Janji Ditepati: Perayaan Kemerdekaan jadi hak BN

Saya terbaca kenyataan yang berbagai oleh Datuk Seri Utama Rais Yatim selaku Pengerusi Perayaan Kemerdekaan Peringkat Nasional yang merayu supaya semua rakyat Malaysia ketepikan fahaman politik masing-masing dan merayakan bersama perayaan kemerdekaan tahun ini.


Saya mengalu-alukan rayuan beliau itu kerana “Kemerdekaan” adalah kepunyaan kesemua rakyat Malaysia dan harus dirayakan bersama sebagai Bangsa Malaysia.

Saya sendiri pernah menjadi Pengerusi Perayaan Kemerdekaan selama 7 tahun (1999 – 2006). Pada waktu itulah pihak kerajaan telah menukar konsep perayaan dari Perayaan Hari Kebangsaan (perayaan rasmi selama 1 hari) kepada Perayaan Bulan Kemerdekaan --- perayaan selama sebulan).

Tarikh yang ditetapkan juga merangkumi 16 September, iaitu untuk menghormati rakyat kita di Sabah dan Sarawak yang mencapai kemerdekaan secara rasmi pada 16 September.

Oleh sebab Perayaan Kemerdekaan adalah suatu peluang yang sebaik-baiknya untuk kita merapatkan hubungan di kalangan seluruh rakyat Malaysia dan juga peluang untuk mengenepikan segala persoalan yang mengasingkan kita maka  kerajaan begitu berhati-hati mengenai segala perkara yang berkaitan dengan perayaan tersebut --- supaya ia tidak menimbulkan sebarang kecurigaan dan sebaliknya pula perayaan tersebut dapat diterima dan disokong oleh semua pihak.

Antaranya kerajaan memastikan tema perayaan tersebut hendaklah sesuatu yang “neutral” dan boleh diterima oleh semua. Diantara tahun 1999 – 2006 tema yang dipilih adalah “Keranamu Malaysia”.  Oleh sebab tema ini begitu disenangi oleh seluruh rakyat Malaysia maka ianya diteruskan selama 6 tahun berturut-turut. Setahu saya tema perayaan pada tahun-tahun sebelumnya pun adalah yang “neutral” dan dapat diterima oleh seluruh rakyat Malaysia sungguhpun ianya ditukar ganti setiap tahun.

Begitu juga dalam semua perayaan selama sebulan itu pihak pemimpin-pemimpin pembangkang semuanya dijemput untuk menghadiri dan bila mereka menghadirinya maka adakalanya mereka dijemput juga ke atas pentas untuk bersama pemimpin-pemimpin kerajaan.

Saya sendiri setiap tahun sebelum perayaan bermula akan pergi berjumpa Menteri Besar Kelantan dan juga Menteri Besar Terengganu (yang pada masa itu dipimpin oleh PAS) serta Ketua Pembangkang, YB Encik Lim Kit Siang supaya memberi kerjasama dan merayakan perayaan tersebut sebagai suatu perayaan yang dipunyai oleh seluruh Bangsa Malaysia.

Begitu juga bantuan-bantuan yang berbagai termasuk bantuan bendera yang termampu disalurkan juga kepada kerajaan-kerajaan pembangkang termasuk memberi ruang kepada mereka dalam media massa. Alhamdulillah, parti-parti pembangkang pada waktu itu telah memberi kerjasama 100% kepada kerajaan dalam menjayakan program-program Perayaan Kemerdekaan.

Alhamdulillah, perayaan-perayaan Kemerdekaan secara bersama ini dan cara ikhlas telah dapat memajukan hasrat semua pihak memupuk semangat Bangsa Malaysia yang benar-benar bersatu padu dan bahagia.

Oleh yang demikian, saya dapat memahami kenyataan kekecewaan yang diluahkan merata-rata mengenai tema perayaan kemerdekaan pada tahun ini iaitu “Janji Ditepati”. Tema ini begitu jelas kepada semua adalah suatu slogan kempen Barisan Nasional bagi pilihanraya yang hampir datang ini. Ianya begitu terang dan terbuka tanpa sorok-sorok. Ini jelas membuktikan sikap kerajaan yang begitu ego dan begitu yakin tentang kedudukannya. Ianya tidak peduli sama sekali dengan perasaan pihak rakyat keseluruhannya. Ianya seakan-akan Perayaan Kemerdekaan juga telah menjadi hak “Barisan Nasional”.

Saya juga diingatkan bahawa pada pilihanraya 2008 hampir separuh dari pengundi seluruh Malaysia tidak mengundi Barisan Nasional. Oleh itu  sudah wajarlah kerajaan perlu mengambil kira bagaimana untuk menarik sokongan hampir separuh dari jumlah rakyat ini supaya sama-sama dapat merayakan kemerdekaan tersebut.

Perayaan kemerdekaan adalah suatu peluang keemasan untuk merapatkan hubungan muhibbah dan kasih sayang di kalangan seluruh rakyat Malaysia. Peluang ini telah pun terbuang begitu saja kerana sikap kerajaan yang telah menjadi begitu ego, sombong dan mementing diri.

--------------------------------------------------------

Penulis ialah Presiden Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Protem) dan pengarah sambutan Kemerdakaan negara beberapa kali.
.

0 Komen pengunjong :