Showing posts with label DAP. Show all posts

Peruntukan tambahan : Timbalan Pengerusi SPR menipu


KUALA LUMPUR : Rakyat Malaysia terus dikelirukan dengan kenyataan bohong dan berbelit-belit Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Wan Ahmad Wan Omar berhubung perbelanjaan agensi itu pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), 5 Mei lalu.
Ahli Parlimen Seremban, Anthony Loke Siew Fook berkata, jika sebelum ini SPR mendakwa perbelanjaan mereka  tidak lebih RM400 juta, tetapi mengapa dalam bacaan Peruntukan Tambahan 2012 yang diluluskan, peruntukan tambahan untuk SPR ditambah lagi sebanyak RM60 juta.
“Semalam, Wan Ahmad ketika menjawab pertanyaan saya berkata bahawa peruntukan RM400 juta untuk SPR itu cuma anggaran sahaja, tidak pernah pakai lebih RM400 juta.
“Tetapi mengikut ringkasan peruntukan asal di sini, kertas Perintah 17A, anggaran asal peruntukan tambahan SPR pada 2012 ialah RM45.3 juta dalam jadual lalu, ia pernah ditambah sekali sebanyak RM360 juta dan peruntukan tambahan kali ini RM60 juta  menjadikan jumlah peruntukan RM465.34 juta bagi SPR sahaja. Adakah Wan Ahmad ini bercakap tanpa fakta dan cuba sembunyikan fakta sebenar?,” soalnya di lobi Parlimen hari ini.
Loke yang juga Setiausaha Organisasi DAP Kebangsaan berkata, semalam Timbalan Pengerusi SPR itu membuat kenyataan dengan tegas bahawa perbelanjaan SPR “tak sampai RM400 juta!”.
“Itulah yang kita nak persoalkan hari ini di Dewan Rakyat, kenapa pula perlu tambahan RM60 juta.
“Amat jelas bahawa apa yang diperuntukkan di sini melebihi RM400 juta. Sekali lagi Datuk Wan Ahmad membuktikan bahawa diri beliau adalah penipu, cuba mengelak daripada fakta, dan sekali lagi menunjukkan beliau tidak ada integriti sebagai Timbalan Pengerusi SPR,” jelasnya.

-Roketkini.com
Seterusnya >>>

DAP sah guna logo PAS, KEADILAN


KUALA LUMPUR, 19 APR: Parti Tindakan Demokratik (DAP) mengesahkan akan bertanding menggunakan logo PAS pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) 5 Mei ini.
Ini berikutan kegagalan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) untuk menarik balik notis terhadap DAP seperti yang dituntutnya, semalam.
Ketika dihubungi media, Pengerusi DAP Karpal Singh berkata, keputusan itu diambil kerana ‘tiada tanda-tanda surat itu akan ditarik balik oleh ROS’.
“Kami akan teruskan apa yang diputuskan semalam dan bertanding menggunakan lambang PAS di Semenanjung dan PKR di Sabah dan Sarawak,” ujar beliau.
ROS menghantar notis pada petang 17 April lalu mengatakan Jawatankuasa Eksekutif Pusat DAP tidak diiktiraf, walaupun pada paginya bersetuju menangguhkan siasatan terhadap DAP sehingga selepas pilihan raya umum.
Berikutan tindakan yang disifatkan bermotif politik itu, Dapa pada sidang media di Ibu Pejabat DAP semalam; Setiausaha Agung PAS dan PKR bersetuju mengeluarkan watikah membenarkan penggunaan logo parti itu bagi membantu DAP yang teraniaya akibat kekalutan Barisan Nasional (BN). – Roketkini.com
Seterusnya >>>

Mahu gantung DAP; apa lagi yang tinggal pada BN?


SEMUA kita mahu hidup rukun damai tetapi Barisan Nasional (BN) berhadapan dengan detik kritikal mereka tanpa pernah rasa bersyukur. Provokasi berpanjangan, politik fitnah dan seks, laporan media massa yang berat sebelah, politik kaum dan agama, semua ini menunjukkan transformasi politik kebanggaan presiden mereka Najib Razak sudah masuk tong sampah dan sia-sia belaka.
Sedang Pakatan Rakyat (PR) melangkah maju menawarkan pelbagai dasar dan komitmen mendaulatkan kepentingan rakyat, DAP menjadi mangsa ketakutan dan keterdesakan BN berhadapan dengan risiko penggantungan.
Justeru, jika sesuatu berlaku ke atas DAP, sudah tiba masanya rakyat diperlihatkan dengan ketakutan maha dahsyat parti pemerintah BN terhadap kesepaduan kerjasama PR. Ini juga bermakna, BN tidak cukup tangan untuk bekerja dan tidak punya siapa lagi melainkan wang dan jentera kerajaan.
MCA, MIC, Gerakan dan beberapa parti nyamuk yang lain sekadar nama yang bakal menjadi sejarah. BN sekarang adalah UMNO yang menyamar di sebalik belasan parti yang bernaung di bawah mereka. UMNO juga menyamar menjadi hantu menakut-nakutkan rakyat Malaysia khususnya orang Melayu terhadap PR khususnya DAP.
Hari pertama saya ditugaskan membuat liputan kempen PRU-13 di Kluang, menyaksikan bagaimana sebuah papan iklan gergasi memuatkan gambar calon Pakatan Rakyat di bulatan Taman Tasik, Kluang Johor menyembah bumi akibat perbuatan khianat pihak lawan malam tadi; iaitu, hari yang sama DAP berhadapan dengan risiko penggantungan penggunaan logo parti oleh Pendaftar Pertubuhan yang menimbulkan pelbagai spekulasi.
Bagaimanapun, perkara itu sama sekali tidak melemahkan semangat juang DAP bersama teman PR yang lain. Rakyat akan terus bangkit melawan pembodohan dan manipulasi demokrasi BN.
Samada digantung atau tidak, DAP sudah menyatakan kesediaannya untuk bertanding di bawah logo PAS dan PKR malah dialu-alukan oleh teman gabungan.
Ringan sama dijinjing, berat sama dipikul, PR telah menunjukkan solidariti yang tinggi antara satu sama lain. Perkara ini menyebabkan BN lebih bingung dan mati akal. Ini adalah bukti PR benar-benar sedia, konsisten dan teguh dengan prinsip yang dipersetujui bersama. BN bagaimana?

-Roketkini.com
Seterusnya >>>

Hilang madu sepah dibuang........ Kah!!! Kah!!! Kah!!! . Itulah balasannya


(Jamaludin, Othman, Hee dan Keshvinder...kemana mereka)

IPOH: 'Hilang madu sepah dibuang'. Setelah berjaya mendapat kuasa, mereka yang berjasa kepada mereka selama ini dibuang begitu sahaja.

Itulah nasib empat bekas wakil rakyat Pakatan Rakyat di Perak yang menolong BN menjatuhkan kerajaan negeri Pakatan di Perak.

Dalam pengumuman calon-calon BN semalam, kesemua mereka tidak mendapat sebarang kerusi dalam pilihan raya ini.


"Setelah rampasan kuasa di Perak, kini BN mengkhianati 4 katak yang bantunya rampas kuasa. Rakyat tak akan lupa. Ini Kalilah!" tulis Nga Kor Meng, bekas Exco kerajaan negeri Perak.

Sebelum ini, beliau yang juga Setiausaha DAP Negeri Perak mencabar Barisan Nasional (BN) menyenaraikan empat calon bebas, Datuk Hee Yit Fong, Jamaluddin Radzi, Kapten (B) Mohd Osman Jailu dan Keshvinder Singh sebagai calon BN pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Nga Kor Ming berkata, keempat-empat penyandang kerusi Dun itu perlu diberi peluang susulan tindakan mereka meninggalkan parti masing-masing untuk membolehkan BN mentadbir negeri ini.

Katanya, BN perlu mengenang jasa keempat-empat penyandang kerusi Dun itu dengan mencalonkan mereka untuk bertanding semula pada pilihan raya umum kali ini.

"Mereka perlu diberi peluang selepas tindakan mereka menamatkan pemerintahan sebuah kerajaan yang mendapat mandat sepenuhnya daripada rakyat. Kami cabar BN Negeri Perak senaraikan 'fantastic four' ini sebagai calon PRU13.

"Peletakan keempat-empat calon bebas itu bakal membuktikan tahap sebenar sokongan rakyat kepada mereka," katanya pada sidang media, di sini sebelum ini.
Seterusnya >>>

Melayu miskin kerana UMNO hanya bela orang UMNO…


IPOH, 15 APR: Naib Pengerusi DAP Kebangsaan, Senator Dr Ariffin Omar mengingatkan orang Melayu supaya tidak lagi tertipu dengan UMNO/Barisan Nasional (BN) kerana setelah lebih 50 tahun mentadbir, 40 peratus orang Melayu seluruh negara berada di bawah paras kemiskinan.
Justeru itu, katanya, beliau kecewa mempersoalkan sejauh mana ketelusan BN dalam melaksanakan Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang diperkenalkan kerajaan pada 1971 untuk membela nasib komuniti itu.
“Orang Melayu sendiri persoalkan, kalau DEB untuk bantu mereka bangkit daripada kemiskinan, kenapa masih ramai orang Melayu yang miskin sekarang?
“UMNO kata nak jaga kepentingan Melayu yang terkebelakang tetapi sudah terbukti ini semua bohong,” kata beliau ketika berucapan di ceramah UBAH di sini, malam tadi.
Menurut Dr Ariffin, kegagalan pelaksanaan DEB yang diakui sendiri ahli akademik dan pakar ekonomi negara ini antara lain disebabkan UMNO-BN lebih mementingkan ‘UMNOPUTRA’ dan kroni mereka sahaja.
“UMNO pada hakikatnya hanya mewakili orang UMNO dan orang Melayu yang bergantung pada mereka untuk hidup.
“Sebab itu sekarang kita tidak hairan apabila orang Melayu yang sedar mula memberi sokongan kepada DAP khususnya kerana terbukti DAP membela semua kaum,” ujarnya.
Sehingga kini, Perak mencatatkan negeri ketiga termiskin di Malaysia manakala statistik 2011 Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menunjukkan negeri Sabah adalah negeri teramai penerima bantuan kebajikan membabitkan 77,208 yang berjumlah RM244.7 juta diikuti Johor dengan penerima seramai 45,766 orang membabitkan RM128.3 juta bantuan.

-Roketkini.com
Seterusnya >>>

Malaysia boleh ‘lingkup’ ikut manifesto BN

LUMPUR, 13 APR:  DAP mahu BN menjawab dakwaan penyandang Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah yang menuduh Pakatan Rakyat akan membebankan lagi defisit fiskal negara.
Ini adalah kerana BN yang meniru hampir keseluruhan Manifesto Pakatan Rakyat. Justeru, jika manifesto BN tidak bebankan kewangan negara, bagaimana pula Pakatan Rakyat melalui manifesto boleh membebankan rakyat?
“Bagaimana pula dengan manifesto Barisan Nasional (BN) yang terang-terangan mencedok idea Pakatan Rakyat (PR)?”
Demikian persoalan yang dilontarkan oleh Setiausaha Organisasi DAP Selangor, Lau Weng San apabila Ahmad Husni dilaporkan berkata Manifesto Rakyat akan meningkatkan defisit fiskal negara dari 4 peratus kepada 11.5 peratus.
“Kenyataan beliau ini dikeluarkan pada 29 Mac 2013 sebelum manifesto BN dilancarkan. Menyedihkan apabila dakwaan beliau tidak bersandarkan kepada fakta menyeluruh,” ujar beliau yang juga penyandang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kampung Tunku.
Perkara yang harus diberi perhatian kata Weng San, Manifesto Rakyat bukan sahaja menawarkan dasar yang relevan dan mantap tetapi turut juga menyediakan mekanisma perlaksanaan seperti mengurangkan ketirisan dalam pentadbiran kerajaan.
“Dalam pada itu PR juga telah mencadangkan bagaimana hasil negara boleh ditingkatkan, ini jauh bezanya dengan janji manifesto BN yang dilihat sekadar janji semata-mata,” katanya.
Menurutnya, tindakan BN yang banyak mencedok idea PR membuktikan parti yang paling lama memerintah itu kekeringan idea.
“Bila mereka (BN) lancarkan manifesto, penyandang Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sendiri tidak berani untuk berdebat dengan ketua oposisi Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai manifesto dan dasar yang ditawarkan,” ujar beliau.
Tambahnya, apa yang menjadi kebimbangan rakyat Malaysia adalah bagaimana BN akan mengeluar dan menguruskan semua perbelanjaan untuk melaksanakan manifesto mereka yang diwar-war sebagai hebat dan gah dengan segala ketirisan dan lonjakan hutang negara yang melampau.
“Mereka janji untuk beri. Mana mekanisma, kaedah perlaksanaan? Ambil satu contoh sahaja iaitu mengenai perbelanjaan peruntukan untuk BR1M. BR1M pertama berjumlah RM1.92 bilion, BR1M kedua pula sebanyak RM3 bilion.
“Kalaulah amaun pemberian BR1M ini dinaikkan kepada RM1,200 setahun, ia akan memakan peruntukan kerajaan sekurang-kurangnya RM5 bilion setahun. Ini tak termasuk peruntukan-peruntukan lain untuk golongan lain yang wajib dan kita menjangkakan ia akan mencecah ratusan bilion.
“Kita sudah sediakan mekanisma bagaimana mengurus semua janji dalam manifesto kita tetapi tidak bagi BN. Mereka hanya berjanji,” ujarnya.
Menurutnya, BN sentiasa menabur janji sejak berpuluh tahun lama tetapi membiarkan rakyat sengsara setiap kali PRU selesai. Ia cuma datang kembali berjanji apabila mahu rakyat mengundinya; corak politik BN tidak pernah berubah.
Ahmad Husni sebelum ini dilaporkan media mendakwa bahawa manifesto yang diumum oleh oposisi tidak mempedulikan implikasi kepada kedudukan kewangan kerajaan dan kesan herotan pasaran ke atas ekonomi negara.
Tetapi, apa yang berlaku sebaik sahaja Najib mengumumkan manifesto BN diibaratkan ramai sebagai “senjata yang menikam tuan”. 

– Roketkini.com
Seterusnya >>>

Cukuplah BN dengan 56 tahun memerintah!


BENTONG, 10 APRIL: Barisan Nasional (BN) diminta berundur dengan hormat sekiranya ia kalah pada Pilihan Raya Umum ke-13, 5 Mei ini.
“Setelah 56 tahun BN menerajui kerajaan, masalah kehidupan harian dan korupsi gagal diselesaikan, malah semakin bertambah di bawah pentadbiran BN,” katanya bakal calon DAP bagi kerusi Parlimen Bentong, Wong Tack.
Beliau yang juga Pengerusi NGO Himpunan Hijau yang menentang pembinaan dan operasi kilang menapis nadir bumi Lynas yang penuh kontroversi di Gambang, Kuantan.
“Misalannya di Bentong, kes perumahan di Bukit Tinggi yang terbengkalai dan masih tidak diselesai kerajaan negeri BN.
“Pembeli unit rumah pangsa itu telah menunggu selama lima tahun untuk mendapat geran kepada hartanah mereka, tetapi sehingga kini masih tidak selesai.
“Selama lima tahun ini mereka membayar ansuran pinjaman untuk pembelian rumah pangsa mereka, kunci rumah masih tidak diperoleh. Rata-rata 60 peratus daripada pemilik rumah pangsa itu adalah orang Melayu,” katanya.
Rumah pangsa itu sudah siap dibina lima tahun lalu. Kerajaan tempatan telah memberi kebenaran kepada mereka untuk menduduki tetapi kerana masalah kontrak antara pemaju rumah pangsa dan kerajaan negeri membuat sehingga kini pemilik rumah pangsa itu masih tidak mendapat kunci untuk unit masing-masing.
Setelah pemilik rumah itu banyak kali merayu kepada kerajaan negeri dan pemaju dan membuat bantahan, akhirnya pada Disember 2011 Ahli parlimen Bentong, Datuk Seri Liow Tiong Lai dan Exco negeri, Datuk Hoh Khai Mun menjanjikan kunci rumah pangsa mereka akan diserahkan pada Mac 2012, namun sehingga kini ia hanya tinggal janji.
Pemilik rumah begitu terdesak dan bingung dengan janji palsu BN sehingga bertindak mendirikan khemah di luar rumah pangsa terbabit sebagai membuat aksi “Occupy” (menduduki) rumah pangsa berkenaan.
“Sehubungan itu, kami Pakatan Rakyat meminta rakyat Malaysia supaya memberi kami peluang untuk mentadbir negara ini sekurang-kurangnya sepenggal bagi menyelesaikan apa yang BN tidak mampu buat.”
“Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Liow Tiong Lai telah meminta pengundi memberi BN lima tahun lagi. Adakah mereka tidak merasa malu? Sesudah 56 BN memerintah, masalah sebegini masih gagal diselesaikan. Cukuplah!” perlinya.

-Roketkini.com
Seterusnya >>>

“UMNO bukan wakili Melayu, usah syok sendiri”


KUALA LUMPUR, : Gelaran ‘pengkhianat bangsa’ diguna pemimpin UMNO-Barisan Nasional (BN) kepada ahlinya yang belot dan menyertai parti lain terutama DAP tambahan pula ia dimomokkan sebagai parti cauvinis dan pelampau.
Bekas pemimpin UMNO Bahagian Pekan, Datuk Ariff Sabri menyifatkan tuduhan itu sebagai angkuh dan syok sendiri apabila UMNO mendakwa mereka pembela dan mewakili Melayu,
Ariff yang lebih dikenali sebagai Sakmongkol AK47 berkata, anggapan hanya orang Melayu yang menyertai UMNO sebagai Melayu, sebaliknya Melayu yang menyertai parti lain dianggap kurang ‘Melayunya’ adalah tidak betul.
Ariff berkata, perumpamaan sedemikian sangat dangkal kerana setelah menyertai DAP, sifat Melayu dan Islam beliau tidak sedikit pun berubah.
“Saya berada di luar UMNO, Melayu saya tak kurang, Islam saya juga tidak kurang.
“Saya nak sebut, kamu (UMNO) nak mewakili Melayu pun tak boleh. Sebab, pada 2008, ada sekurang-kurangnya 5.7 juta pengundi Melayu, calon UMNO hanya dapat dua juta undi.
“Ini menunjukkan, 3.7 juta pengundi Melayu pula tak beri undi pada UMNO. Maka, kalau lihat daripada undi, memang memalukan kalau dakwa diri sebagai jurubicara mewakili orang Melayu,” jelasnya dalam temuramah eksklusif.
Katanya lagi, slogan pembela Melayu yang sering dilaungkan UMNO itu sekadar untuk sedapkan diri sendiri dan jauh daripada realiti yang berlaku.
“Berdasarkan fakta, realitinya lebih ramai orang Melayu menolak UMNO berbanding mereka yang menyokong UMNO,” ujar beliau yang juga bekas ADUN Pulau Manis.
Mengenai penerimaan orang Melayu kepada perjuangan DAP, Ariff berkata, orang Melayu semakin menunjukkan minat dan tidak lagi takut atau benci kepada DAP seperti sebelumnya.
Menurutnya, ia diperkukuhkan lagi dengan pentadbiran Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang mengamalkan prinsip cekap, akauntabel dan telus yang antara lain memberi manfaat besar bukan sahaja kepada orang Melayu malah meliputi semua rakyat negeri itu.
Tambah beliau, ini termasuk pembelaan terhadap kebajikan orang Melayu dan kemajuan Islam di negeri itu melalui pelbagai insentif, bantuan dan dasar.
“Banyak yang dilakukan kerajaan negeri Pulau Pinang untuk kemajuan orang Melayu dan Islam. Cuma media yang dikawal UMNO yang menyembunyikan fakta berkenaan.
“Hari ini orang Melayu mulai sedar perjuangan DAP ialah untuk menubuhkan sebuah kerajaan yang baik dan melaksanakan dasar yang adil dan saksama dengan amalan urus tadbir yang cekap dan amanah. Itu yang paling penting,” ujar beliau.-Roketkini.com
Seterusnya >>>

Jika Wong Tack menang: Bukan saja kerusi, telinga pun dapat


KUALA LUMPUR: DAP mengumumkan akan meletakkan pengerusi Himpunan Hijau, Wong Tack untuk bertanding di Parlimen Bentong atas tiketnya.

"Kami akan berdepan dengan gergasi di Bentong, jadi kita tidak boleh meletakkan sebarangan calon, jadi meletak seluruh organisasi Himpunan Hijau," umum Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dalam sidang medianya hari ini.

Beliau yakin, jika Pakatan Rakyat menang di Bentong, BN akan jatuh di Putrajaya.

“Jika Pakatan Rakyat boleh menang di Bentong, sudah pasti BN akan jatuh di Putrajaya," kata Lim Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulang Pinang.

Sebelum ini, Wong mengumumkan sedia untuk bertanding atas tiket Pakatan Rakyat di Parlimen Bentong.

Jika BN kalah di Bentong, BN bukan sahaja bakal kehilangan Bentong dan Putrajaya, bahkan Pengerusi BN Pahang bakal kehilangan telinga.

Ini kerana, Datuk Seri Adnan Yaakub sebelum ini pernah berkata, jika BN kalah di Bentong, "Potong telinga saya."

Namun selepas itu beliau menjelaskan ia hanya gurauan dan analogi sahaja tentang betapa kuatnya BN di Bentong, tempat beliau bertanding.

Wong dalam sidang media hari ini berkata, dia akan mempastikan kilang Lynas di Kuantan akan ditutup jika dia menang di Bentong.

Bagaimanapun, beliau menambah, jika kilang milik syarikat Austaralia itu berjaya memenuhi segala prosedur dan syarat, barulah ia akan dibenarkan beroperasi.

Syarat ini juga telah dinyatakan oleh Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini.
Seterusnya >>>

DAP pastikan undi Cina untuk KEADILAN & PAS

PR

SHAH ALAM 25 FEB: Pengerusi Biro Pilihan Raya DAP, Tan Kok Wai menjamin, KEADILAN dan PAS mendapat sokongan padu pengundi Cina di semua kawasan pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU 13).
“Pengundi Cina adalah kekuatan kita (DAP). Justeru kita akan memastikan dan membantu parti gabungan Pakatan Rakyat iaitu KEADILAN dan PAS untuk mendapat hak kepercayaan pengundi Cina, tidak kira di mana-mana kawasan,” kata Ahli Parlimen Cheras itu.
Kok Wai menyampaikan amanatnya dalam Konvensyen Pakatan Rakyat kali ke-4 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Shah Alam, dekat sini, hari ini.
Menurutnya, menjelang PRU 13, Pakatan Rakyat perlu bergerak dan berkempen sebagai satu entiti dengan semangat kerjasama dan saling membantu untuk menang.
“Untuk mencapai matlamat memulakan budaya politik baru selepas PRU 13, Pakatan Rakyat perlu mengalahkan BN dan mesti mendapat kemenangan besar dan membanggakan,” katanya.
“Untuk itu, Pakatan mesti bersatu dalam berkempen meliputi aspek idea dan mesej, dan memastikan jentera masing-masing berkempen sebagai satu entiti,” katanya.
Kata Kok Wai, dengan cara itu, rakyat yakin Pakatan bersatu dan berkhidmat untuk semua kaum seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.
“Kita juga perlu yakinkan rakyat bahawa ‘peperangan’ kali ini bukan saja perjuangan Pakatan melawan BN, tetapi untuk ke arah Malaysia yang lebih baik.
“Beritahu pemimpin kerajaan sekarang bahawa undi kami tidak ternilai, dan undi rakyat bukan untuk dihina,” tegasnya disambut tepukan kira-kira 1,500 perwakilan.
Seterusnya >>>

'Bukan semua pengguna mahu dengar propaganda BN'

NONE

DAP Selangor hari ini membidas Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) berhubung paparan iklan 'Sayangi BN' dalam sistem pengangkutan komuter Lembah Klang dengan menegaskan "bukan semua pengguna mahu mendengar propaganda BN.

ADUN DAP Subang Jaya Hannah Yeoh juga berkata beliau ada mendengar rungutan pengguna berhubung paparan iklan tersebut.

"KTM perlu segera mengeluarkan jumlah bayaran (yang dibuat oleh BN). Kalau beri kepada BN, sepatutnya diberi juga kepada parti lain.

"Kalau mengabaikan perkara ini (umum harga iklan), berhenti caj pengguna. Ini tidak adil sebab ini negara demokrasi.

"Rakyat beli tiket, bukan semua pengguna mahu mendengar propaganda BN," kata Hannah dalam sidang media di pejabatnya pagi ini.

Awal bulan ini Malaysiakini melaporkan bahawa keretapi Komuter Lembah Klang telah bermain video iklan sepanjang kira-kira tiga minit itu menonjolkan visual pertemuan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bersama kelompok masyarakat.

Iklan berkenaan turut menonjolkan logo BN dan slogan "Dikau menjamin harapan", "Yakini BN - Sayangi Selangor" dan "Sekian lama aman sejahtera".

Bagaimanapun KTMB pengerusi Datuk Mohamad Zin Mohamad, yang juga setiausaha BN Selangor, telah mendakwa bahawa ia adalah iklan berbayar.
Dalam sidang media itu juga, Hannah juga menjelaskan hasrat DAP untuk menyewa ruang iklan bagi kempen politik parti itu melalui sepucuk surat kepada Presiden KTMB Datuk Elias Kadir pada 4 Januari lalu.

Surat tersebut antara lain memohon untuk mengadakan satu mesyuarat sebelum 14 Januari dengan Elias bagi membincangkan hasrat DAP itu termasuk mendapatkan sebut harga dan terma menyewa ruang iklan itu.

Bagaimanapun, Hannah berkata pihaknya tidak mendapat sebarang maklumbalas berhubung permintaan itu sekalipun surat - yang dihantar melalui serahan tangan - itu telah diterima oleh pejabat Elias pada 8 Januari lalu.

Hannah berkata pihaknya telah membuat susulan selepas tarikh itu, tetapi mendakwa pegawai pejabat Elias memberi jawapan "tidak menerimanya" dan meminta DAP Selangor menghantarnya semula melalui fax.

Sedangkan, tegas Hannah yang juga bendahari DAP Selangor, surat tersebut telah diterima dan dicop penerimaannya oleh pejabat presiden KTM.

"Ini adalah satu penipuan terang-terangan," celah Setiausaha Organisasi DAP Selangor Lau Weng San yang turut hadir dalam sidang media itu.

"Kami masih nak tahu, BN bayar berapa iklan itu atau dapat percuma. Sama ada dibayar atau diberi percuma, parti politik lain perlu mendapat tawaran yang sama. KTM bukan milik BN," kata Hannah pula.
Seterusnya >>>

UMNO didik Melayu berjiwa kecil, bergantung harap pada pemerintah


JOHOR BAHRU, 21 JAN: Orang Melayu diingatkan tidak terperangkap dengan permainan politik “Melayu dan Islam” oleh UMNO-BN kerana sepanjang pemerintahan parti itu di negara ini, imej Melayu tercalar teruk dengan rasuah malah sehingga kini terdapat ramai orang Melayu yang masih mundur dan merempat di negara sendiri.
Naib Pengerusi Kebangsaan DAP, Dr Ariffin Omar berkata, bagaimanapun kini orang Melayu sudah membuka mata mereka terhadap segala ‘kejahatan’ yang dilakukan UMNO-BN.
“Dulu, kerajaan BN tidak nampak terlalu sibuk mahu ‘bela’ Melayu. Kenapa baru sekarang mereka nampak terdesak mahu membela Melayu?
“Takkan orang Melayu tak ada maruah sehingga boleh terus dipermainkan UMNO? Orang Melayu perlu sedar ini semua,” katanya dalam Wacana anjuran bersama Roketkini.com dan DAP Johor, di Skudai.
Sehubungan itu, seorang audien, Haris, 28, bangkit memberikan komen dan berkata, bahawa UMNO telah menjadikan orang Melayu berjiwa kecil.
“UMNO didik seolah-olah tanpa mereka, Melayu akan mundur. Bahkan sebelum merdeka, ada orang Melayu sehingga mempersoalkan kebolehan diri mereka untuk memerintah negara.
“Sifat tidak berkeyakinan, berjiwa kecil ini perlu dihapuskan. Tapi UMNO seolah-olah mahu Melayu terus bergantung harap pada mereka,” katanya.
Menjawab persoalan Melayu dan Islam yang dilontarkan seorang hadirin, Dr Ariffin yang juga Ahli Dewan Negara bagi Kerajaan Negeri Pulau Pinang berkata, terdapat banyak takrifan Melayu diberi dan bagi Malaysia, takrifan Melayu diberi oleh penjajah.
“Di Malaysia, orang Melayu itu beragama Islam. Kalau anda ke Flores, istilah ‘masuk Melayu’ di sana bererti ‘masuk Kristian. Di Filipina, di Madagaskar, orang Melayu di sana beragama Kristian,” jelasnya.
Bagaimanapun dalam konteks Malaysia, Dr Ariffin menegaskan bahawa semua harus menerima takrifan Melayu seperti tertakluk pada Perlembagaan Persekutuan.
“Sebab itu Shahrizat pun dikategorikan Melayu malah Ustaz Ridhuan Tee Abdullah juga ada yang panggil Melayu,” ujarnya lagi.

- Roketkini.com
Seterusnya >>>

Pengerusi DAP Perak sudah jawab, Zambry pula bila?


IPOH, 26 DIS: Setiausaha Publisiti DAP Perak, Wong Kah Woh mendesak kerajaan Barisan Nasional (BN) Negeri Perak menjelaskan isu pemberian 179 ekar tanah milik kerajaan negeri tanpa tender kepada syarikat swasta.
Katanya, pemberian membabitkan tanah 147 ekar di Lumut dan 32 ekar di Kamunting itu didedahkan oleh Datuk Seri Mohd Nizar Jamaluddin ketika Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, baru-baru ini.
Menurut beliau, seorang daripada pemilik tanah seluas 32 ekar di Kamunting itu dikatakan mempunyai hubungan dengan Ketua Pemuda BN negeri manakala tanah di Lumut dipercayai diserah kepada orang yang rapat dengan Zambry,
“Berikutan pendedahan itu, Zambry dengan yakin menyatakan pihaknya akan memberi jawapan “pada Jumaat” tetapi sehingga kini beliau masih gagal berbuat demikian,” jelas Wong dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.
Bagaimanapun, sebaliknya, BN melemparkan tuduhan berniat jahat mengaitkan Pengerusi DAP Perak , Datuk Ngeh Koo Ham dengan isu “Tukar tanah untuk jawatan MB” walaupun tidak berasas.
“Ia tidak lain bertujuan membunuh karier politik Ngeh dan mengalihkan perhatian ramai terhadap skandal tanah kerajaan BN Perak yang dibongkar Pakatan Rakyat (PR) sebelum ini,” kata ADUN Canning itu.
Sehubungan itu, Wong memberitahu, sehingga tahun 2011, kerajaan BN Perak sudah menempatkan 68,503 ekar tanah kepada pihak tertentu dan cuma memungut sebanyak RM22.7 juta sebagai bayaran premium tanah.
“Ia bermaksud nilai purata premium tanah bagi setiap ekar hanya RM375. Menariknya sehingga kini, BN tidak berani mengumumkan senarai penuh penerima tanah terbabit walaupun dicabar PR.
“Ini menunjukkan bahawa kerajaan BN tidak mempunyai kredibiliti,” ujarnya.
Pada 2011, Ngeh pernah membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Kerajaan BN Perak pimpinan Datuk Seri Zambry Abdul Kadir mengenai maklumat skandal tanah kerajaan negeri BN sejak 2009 hingga Julai 2011.
Laporan kepada SPRM itu membabitkan tanah kuari seluas 528.5582 ekar, tanah lombong (4,502.965 ekar), tanah bagi Skim Perumahan (2,910.61 ekar) dan isu kelulusan tanah bagi Skim Industri dan Pertanian (60,561.73 ekar).
Ngeh dalam kenyataannya berkata, walaupun Kerajaan BN Perak didesak untuk mendedahkan nama penerima tanah terbabit, sehingga hari ini ia masih belum dijawab. – Roketkini.com
Seterusnya >>>

K'jaan gagal buktikan cubaan rampas kuasa


Penasihat parlimen DAP, Lim Kit Siang berkata Kerajaan Persekutuan gagal membuktikan dakwaannya bahawa himpunan BERSIH 3.0 adalah satu cubaan rampasan kuasa.

Ini jelas terbukti apabila Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ser Nazri Aziz memberitahu Dewan Rakyat hari ini bahawa penyokong BERSIH boleh menumbangkan kerajaan menggunakan "garam dan botol mineral", kata Kit Siang dalam kenyataannya.

Nazri berkata demikian sewaktu menjawab soalan Kit Siang di Parlimen hari ini.

Ahli parlimen Ipoh Timur itu meminta perdana menteri menjelaskan alasan kerajaan menganggap perhimpunan BERSIH 3.0 pada 28 April sebagai cubaan merampas kuasa sedangkan peserta himpunan hanya membawa botol air dan garam.

Tiga mantan ketua polis negara - Tan Sri Musa Hassan, Tun Hanif Omar dan Tan Sri Rahim Noor - juga pernah mendakwa BERSIH merupakan cubaan rampasan kuasa, sekali gus menyokong pendirian Najib Razak.
.
Seterusnya >>>

DAP bidas Timbalan Pengerusi SPR anggap responden 'tak tahu'

NONETindakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menolak hasil kajiselidik Merdeka Centre - bahawa 92 peratus rakyat Malaysia menyokong pembersihan daftar pemilih sebelum pilihan raya umum akan datang - hanya membuktikan tiada kebebasan dalam suruhanjaya tersebut, dakwa Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua.

Dalam satu kenyataan hari ini, beliau membidas Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar untuk menolak hasil kajiselidik itu sebagai "remeh" serta menyifatkan respondennya "mungkin tidak tahu apa yang mereka katakan".

Pua (kiri) mendakwa Wan Ahmad telah menghina responden dengan
mengatakan bahawa adalah lebih baik jika Merdeka Centre meninjau pendapat pengundi yang baru mengundi, daripada bertanya kepada "Rempit' di tepi jalan, seperti yang dilaporkan oleh The Malaysian Insider.

Pua mendakwa, keangkuhan SPR itu membuktikan ia tidak berhasrat untuk melaksanakan pilihan raya yang bebas dan adil di Malaysia dan tidak mengendahkan pendapat umum walau bagaimana negatif sekalipun.

Pua, yang juga ahli Parlimen Petaling Jaya Utara.berkata komen tersebut menunjukkan Wan Ahmad adalah sebenarnya jahil, dan bukan rakyat Malaysia yang menjadi responden dalam kajiselidik tersebut.
Seterusnya >>>

DAP: PRU13 bakal muncul pilihan raya paling ganas

DAP: PRU13 bakal muncul pilihan raya paling ganas

SHAH ALAM - DAP, komponen Pakatan Rakyat (PR), mendakwa Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) bakal muncul sebagai pilihan raya paling ganas dalam sejarah akibat keadaan terdesak Barisan Nasional (BN) untuk kekal kuasa tanpa mengira apa kaedah untuk memperoleh undi dan sokongan rakyat.

Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng berkata, sejak Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menggunakan ungkapan "dahsyat iaitu kalau berkecai tulang dan juga badan, walau bercerai jasad dari nyawa", menunjukkan Umno makin menggunakan bahasa kebencian dan keganasan dalam arena politik.

"Seruan Najib pada hari itu membuktikan bahawa bahasa keganasan bukan sekadar terhad kepada kata-kata tetapi sudah pun menjadi tindak-tanduk samseng yang ganas dan tidak berakal," kata beliau dalam kenyataan dikeluarkan hari ini.

Sehubungan itu kata beliau, DAP mahu mengingatkan agar BN mengambil iktibar daripada taktik-taktik keganasan bekas Presiden Mesir, Hosni Mubarak terhadap rakyatnya yang akhirnya telah gagal dan ditolak.

"Rakyat sudah tidak takut dengan taktik-taktik penindasan kerana mereka mahukan kebebasan," katanya lagi.

Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang berkata, walaupun keganasan penyokong-penyokong Umno terhadap para pemimpin dan penyokong PR sudah dibuktikan dengan gambar dan rakaman video, mereka yang bertanggungjawab masih belum didakwa di mahkamah.

"Malah penyokong-penyokong Umno yang dirakam memukul dan mencederakan wartawan dan jurugambar di Pulau Pinang dalam dua insiden pada Julai lepas dan 26 Februari lalu juga tidak didakwa," katanya dengan merujuk kepada insiden ketika ceramah perdana PKR di Lembah Pantai, Khamis lalu.

Selain itu, Guan Eng juga pihaknya mengecam keganasan bersiri dalam tempoh beberapa minggu lalu ketika acara-acara Pakatan Rakyat, yang membabitkan pemimpin-pemimpin PR di Felda Lepar Hilir, Pahang; Sembrong Johor, Padang Kota Lama, Pulau Pinang; Merlimau, Melaka; Pekan Bangi, Kuala Kangsar dan di Pengerang, Johor.

Katanya, kegagalan polis dan pihak berkuasa untuk mengambil tindakan ke atas samseng-samseng di kalangan penyokong BN hanya akan menggalakkan lebih keganasan terhadap pemimpin-pemimpin dan penyokong-penyokong PR.

"Ini membuktikan bahawa kerajaan BN tidak berminat dengan pilihan raya yang bersih, bebas dan adil tetapi ingin menyemai ketakutan dan sanggup mempertikaikan demokrasi.

"DAP menyatakan kebimbangan untuk keselamatan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang menjadi sasaran utama ahli-ahli Umno.

"Adakah pemimpin-pemimpin PR, termasuk Ketua Menteri dan wakil-wakil rakyat, perlu dicederakan sebelum apa-apa tindakan diambil untuk melindungi mereka bagi memastikan kempen politik yang bebas daripada keganasan?" katanya lagi.
Seterusnya >>>

Mereka yang bantah depan rumah Ambiga adalah ‘pondan’.


BAHAU: Seorang pemimpin DAP menggelar mereka yang mengadakan bantahan di hadapan kediaman Pengerusi Bersama Bersih 3.0, Dato’ S Ambiga sebagai ‘pondan’ atau bacul.
Timbalan Pengerusi DAP Negeri Sembilan, P Gunasekaran berkata demikian di hadapan lebih 2,000 hadirin pada Ceramah Perdana anjuran DAP di sini malam tadi.
“Mereka membantah di hadapan rumah seorang wanita yang hanya memperjuangkan keadilan dan tuntutan pilihan raya yang bersih. Beliau seorang wanita dan kamu merupakan seorang lelaki.
“Mengapa ganggu beliau dengan mengadakan bantahan, menjual burger dan melakukan senaman punggung. Tidak malukah kamu melakukan sedemikian kepada seorang wanita. Kamu pondan!” kata Gunasekaran dengan lantang dan disambut dengan sorakan gamat orang ramai.
Gunasekaran yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Senawang berkata jika sekiranya mereka tidak puas hati dengan Ambiga mereka mempunyai banyak saluran dan ruang termasuk memfailkan kes di mahkamah serta menyatakan pendirian mereka melalui media.
“Tindakan menunjukkan ‘kehebatan’ di hadapan kediaman seorang wanita berusia 55 tahun adalah satu tindakan yang rendah moralnya dan amat bacul,” ulas Gunasekaran.
“Sapu Malaysia”

Adun Paroi, Mohd Taufek Abdul Ghani pula membuatkan orang ramai ketawa besar apabila berkata bahawa slogan 1Malaysia sudah tidak boleh di pakai lagi.
“Pemimpin Umno sering menimbulkan isu untuk memecahkan perpaduan orang Melayu dengan masyarakat Cina dan India.
“Dengan orang Melayu pemimpin Umno berkata bahawa hak orang Melayu harus dipertahankan dan tidak boleh biarkan orang Cina dan India menuntut hak yang berlebihan.
“Walaubagaimanapun di hadapan orang Cina dan India mereka kata 1Malaysia. 1Malaysia sudah tidak ada lagi tetapi “Sapu Malaysia”!
“Dia sapu kiri, sapu kanan, sapu duit NFC, sapu duit Petronas, sapu duit rakyat. Inilah dia “Sapu Malaysia,” ujar Mohd Taufek.
Mohd Taufek yang juga merupakan Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan menjadi ‘hit” di kalangan hadirin yang sebahagian besarnya adalah masyarakat Cina apabila membangkitkan isu permohonan sekolah aliran Cina di Kuantan.
“Minggu lepas lebih 5,000 anggota masyarakat Cina berkumpul di Kuantan menuntut sebuah sekolah aliran Cina. Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak boleh meluluskannya.
“Kerajaan boleh meluluskan Lynas (pembinaan loji nadir bumi di Gebeng) tetapi sekolah Cina tidak boleh lulus. Benda yang ada risiko bahaya kepada manusia kamu luluskan tetapi soal pendidikan rakyat kamu tidak boleh luluskan.
“Umno ada otak ke tak?, tanya Mohd Taufek dan dewan terbuka sekali lagi menjadi gamat dengan sorakan orang ramai yang hadir.
Mohd Taufek turut menambah, “kalau kamu (kerajaan Barisan Nasional (BN)) tidak boleh luluskan pembinaan sekolah Cina serahkan kerajaan kepada Pakatan Rakyat.
“Kita (Pakatan Rakyat) boleh bagi kelulusan. Pakatan Rakyat memperjuangkan hak semua kaum dan menjamin pendidikan untuk semua kaum.
Najib serba salah
Naib Pengerusi DAP Negeri Sembilan John Fernandez pula memaklumkan bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak kini berada di dalam keadaan serba salah untuk membubarkan parlimen.
“Beliau menghadapi tekanan yang cukup hebat di dalam Umno sendiri. Terdapat empat kumpulan di dalam Umno iaitu kem Muhyiddin; bekas Perdana Menteri, Abdullah Ahmad Badawi; Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin dan Najib sendiri.
“Seandainya pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 nanti, Umno-BN hanya mampu mencapai kemenangan tipis atau gagal menang kerusi parlimen dengan majoriti dua per tiga, Najib akan disingkirkan oleh pemimpin Umno sendiri.
“Ini yang merungsingkan beliau dan masih tidak mahu membubarkan parlimen. Cuma saya ingin beritahu di sini bahawa bila pun Najib bubarkan parlimen dan PRU diadakan, Pakatan Rakyat sudah bersedia untuk mengambil alih Putrajaya,” ulas John yang juga merupakan Ahli Parlimen Seremban.
Turut hadir dan menyampaikan ceramah ialah Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan Pengerusi DAP Negeri Sembilan, Loke Siew Fook.
Seterusnya >>>

PM bukan Melayu: DAP nafi laporan Utusan


KUALA LUMPUR: Laporan yang dibuat oleh Utusan Malaysia kononnya Karpal Singh berkata, "Selagi hidup, beliau akan terus berjuang untuk memastikan seorang bukan Melayu menyandang jawatan PM" sebagai tidak benar.

Menurut Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang, beliau sempat bercakap dengan Karpal Singh ketika rehat mahkamah semalam dan bertanya mengenainya kepada Karpal.

"Karpal hanya merujuk kepada Perlembagaan Malaysia iaitu jawatan Perdana Menteri terbuka kepada semua rakyat Malaysia," kata Lim Kit Siang dalam Twitternya.

Lim Kit Siang juga telah membuat penjelasan itu melalui sistem pesanan ringkas (SMS) kepada Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali.

Semalam Utusan Malaysia melaporkan kononnya Karpal berkata, selagi hidup beliau akan terus berjuang untuk memastikan seorang bukan Melayu menyandang jawatan Perdana Menteri.

"Saya tidak pasti boleh lihat bukan Melayu untuk menjadi Perdana Menteri termakbul di era saya, namun saya tetap akan memperjuangkan impian ini," kata Karpal sebagaimana dilaporkan Utusan.

Ekoran laporan yang penuh unsur-unsur perkauman itu, Utusan telah membuat laporan susulan.

Antaranya dengan memetik kenyataan pimpinan PAS.
Seterusnya >>>

Menteri ghairah lelong plat kenderaan, rakyat sengsara skandal berbilion ringgit


KUALA LUMPUR, 25 MEI: Yang dituntut oleh rakyat ialah penyelesaian skandal KLIA2 yang bernilai RM3.9 billion, skandal RM12.5 billion PKFZ dan skandal RM12.49 bilion lebihan kos projek landasan keretapi berkembar EDTP.
Tetapi yang dibuat oleh Menteri Pengangkutan Datuk Seri Kong Cho Ha ialah mendabik dada kerana berjaya menjadi penjual nombor plat kenderaan WWW.
Inilah kehebatan seorang Menteri dari MCA dan Barisan Nasional yang diamanahkan oleh negara untuk menjaga kepentingan rakyat, kata Setiausaha Publisiti DAP Tony Pua.
“Rakyat Malaysia tidak perlukan seorang Menteri Pengangkutan yang cuma berminat melaporkan jumlah lelongan nombor plat WWW daripada menyelesaikan isu besar yang dihadapi,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurutnya, Kong tidak berwibawa kerana gagal melindungi dan mempertahankan kepentingan awam melibatkan isu skandal berbilion ringgit, sebaliknya, beliau telah mengadakan beberapa  sidang akhbar bagi mengumumkan nilai rekod bidaan tertinggi bagi plat kenderaan WWW yang mencecah RM11.3 juta seperti mana yang dilaporkan Bernama.
Pua yang juga Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara berlata, Kong sepatutnya menjelaskan kepada rakyat tentang kenaikan mendadak  nilai “terminal kos rendah” KLIA2 dari RM1.7 billion pada 2007 kepada RM3.9 billion tahun lalu adalah akibat penukaran tapak KLIA2 ke kawasan paya gambut.
“Walaubagai mana pun, kenaikan RM2.2 billion tersebut yang membebankan rakyat dijawab Kong yang hanya berkata ‘saya tidak mempunyai jawapan kerana keputusan tersebut tidak dibuat oleh Kementerian Pengangkutan’, ” tambah beliau.
Pua juga berkata, dalam isu Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ), Kong yang juga Setiausaha Agong MCA telah mengarahkan bayaran diteruskan kepada pemegang saham Kuala Dimensi Sdn Bhd (KDSB). Sedangkan, Lembaga Pelabuhan Klang (PKA) sendiri telah menyaman KDSB sebanyak RM1.6 billion di atas tuntutan berlebihan dan penipuan, tambahnya. Sebaliknya, beliau berkata, Kong pula menuduh PKA dengan mengatakan bahawa setiap jumlah yang dibayar adalah atas nasihat PKA walau pun PKA mengarahkan untuk menghentikan bayaran,” ujarnya.
Yang terkini, laporan Business Times yang mendedahkan bahawa MMC-Gamuda telah menuntut arahan perubahan kerja (VO) sebanyak RM1.5 billion dari kerajaan bagi lebihan kos Pembinaan Landasan Berkembar Elektrik (EDTP) Ipoh-Padang besar. “Walau pun ia dinafikan oleh MMC-Gamuda, mereka tetap mengakui bahawa tuntutan “perbelanjaan dan kerugian” tersebut adalah disebabkan oleh kerajaan sendiri. “Nilai projek EDTP ialah RM12.49 billion dan kenaikan sebanyak RM1.5 billion bermaksud kenaikan 12% daripada kos asal,” kata Pua.
Menurutnya, semua ini perlu dijelaskan oleh Kong tetapi pemimpin MCA itu terus membisu walau pun sedar segala skandal tersebut telah menyumbang kepada masalah ekonomi negara kerana wang pembayar cukai yang berjumlah berbilion ringgit telah disalah guna dan dibazirkan.

/– Roketkini.com
Seterusnya >>>

Kerajaan ditekan tentang kes Tajudin selepas dakwaan Khairy

KUALA LUMPUR, 24 Mei — Penyelesaian sulit kerajaan dengan Tan Sri Tajudin Ramli timbul kembali selepas ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin berkata minggu ini syarikat susunan semula aset nasional Danaharta tidak kehilangan duit dalam penyelesaian luar mahkamah.
DAP hari ini menuntut jawapan daripada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak selepas Khairy membuka semula perbalahan mengenai penyelesaian sulit yang kontroversial ini dengan menuntut semasa debat yang disiarkan di televisyen dengan Rafizi Ramli dari PKR bahawa dia telah diberitahu sumber bahawa kerajaan tidak kehilangan dalam pengaturan dengan Tajudin.
“Datuk Seri Najib Razak mesti mengesahkan dengan serta-merta jika ketua Pemuda Umno-nya bercakap benar atau sedang menipu orang awam tentang skandal tersebut.
“Terutamanya kerana ini kali pertama seorang ahli politik Barisan Nasional (BN) telah membuat tuntutan bahawa Tan Sri Tajudin telah membayar separuh atau semua hutang tertunggaknya sebagai sebahagian penyelesaian,” ketua publisiti DAP Tony Pua, berkata dalam kenyataan media hari ini.
Khairy telah berkata ada sumber bahawa bekas pengerusi Malaysia Airlines (MAS) itu mungkin telah membayar lebih dari RM589 juta yang dihutang kepada Danaharta berikutan suatu penyelesaian luar mahkamah yang jumlahnya masih belum didedahkan.
Menteri Datuk Seri Nazri Aziz pada tahun lalu mengarahkan semua syarikat berkaitan kerajaan (GLC) termasuk Danaharta untuk menarik balik kes sivil terhadap Tajudin kerana kerajaan telah memutus untuk semua kes diselesaikan di luar mahkamah.
“Dakwaan Khairy itu adalah langsung tidak boleh dipercayai dan kurang kredibiliti, berdasarkan cara sulit di mana kerajaan telah mencuba untuk menutup episod ini dan keengganan sebarang menteri untuk mengesahkan atau menafikan tuntutan bahawa Danahara sebenarnya telah melupuskan semua hutang Tajudin,” ahli parlimen Petaling Jaya Utara itu berkata.
Danaharta dan Tajudin telah menamatkan kes yang telah lama berlanjutan ini apabila mereka membuat penyelesaian luar mahkamah pada 14 Februari selepas Putrajaya telah mengarahkan Ogos lalu supaya semua GLC menguggurkan kes sivil terhadap bekas anak buah Tun Daim Zainuddin.
Tetapi terma penyelesaian luar mahkamah itu kekal sebagai rahsia antara dua pihak itu walaupun Mahkamah Tinggi telah memutuskan pada Disember 2009 supaya Tajudin membayar Danaharta RM589.14 juta dengan faedah tahunan dua peratus yang bermula dari 1 Januari 2006.
Ahli politik dari pihak kerajaan dan pembangkang telah menggesa supaya butiran lengkap penyelesaian luar mahkamah antara Tajudin dan Danaharta diumumkan kepada orang awam, tetapi setakat ini kerajaan masih senyap.
Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) Parlimen telah menuntut pada bulan Mac supaya Putrajaya mendedahkan butiran penyelesaian luar mahkamah yang dicapai antara bekas syarikat pengurusan aset nasional Pengurusan Danaharta Bhd (Danaharta) dan Tajudin.
The Malaysian Insider memahami bahawa panel yang mempunyai 13 ahli itu membuat keputusan yang hampir sekata untuk tanya Kementerian Kewangan dan Prokhas, unitnya yang mengurus baki aset Danaharta, untuk menjelaskan penyelesaian sulit yang dicapai pada 14 Februari.
Polisi bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, menjadi bahan kritikan selepas pentadbiran Najib memutuskan untuk mengadakan penyelesaian di luar mahkamah terhadap hutang RM589 juta oleh Tajudin ketika membuat pinjaman untuk membeli MAS pada 1994.
Kes antara Danaharta dan Tajudin timbul selepas beliau melakukan perjanjian kemudahan pada 13 Julai, 1994 untuk meminjam RM1.79 bilion daripada sindiket bagi membiayai pembelian saham sejumlah 32 peratus saham MAS.
Namun begitu, pada 1994 ke 1998, beliau gagal menyelesaikan hutang berkenaan dan menjadikannya pinjaman tidak memuaskan (NPL).
Pada tahun 1998, Danaharta mengambil alih NPL daripada peminjam tetapi Tajudin juga gagal menyelesaikan hutangnya dengan Danaharta sehingga mereka berhutang sebanyak RM1.41 billion pada 8 Oktober 2001.
Pada 31 Disember 2005, amaun yang belum dibayar adalah RM589.14 juta dan pada 11 Mei 2006, Danaharta dan anak syarikatnya telah mula ambil tindakan untuk mendapatkan semula kesemua duit itu.
Tajudin mendakwa dalam afidavitnya beliau diarahkan oleh Dr Mahathir dan Daim pada 1994 untuk membeli dan mengawal pegangan saham MAS untuk menjamin daripada kerajaan.
Ahli perniagaan itu mendakwa pembeliaan itu adalah “khidmat negara” yang dipaksa, kerana kerajaan ingin menenangkan para pelabur dan orang awam.
Dr Mahathir bagaimanapun menafikan dakwaan Tajudin berkenaan dalam memoir yang ditulisnya
Seterusnya >>>