PAS demo koyak, pijak akhbar NST


KUALA LUMPUR: Kira-kira 50 penyokong dan ahli PAS hari ini bertindak melakukan demonstrasi di hadapan pejabat New Straits Times Press (NSTP), Jalan Riong, Bangsar ekoran penyiaran artikel ‘Nik Aziz Bapa Kafir’.
Mereka mula berkumpul di luar perkarangan NSTP selepas solat Jumaat memegang sepanduk ‘Damn You NST’, ‘Boikot NST’.
Berlaku sedikit kekecohan apabila Exco Pemuda PAS Mohd Sany Hamzan cuba merempuh masuk pintu pagar NST namun pantas dihalang polis yang tiba dari awal bagi mengawal keadaan.
Kelihatan sebuah trak polis dan beberapa kereta polis ditugaskan berkawal disepanjang perkarangan luar NST.
Kemudian di perkarangan luar pagar, mereka mula mengoyak, memijak akhbar NST.
Setiausaha Pemuda PAS Khairul Faizi Ahmad Kamil dalam ucapannya menuntut supaya NST memohon maaf dan menarik balik artikelnya selain mengugut mahu membakar akhbar itu sekiranya tiada sebarang respon.
Mereka kemudiannya bersurai secara aman selepas mengambil masa setengah jam di hadapan NSTP.
Sebelum itu, Mursyidul Am PAS Datuk Nik Aziz Nik Mat dilaporkan telah menghantar notis saman kepada mereka yang terlibat dalam penyiaran artikel yang memfitnah dirinya sebagai bapa kafir.
Beliau akan memfailkan saman itu kepada editor dan tiga wartawan NST dan bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Rahim Nor, dengan tuntutan penyelesaian di luar mahkamah sebanyak RM1 juta.
Saman itu dibuat ekoran kegagalan kedua-dua pihak mengemukakan permohonan maaf dan menarik balik tuduhan terhadapnya sebagai “bapa kafir” dalam tempoh yang diberikan.
Antara penama yang dinyatakan dalam saman tersebut adalah Ketua Editor NST serta tiga wartawan yang terlibat dengan penulisan berita tersebut iaitu Rahmah Ghazali, Lim Poh Lean dan Nik Imran Abdullah.
Notis itu antara lain menuntut NST menyiarkan penarikan balik dan permohonan maaf di muka hadapan akhbar itu, manakala enam kali dalam muka yang lain.

0 Komen pengunjong :