Mesyuarat khas bagi selesai isu pertembungan calon PKR, PAS


KUALA LUMPUR, 20 April — Enam kerusi yang menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara sesama parti dalam Pakatan Rakyat (PR) memaksa satu mesyuarat khas diadakan untuk menyelesaikan pertikaian tersebut.
Berlaku pertindihan antara PAS dan PKR untuk satu kerusi Parlimen dan lima kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) selepas tamat penamaan calon hari ini.
“Jawatankuasa Harian PAS Pusat akan mengadakan mesyuarat khas pada Isnin ini untuk membuat keputusan berikutan pertindihan calon PAS dan PKR,” kata Penolong Setiausaha Agung PAS Ahmad Sabki Yusof dalam satu kenyataan hari ini.
Bagi kerusi Labuan, pertindihan berlaku selepas calon PKR, Tan Sri Ibrahim Menudin dan calon PAS, Hadnan Mohamad hadir pada hari penamaan calon untuk mendaftarkan diri selain calon Barisan Nasional (BN) Rosman Isli yang akan bertanding di kerusi parlimen tersebut.
Pertindihan calon antara sesama parti pembangkang juga berlaku di kerusi negeri Pulau Pinang melibatkan dua calon pakatan pembangkang iaitu Mohd Yusni Mat Piah dari PAS serta Badrul Hisham Shaharin daripada PKR yang akan berhadapan lawan daripada BN, Datuk Mahmud Zakaria.
Selain itu, empat lagi kawasan DUN yang berlaku pertindihan ialah Kota Damansara, Bukit Besi, Kota Putera dan Seberang Takir.
Ahmad Sabki juga berharap semua penyokong PR bersabar dan tidak membuat sebarang spekulasi terhadap situasi terkini yang berlaku sehingga keputusan penuh dibuat pada Isnin ini.
“Sehubungan dengan itu, semua ahli dan penyokong PAS dan Pakatan Rakyat diminta bersabar sehingga keputusan dicapai oleh pucuk pimpinan tertinggi PAS Isnin ini, katanya lagi.
Selepas penamaan calon yang berakhir hari ini, beberapa kejutan juga berlaku melibatkan calon bebas daripada pembangkang antaranya dua ahli DAP yang bertanding bebas walaupun tidak mendapat laluan daripada parti iaitu Jenice Lee, yang merupakan penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Teratai, serta Sim Tong Him, yang bertanding atas tiket bebas di kawasan DUN Laksamana.
Tindakan mereka nyata mengejutkan senario politik tanah air kerana ia berlaku ketika negara sedang bersiap sedia memilih parti untuk memerintah di negara ini.
Pilihan Raya 2013 akan menyaksikan lebih kurang 13.3 juta pengundi yang berdaftar untuk memilih calon mereka bagi menentukan 222 kerusi Parlimen dan 505 kerusi DUN di seluruh Malaysia.

0 Komen pengunjong :