PAS Selangor Dedah Punca Hasan Ali Lempar Tuduhan Liar


SHAH ALAM,27 JAN : PAS Selangor mendedahkan punca kemarahan Dr Hasan Ali terhadap PAS adalah disebabkan beliau kehilangan jawatan dan kedudukan di dalam PAS Selangor sehingga menyebabkan pelbagai tuduhan liar dilemparkan kepada parti itu.
Menurut Ketua Dewan Pemuda PAS Selangor Hasbullah Mohd Ridzwan kemarahan Hasan terhadap PAS semakin melonjak apabila diketahui beliau tidak dicalonkan oleh PAS Gombak untuk kerusi Gombak Setia dalam (pilihanraya ke-13) PRU-13 walaupun dijelaskan keputusan itu bukan muktamad.
"Semenjak itu beliau mula mengambil sikap menyendiri dan mempertikaikan keseluruhan perjalanan PAS.
Beliau mendakwa PAS tidak lagi dikuasai golongan ulama sedangkan amat jelas tindakan beliau sendiri melanggar nasihat dan arahan ulama di dalam PAS. Kalau ada yang membelakangkan ulama,ianya dirinya sendiri dan bukan PAS," kata Hasbullah di dalam sidang media di Pejabat Ahli Parlimen Shah Alam.
Hasan, bekas Exco Kanan Kerajaan Selangor dan Pesuruhjaya Pas Selangor, dipecat daripada partinya pada 8 Januari kerana tindakannya yang merugikan Pas.
Selepas pemecatnya, Hasan telah memulakan siri ceramah di mana beliau mendakwa Pas sudah hilang arah perjuangannya.
Tambah Hasbulllah, kedudukan Ulama dan PAS terjamin dan diinstitusikan di dalam perlembagaannya melalui kewujudan Majlis Syura Ulama dan Dewan Ulama.
Kedua-dua badan ini berkedudukan jauh lebih mulia dan terunggul di dalam Pas berbanding ulama di dalam Umno yang mana hanya disediakan Biro Agama yang setaraf dengan Biro Sukan.
"Dasar perjuangan PAS juga tidak berubah seperti terbukti dengan tiadanya apa-apa pindaan yang dibuat ke atas perlembagaannya. Adalah 'common sense' atau kefahaman asas bahawa sekiranya dasar sesebuah parti ingin ditukar,maka perlembagaannya perlu diubah," ujarnya.
Justeru menurut Hasbullah, rakyat diseru tidak tertipu dengan kata-kata nista daripada Hasan yang diberi galakan dan sokongan dari Umno dan Barisan Nasional atas sebab-sebab kepentingan politik mereka.
"Umum menyedari,dalam soal merosakkan seseorang individu tiada yang lebih hebat dari Umno,dalam kes Dr Hasan Ali adalah bukti akan kehebatan Umno dalam soal ini," ujarnya.
Sidang media itu turut dihadiri Pesuruhjaya PAS Selangor Dr Abdul Rani Osman, Timbalan Pesuruhjaya PAS Selangor Khalid Samad, Ketua Penerangan PAS Selangor Saari Sungib dan Ketua Dewan Muslimat PAS Selangor Wan Hasrina Wan Hassan.

0 Komen pengunjong :