Najib perlu dahului menteri isytihar harta – Jui Meng


KUALA LUMPUR 27 Jan: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak perlu mendahului menteri kabinet lain bagi mengisytihar harta beliau ekoran perbelanjaan mewah yang ditunjukkan isterinya, kata Naib Presiden KEADILAN, Datuk Seri Chua Jui Meng.
Jui Meng diminta mengulas keputusan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang mewajibkan menteri kabinet dan ahli keluarga mereka mengisytiharkan harta kepada badan itu.
Beliau turut mengaitkan perbelanjaan Datin Seri Rosmah Mansor sebanyak RM$100,000 (RM325,000) semasa bercuti di Australia, seperti dilapor akhbar The Sydney Morning Herald, baru-baru ini.
“Sebab itu perdana menteri perlu mendahului menteri lain bagi mengisytiharkan harta beliau, isteri dan anak-anaknya.
“Kita minta supaya pengisytiharan harta perdana menteri dibuat kepada umum, jangan dikecualikan. Ini kerana beliau memberitahu kepada rakyat untuk mewujudkan kerajaan yang bersih.
“Kalau berani, Najib perlu isytiharkan harta dan buktikan apa yang dikatakan. Ini satu cabaran kepada beliau,” katanya kepada keadilandaily.
Menurut Jui Meng, ketika beliau menjadi menteri kabinet satu ketika dahulu, pengisytiharan harta dibuat kepada bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Namun, katanya, Dr Mahathir sendiri tidak mengisytiharkan hartanya kepada umum.
“Ketika saya menjadi menteri, pengisytiharan tersebut dibuat tetapi kepada seorang sahaja iaitu kepada PM, tetapi dia sendiri tidak mengisytiharkan hartanya,”
“Yang paling penting ialah menteri kewangan dan perdana menteri. Dua jawatan ini yang boleh mengaut banyak keuntungan,” kata beliau yang juga Pengerusi Majlis Pimpinan KEADILAN Johor.
Pada 18 Januari lalu, SPRM membuat kenyataan mewajibkan ahli keluarga dan pasangan menteri kabinet mengisytiharkan harta dan aset mereka, bagi memastikan integriti dalam pentadbiran kerajaan.
Bagaimanapun, keputusan itu dibantah Menteri di jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Abdul Aziz yang mendakwa tindakan itu akan ‘membahayakan’ menteri.
Baru-baru ini, Dr Mahathir mengeluarkan kenyataan bahawa menteri kabinet yang tidak mahu mengisytihar harta mereka, perlu meletakkan jawatan.

0 Komen pengunjong :