudah dipasang namun masih tidak mengena,” ujarnya.
Pada mesyuarat tersebut beberapa tokoh veteran PAS menerima saguhati setengah Dinar emas iaitu Ismail Mohamad, Tengku Jaafar Tengku Ahmad, Mohd Amin Salleh dan bekas pemimpin PRM, Lee Han Tie.
Manakala Yaakub Awang diisytiharkan Tokoh PAS Kota Bharu 2011. Beliau menerima satu Dinar, sijil dan buku Sejarah PAS Kelantan.
Sementara itu pada pemilihan jawatankuasa PAS Kota Bharu sesi 2011-2013 yang diadakan, jawatan-jawatan utama kekal tanpa bertanding.
Manakala anggota jawatankuasa yang dipilih iaitu Aidy Hassan, Nor Azariza Mohd Alawi, Mohd Adilan Mat Jusoh, Mohd Saiba Yaakub, Mohd Baharudin Mohd Nor, Nasrudin Mahmud Muhaidin, Mohamad Kamal Khatib, Azhari Abdul Rahman, Nor Hashimah Deraman, Rosli Abdul Razak, Syarifah Mariam Syed Alwi, Mohd Ridhuan Nawi, Hanafi Muhamad, Mohd Noor Mohd Yusof dan Husin Mansor.
Seterusnya >>>

Dun Perak: Jika sah, kenapa perlu dikawal ketat

KUALA LUMPUR 18 Mac: Pakatan Rakyat Perak meminta jaminan daripada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein supaya persidangan Dewan Undangan Negeri (Perak) pada April ini bebas daripada campur tangan polis.
Ahli parlimen Bukit Gantang, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin pada sidang media di parlimen semalam berkata, jaminan itu diperlukan ekoran setiap kali berlangsungnya sidang Dun di negeri berkenaan, pasukan polis dikerah untuk mengadakan kawalan ketat.
Ujar beliau, sekiranya kerajaan Perak kini merasakan mereka kerajaan yang sah, maka tidak perlu kawalan polis di sekeliling bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (SUK).
“Kami nak mintak supaya KDN beri janji pada sidang dun kali ini tidak ada pihak keselamatan polis. Kalau ada bermakna dia melanggar Kanun 124, mengganggu ahli dewan undangan negeri untuk masuk ke dalam dewan melaksanakan tugas kami.
"Jadi itu yang kami minta untuk menteri berlaku adil dan menunjukkan kerajaan haram ini perlu dipelihara oleh polis. Jika kerajaan ini haram biar rakyat menentukan,” katanya yang dilapor TV Selangor.
Tambahnya yang juga Adun Pasir Panjang, Menteri Besar Perak Datuk Zambry Abdul Kadir juga masih belum menjawab soalan-soalan yang dikemukakan Adun dari Pakatan Rakyat pada sesi yang lepas.
“Kami telah diminta menghantar soalan-soalan lisan dan bertulis dan tarikh akhir pada 15 Mac untuk sesi akan datang. Malangnya soalan-soalan lisan kami pada sesi yang lepas pun masih tidak dijawab,” katanya.
Sementara itu Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Khoo Ham menggesa rakyat Perak tidak tertipu dengan sistem demokrasi yang dikatakan masih dijalankan secara telus dan adil.
Persidangan Dewan Undangan Negeri Perak akan diadakan pada 5 April nanti.
Seterusnya >>>

Pakatan Rakyat akan kembali tawan Perak

5181e9ae0d921a979f34557cb11794a4
KUALA LUMPUR: Pakatan Rakyat akan merampas semula Perak dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang walaupun ada usaha untuk memindahkan para pengundi ke tempat-tempat tertentu, kata Menteri Besar Perak yang disingkirkan, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin.
Pakatan Rakyat, kata naib presiden PAS itu, akan membincangkan pembahagian kerusi di kalangan parti komponen kemudian nanti.

Menurutnya, Pakatan Rakyat juga menilai calon berdasarkan masa pilihan raya diadakan tetapi memberi jaminan hanya calon yang berwibawa akan dipilih.
Pakatan Rakyat yang dianggotai PAS, DAP dan PKR memenangi PRU 2008 dan membentuk kerajaan negeri Perak sebelum digulingkan, dipercayai didalangi oleh Perdana Menteri Najib Tun Razak pada 2009.
Ujar beliau, "kalau pilihan raya itu diadakan sekarang atau serentak dengan pilihan raya negeri Sarawak, Pakatan rakyat akan menang.

BN main kotor?
Nizar berkata, "cuma kita takut Barisan Nasional (BN) main kotor. BN telah memindahkan para pengundi ke kawasan sasaran mereka. Sebagai contoh, para pengundi PAS dari kawasan saya (Pasir Panjang) telah dipindahkan ke Dun Sitiawan.
"Tetapi oleh kerana DAP menang dengan majoriti lebih 8,000 undi di kawasan itu maka ia tidak boleh memberi kemenangan kepada BN," katanya ketika ditemui wartawan di lobi Parlimen hari ini.
Nizar juga berkata, politik dalaman PKR tidak memberi kesan kepada sokongan pengundi terhadap Pakatan Rakyat termasuk kepada calon PKR.
Bagaimanapun, naib presiden PAS itu berkata, Pakatan Rakyat perlu menyebarluaskan maklumat kepada penduduk luar bandar termasuk di kawasan peneroka Felda.
"Di kawasan bandar atau separuh bandar, kita tidak ada masalah kerana mereka faham dengan apa yang berlaku," tambahnya.
Nizar berkata, prestasi pentadbiran Najib yang menurun dari 72% kepada 68% juga boleh membantu Pakatan Rakyat dalam menghadapi PRU.
Sementara itu, Pengerusi DAP negeri, Datuk Ngeh Koo Ham berkata, beberapa kenyataan Menteri Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir menimbulkan tanda tanya.
Ujar beliau, "bancian keluarga miskin di Perak menunjukkan seramai 2,000 keluarga tetapi menteri besar memberitahu terdapat hanya 700 keluarga sahaja. Kita tanya macam mana angka begitu, dia tidak boleh jawab.
"Kita tanya mengenai status tanah seluas 35,000 ekar di Gerik, juga dia tidak boleh jawab. Jadi biar rakyat Perak menilai pentadbiran BN Perak itu," katanya.
Seterusnya >>>

Foto: Umno Perak mahu seret Nizar ke mahkamah

Umno Perak hari ini mendesak Anggota Parlimen Bukit Gantang Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin supaya segera membuktikan tuduhan bahawa Umno terlibat mengubahsuai gambar yang memaparkan setiausaha agung DAP Lim Guan Eng sedang menyembelih lembu.

"Umno Perak meminta Nizar segera menunjukkan bukti penglibatan Umno dalam mengubahsuai gambar itu, atau beliau bersedia diheret ke mahkamah jika enggan atau gagal berbuat demikian," kata setiausaha badan perhubungan Umno Perak Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib.

Beliau berkata sebuah akhbar Jumaat lepas melaporkan kenyataan pemimpin PAS itu yang menuduh Umno menukarkan wajahnya yang sedang menyembelih lembu kepada wajah Guan Eng.

"Secara jelas, Nizar yang juga bekas menteri besar Perak dan ADUN Pasir Panjang telah menamakan parti Umno sebagai pihak yang bertanggungjawab melakukan perbuatan tidak beretika itu," katanya dalam satu kenyataan.

Khusairi berkata perbuatan menunding jari kepada Umno dalam isu itu adalah sangat mengelirukan dan merupakan satu tuduhan yang berat terhadap sebuah parti politik berperlembagaan, berperaturan dan bermaruah.

Beliau berkata pembangkang nampaknya sudah ketandusan modal untuk mengheret Umno dalam polemik sehinggakan sanggup menuduh parti itu melakukan sesuatu tidak beretika yang lumrah dilakukan oleh "cyber-trooper" di dalam internet.

- Bernama
Seterusnya >>>