Showing posts with label Baling Kasut. Show all posts

Imam Hoslan Islamkan 2 banduan dalam penjara

NONEWalaupun sedang menjalani hukuman penjara setahun kerana membaling kasut ke arah hakim, Imam Hoslan Hussein meneruskan tanggungjawab dakwah apabila dikatakan sudah berjaya mengislamkan dua saudara baru dan mengajar agama dalam penjara.

Harakahdaily memetik isteri Hoslan - Noorliza Mohd Isa - sebagai berkata, suaminya yang dipenjara di Penjara Kajang itu juga turut menjadi imam kepada banduan lain ketika solat berjemaah.

"Alhamdulillah, beliau berjaya mengislamkan dua orang banduan selain mengajar fardu ain di dalam penjara," katanya dalam laporan Harakahdaily itu.

Beliau menceritakan perkara itu ketika menerima kunjungan Dewan Muslimat PAS Pusat (DMPP) yang diketuai Ustazah Siti Zailah Mohd Yusof, kelmarin.

Turut serta dalam rombongan itu Bendahari DMPP, Nurul Huda Yusof Rawa dan aktivis muslimat, Ustazah Rosiah Salleh.

Kunjungan itu juga bertujuan menyampaikan sumbangan kepada Noorliza yang kini terpaksa menanggung perbelanjaan tujuh orang anak mereka yang berumur antara 16 hingga enam tahun.

DMPP sebelum ini telah membuat komitmen untuk memberi bantuan tetap RM800 sebulan kepada keluarga Hoslan sepanjang tempoh beliau dipenjarakan.

Hoslan yang merupakan bekas imam Masjid Ar-Rahimah, Kampung Pandan sebelum ini dijatuhkan hukuman penjara setahun oleh Mahkamah Persekutuan atas kesalahan menghina mahkamah.

Ianya ekoran tindakan Hoslan membaling kasut ke arah panel tiga hakim yang sebelum itu membuat keputusan menggugurkan kesnya.
Seterusnya >>>

Karpal akan mohon semakan hukuman imam

NONE

Peguam veteran, Karpal Singh akan memfailkan permohonan bagi  Mahkamah Persekutuan menyemak semula keputusannya menjatuhkan hukuman setahun penjara ke atas imam Hoslan Hussain ekoran insiden melempar selipar.

Karpal, yang merupakan peguam yang mewakili Hoslan berkata hukuman Mahkamah Persekutuan itu adalah "nyata keterlaluan".

Karpal berkata, Hoslan tidak akan berpeluang untuk mengemukakan rayuan kerana hukuman itu dijatuhkan oleh Mahkamah Persekutuan.

Bagaimanapun, katanya, dalam kes-kes terkecuali, mahkamah boleh menyemak keputusannya sendiri.

"Tidak syak lagi apa yang Hoslan lakukan adalah salah. Ia adalah tidak wajar dan tidak dapat dipertahankan, tetapi di sisi lain, Mahkamah Persekutuan perlu mengambil kira keadaan yang membawa kepada tindakan imam tersebut," kata Karpal kepada pemberita dalam satu sidang akhbar hari ini.

"Beliau telah dihalau keluar dari kuarters kediamannya di masjid di Kampung Pandan, dan kes itu berlarutan sejak tahun 1999.

"Beliau diberitahu rayuannya kepada Mahkamah Persekutuan telah
ditolak kerana ia melampaui masa, oleh itu dia bertindak dalam kekecewaan pada saat itu," tambah peguam veteran tersebut.

Pada tahun 2008, Jabatan Halehwal Agama Islam Wilayah Persekutuan mengeluarkan arahan mengusir imam tersebut yang tinggal di dalam kawasan Masjid Ar Rahimah, selepas dakwaan masalah tatatertib dibuat terhadapnya.

Hoslan, bapa kepada tujuh orang anak, melempas selipar ke arah panel tiga anggota mahkamah tertinggi itu, yang terdiri daripada Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Suriyadi Halim Omar, Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Zaleha Zahari dan Hakim Besar Malaya, Datuk Zulkifli Ahmad Makinuddin yang mengetuai panel tersebut.

Insiden melempas selipar itu berlaku pada 22 Februari. Dua minggu selepas itu, Hoslan dipanggil ke Mahkamah Persekutuan dan dijatuhkan hukuman pada 8 Mac.
Seterusnya >>>

Baling kasut ke arah hakim, Imam dipenjara setahun


Mahkamah Persekutuan hari ini menjatuhkan hukuman penjara setahun ke atas seorang penjawat awam, Hoslan Hussin atas kesalahan menghina mahkamah ekoran tindakan lelaki itu membaling selipar ke arah panel hakim.

Hakim, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinuddin ketika menyampaikan hukuman berkenaan berkata, hukuman setimpal bagi kes berkenaan adalah penjara setahun.

Beliau sebelum itu berkata, tindakan membaling alas kaki itu boleh menggugat kuasa mahkamah dan menjatuhkan maruh mahkamah sekiranya tiada tindakan dilakukan untuk kesalahan seperti itu.

"Kesalahan yang dilakukan kamu adalah serius di sisi undang-undang," katanya yang menambah, tindakan seperti itu tidak boleh dibiarkan tanpa dibendung.

Beliau yang mengetuai panel tiga hakim, menyampaikan hukuman tersebut selepas mendengar hujahan daripada wakil Peguam Negara, Suzana Atan dan juga wakil Majlis Peguam, Arthur Wong.

Terdahulu mahkamah turut mendengar permohonan maaf daripada Hoslan, 46 berhubung tindakan membaling selipar itu.

Hoslan turut menjelaskan bahawa beliau keliru dengan perjalanan kes melibatkan dirinya dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan diputuskan di mahkamah tersebut pada 22 Februari lalu.

Hoslan berkata, beliau keliru dengan perjalanan kes tersebut "bermula daripada awal."

Kes tersebut sepatutnya di dengar di Mahkamah Syariah dan bukannya di Mahkamah Sivil, katanya yang meminta prihatin mahkamah.
Seterusnya >>>

Institusi kehakiman rosak punca imam baling kasut


NONE
Negara digemparkan dengan keberanian seorang imam, yang membaling sepatunya ke arah Hakim Mahkamah Persekutuan, suatu institusi mahkamah tertinggi dalam negara yang seharusnya dihormati seluruh rakyat.

Imam Houslan Hussin, melempar dua sepatunya satu persatu, hampir mengenai panel tiga orang hakim, iaitu Tan Sri Dato' Zulkifli Ahmad Makinuddin, Dato' Suriadi Halim Omar dan Datin Zaleha Zahari.

"Keputusan hakim tidak menepati keadilan mengakibatkan saya melemparkan sepatu saya kepada hakim, bukan bertujuan menghina mahkamah.

"Keputusan itu menyokong orang-orang dan pentadbir masjid yang menyelewengkan beratus ribu duit Masjid Ar-Rahimah sebagaimana laporan yang telah dihantar kepada ketua polis negara," katanya dalam laporan polisnya.

"Saya hanya seorang imam sahaja. Saya tidak tahu undang-undang ini (prosedur mahkamah) semua," kata Hoslan ketika mengulas mengenai keputusan mahkamah yang menolak permohonan rayuannya.

Apa sahaja rentetan peristiwa yang mendorong seorang Imam bertindak sebegitu nekad bukan menjadi persoalan pokok.

Persoalan pokoknya ialah kredibiliti dan imuniti institusi kehakiman yang sudah tiada ada penghormatannya dari kalangan rakyat.

Imam Houslan hanya seorang individu kerdil. Namun beliau boleh menjadi ikon pencetus reformasi dalam negara. Tidak pernah mahkamah yang sebegitu dihormati diperlakukan sedemikian rupa.

Membaling kasut ke arah hakim-hakim Mahkamah Persekutuan yang tinggi darjat kedudukannya, merupakan suatu penghinaan yang memalukan.

Walaupun kita berterima kasih ke atas jiwa besar hakim-hakim tersebut yang tidak mengenakan sebarang hukuman yang boleh disabitkan sebagai contempt of court atau menghina mahkamah, namun jika imam tersebut dikenakan hukuman, nescaya ia akan mengundang situasi yang lebih parah.

Insiden ini seharusnya menyedarkan hakim-hakim. Tugas mereka adalah melindungi serta memelihara kepentingan rakyat dan negara. Bukan menjadi pak turut kepada teraju politik yang dikuasai Umno-Barisan Nasional.

Hakim-hakim yang berkepentingan, membuat rencana keputusan bagi melindungi kepentingan penguasa yang zalim, sememangnya akan diberikan kenaikan pangkat, mendapat laba yang besar.

Namun mereka ini amat hina disisi Allah SWT dan hodoh pada pandangan rakyat jelata.

Dakwaan bahawa hakim-hakim dalam negara tidak bebas dan memihak kepada Umno-BN bukannya datang dari kalangan Pakatan Rakyat. Pengakuan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Dzaidin Abdullah, bahawa wujud campurtangan politik di dalam institusi kehakiman, menunjukkan ianya memang pincang.

Institusi kehakiman pincang kerana kejahatan pemimpin Umno-BN yang mahu kuasa mereka dilindungi dan dijamin.

Insiden membaling kasut oleh Imam Houslan, harus dilihat oleh golongan yang terbabit dalam institusi kehakiman bahawa, ianya merupakan isyarat jelas bahawa rakyat tidak mempercayai anda sekelian.

Golongan hakim, termasuk mereka yang bertugas di bawah Peguam Negara, harus sedar bahawa mereka sedang diadili oleh mahkamah rakyat.

Hari ini memang anda berkuasa di semua institusi mahkamah. Hari ini anda bertugas dengan dedikasi mengikut kehendak pemimpin-pemimpin Umno-BN, kerana anda mahu jaminan pangkat, kedudukan dan wang.

Anda harus sedar bahawa rakyat sudah tidak sabar-sabar lagi untuk menghukum penguasa zalim Umno-BN dalam mahkamah rakyat yang bakal bersidang dalam Pilihan Raya Umum ke-13 tidak lama lagi.

Rakyat sudah membulatkan tekad bersama Pakatan Rakyat untuk menumbangkan Umno-BN. Dengan tumbangnya Umno-BN, segala pillars yang mendukung kekuatannya akan turut sama dimusnahkan.

Penguasa yang zalim, yang didukungi hakim yang tidak adil serta pendakwaraya yang berpihak, akan sama-sama dibakul sampahkan oleh rakyat.

Jeriji penjara untuk anda memenjarakan rakyat yang tidak bersalah, akan menjadi kediaman anda, sebagaimana yang berlaku kepada diktator zalim Mesir, Hosni Mubarak anak-beranak.

Sejarah akan berpihak kepada kebenaran. Maka pada saat itu, bukan sahaja kasut yang dilemparkan ke muka anda, malah segala najis dan kekotoran di tapak kasut akan menjadi hidangan buat golongan yang bersekongkol dengan penguasa yang zalim.

Hidup rakyat, hancur kezaliman. Allahu akbar!
Seterusnya >>>

Imam: Baling kasut tanda 'kehakiman rosak'

NONEBekas imam sebuah masjid yang melontarkan kasut ke arah hakim ketika sesi Mahkamah Persekutuan Rabu lalu berkata, beliau berbuat demikian sebagai satu tanda bahawa "kehakiman negara sudah rosak."

Hoslan Hussin, 46, berkata beliau juga bertindak melontar kasutnya ke arah hakim memandangkan keadilan tidak memihak kepadanya.

"Tidak tahulah, siapa yang kena itu rezekilah," katanya sambil tersenyum ketika ditemui di satu sudut di Masjid Ar-Rahimah, Kampung Pandan di Kuala Lumpur, semalam.
Hoslan memilih sudut berkenaan untuk mengadakan temubual – 'port' istimewanya di masjid itu yang digunakannya untuk bersembahyang sunat dan juga untuk mengajar kanak-kanak membaca al-Quran.

Berbeza dengan sudut lain di masjid berkenaan, sebahagian daripada dinding sudut berkenaan diwarnakan dengan warna hijau.

Bekas pengikut al-Arqam itu lagi turut mengakui bahawa beliau merupakan seorang penyokong PAS – parti yang disifatkannya sebagai gerakan yang mendukung kebenaran.

Beliau menerima elaun sebanyak RM450 semenjak bertugas sebagai imam rawatib di masjid tersebut, sehinggalah perkhidmatannya ditamatkan oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) pada 2008.

Keputusan itu juga memaksa beliau untuk mengosongkan kuarters imam yang dihuni bersama tujuh orang anaknya itu sejak 2002.

Beliau yang tidak berpuas hati dengan keputusan mahkamah itu semalam membuat laporan polis ke atas panel tiga orang hakim tersebut – Tan Sri Datuk Zulkifli Ahmad Makinuddin, Datuk Suriadi Halim Omar dan Datin Zaleha Zahari.

"Keputusan hakim tidak menepati keadilan mengakibatkan saya melemparkan sepatu saya kepada hakim, bukan bertujuan menghina mahkamah.

"Keputusan itu menyokong orang-orang dan pentadbir masjid yang menyelewengkan beratus ribu duit Masjid Ar-Rahimah sebagaimana laporan yang telah dihantar kepada ketua polis negara," katanya dalam laporan polisnya.
'Saya hanya seorang imam'
Ketika ditemui, Hoslan menimbulkan semula dakwaan tersebut, yang turut dikemukakannya ke mahkamah Rabu lalu.

Mahkamah Persekutuan bagaimanapun menolak dokumen tersebut setelah dibantah oleh peguam yang mewakili MAIWP dengan alasan, dokumen tersebut tidak difailkan mengikut tertib.

"Saya hanya seorang imam sahaja. Saya tidak tahu undang-undang ini (prosedur mahkamah) semua," kata Hoslan ketika mengulas mengenai keputusan mahkamah yang menolak permohonan rayuannya semalam.

Hoslan berkata beliau juga telah menghantar laporan berhubung dakwaan tersebut ke pejabat menteri wilayah persekutuan dan juga ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

Dakwaan Hoslan itu pernah mendapat perhatian Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) yang mengadakan pertemuan dengan kesemua anggota jawatankuasa masjid berkenaan pada 22 Mei 2006.

Hoslan mendakwa, kesemua anggota jawatankuasa berkenaan telah dipecat dan satu jawatankuasa baru dibentuk. Bagaimanapun, ahli jawatankuasa itu masih tidak berpuas hati dengannya apabila beliau terus menimbulkan dakwaan penyelewengan melibatkan jawatankuasa berkenaan, dakwanya.

Pihak pentadbiran masjid berkenaan juga telah mengadakan perjumpaan untuk memberi teguran kepadanya dan mendapatkan penjelasan daripada beliau pada 16 Mei 2008.

Susulan daripada pertemuan itu, pentadbiran masjid tersebut kemudiannya mencadangkan supaya perkhidmatan beliau sebagai imam ratib ditamatkan.
Tidak berpakaian rasmi

"Keputusan tersebut diambil berdasarkan pemerhatian dan penilaian terhadap beliau bagi memelihara kemuliaan jawatan imam di mata masyarakat dan menjaga nama baik masjid Ar-Rahimah," laporan itu dipetik.

Laporan JAWI ke atasnya antara lainnya mendakwa Hoslan sering tidak memakai pakaian rasmi lengkap imam dan tidak berkerjasama dengan pihak masjid dalam program yang dijalankan.

Malah, beliau juga didakwa telah memakai pakaian yang melambangkan imej parti politik dalam satu bengkel pada Mei 2008, anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia.

Hoslan juga didakwa sering "berebut" dengan imam dan juga khatib jemputan untuk menjalankan tugas berkenaan – satu tindakan yang menimbulkan rasa malu di kalangan pentadbiran masjid, menurut laporan itu lagi.

Selain itu, Hoslan juga didakwa menduduki kuarters masjid tanpa kebenaran walaupun telah diberikan unit perumahan di salah satu pangsapuri Projek Perumahan Rakyat Termiskin.

Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) kemudiannya menamatkan perkhidmatan Hoslan pada 2008 dan mengeluarkan notis ke atasnya supaya mengosongkan kuarters yang didudukinya itu.

Hoslan bagaimanapun tetap berkeras untuk tinggal di kuarters berkenaan, menyebabkan MAIWP mendapatkan perintah mahkamah untuk menghalang beliau daripada terus tinggal di situ.

Perintah Mahkamah Tinggi pada Jun 2011 itu bagaimanapun dirayu oleh Hoslan di Mahkamah Rayuan dan seterusnya ke Mahkamah Persekutuan yang mengekalkan keputusan itu semalam.

Hoslan tampil mewakili dirinya sendiri di mahkamah semalam dan bertindak membaling kasut berkenaan apabila mendengar keputusan tersebut yang menjadikan beliau seorang penceroboh sekiranya terus tinggal di kuarters masjid.

Hoslan yang kini tinggal di PPRT Cochrane, Kuala Lumpur berkata, apa yang diharapkannya hanyalah untuk mendapatkan kebenaran demi membuktikan bahawa beliau tidak bersalah atas tuduhan yang dihadapinya sebelum ini.

Beliau juga percaya bahawa tindakan yang dikenakan ke atasnya setakat ini, termasuk dihalau keluar daripada kuarters imam, adalah ekoran daripada pendedahannya berhubung dakwaan penyelewengan yang berlaku di masjid itu.
Ketua imam masjid itu, Zakaria Mohamed ketika dihubungi hari ini bagaimanapun enggan mengulas dakwaan yang ditimbulkan Hoslan.
"Tidak boleh tanya saya... Kena tanya MAIWP sebab semuanya itu urusan MAIWP," katanya lagi.
Seterusnya >>>

Imam baling kasut ke arah hakim

NONESeorang imam yang diusir dari kuarters kediamannya atas dakwaan masalah disiplin bertindak membaling kasutnya ke arah panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan hari ini.

Kejadian sekitar jam 10 pagi itu berlaku apabila Hakim Besar Malaya Tan Sri Zulkifli Ahmad Makinuddin menolak permohonannya supaya diberi kebenaran membuat rayuan.

Ini berikutan bantahan yang dibangkitkan oleh peguam Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan Zulkifli Che Yong bahawa afidavit imam itu difailkan di luar dari masa yang ditetapkan.

Imam berkenaan, Hoslan Hussain, yang tidak diwakili berdiri di barisan meja berhampiran pegawai pendakwa raya dan peguam semasa permohonan itu.

Difahamkan Roslan merayu kepada Hakim Zulkefli supaya berlembut dan membenarkan permohonannya itu tetapi tetapi hakim dilaporkan mahkamah terpaksa membenarkan bantahan  kerana ia mengikut undang-undang.

Hakim Zulkefli cuba menenangkan Roslan tetapi beliau dikatakan tidak mahu mendengar alasan berkenaan tetapi sebaliknya mencampakkan kasutnya ke arah panel hakim yang hampir mengenai seorang daripda mereka.

Dua lagi hakim yang bersidang bersama pagi ini adalah Hakim Datuk Suriyadi Halim Omar dan Datin Paduka Zaharah Zahari.

Berikutan kejadian ini, polis yang mengendalikan mahkamah memegang Roslan dan cuba menenangkan beliau.

Adalah difahamkan bahawa ahli panel tiga hakim tidak membuat apa-apa perintah berhubung tindakannya yang menghina mahkamah itu.
Seterusnya >>>