Pas minta Umno dan BN uruskan parti sendiri

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang

BATU PAHAT – Pas meminta agar pemimpin Umno dan Barisan Nasional (BN) menguruskan parti mereka sendiri dan tidak campur tangan hal berkaitan dengan bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin, termasuklah hukuman yang bakal dikenakan ke atas beliau kerana kenyataan yang dikeluarkan terhadap Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, apa juga hukuman bakal dikenakan terhadap Nizar adalah hak Pas, bukannya hak Umno atau BN menentukannya.

Menurutnya, Pas tidak perlu tunduk kehendak Umno dan BN, begitu juga dengan nasihat yang diberikan.

“Baru-baru ini, Ketua Penerangan Umno, Ahmad Maslan ada beri pandangan berkaitan dengan hukuman yang bakal dikenakan terhadap Nizar, tetapi itu kata-kata dia, hukuman yang bakal dikenakan adalah hak kita.

“Ini parti kita, dia patut serah pada kita menentukannya dan kita juga tidak perlu sesekali dengar nasihat dia (Ahmad Maslan),” katanya pada Jamuan Rakyat Sempena Himpunan Hijau Ke Putrajaya di Dataran Pas Tongkang Pechah, semalam.

Hadir sama, Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurutnya, Pas akan uruskan partinya sendiri untuk jadi lebih kuat dan sistematik.

Dalam pada itu, Abdul Hadi turut menyatakan, rakyat Johor perlu berubah dengan menyokong pakatan pembangkang sekiranya tidak mahu ketinggalan dan menjadi seperti ‘ekor cicak’.

“Johor akan jadi macam ekor cicak... ekor cicak kita taulah macam mana jika putus...macam tulah juga Johor jika tidak berubah," katanya.

Katanya, sekarang ini sudah banyak negeri, termasuk anggota polis dan tentera yang berubah beri sokongan kepada pakatan pembangkang.

"Ramai telah berubah sekarang ini, termasuk tentera dan polis, tetapi Johor tidak berubah. Ini membuatkan Johor ketinggalan," katanya.
.

0 Komen pengunjong :