Najib tidak tahu definisi pilihan raya adil

KUALA LUMPUR, 17 Okt: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) membidas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang menyatakan BN tidak pernah memanipulasi pilihan raya umum di Malaysia supaya kemenangan sentiasa berpihak kepada parti itu.
Ketua Penerangan DPPM, Riduan Mohd Nor menganggap Najib terlupa sejarah pilihan raya umum di Malaysia yang menyaksikan bagaimana BN memainkan peranan bagi memenangi setiap pilihan raya berlangsung.
“Barangkali Datuk Seri Najib tidak mengerti definisi sebenar adil menurut perspektif yang betul,” katanya kepada Harakahdaily.
Untuk itu, ujarnya DPPM ingin menanyakan beberapa persoalan yang perlu dijawab oleh Najib bagi membuktikan bahawa kenyataannnya betul.
Katanya, dalam sejarah pilihan raya umum berlangsung sejak dahulu sehingga sekarang, bilakah media milik kerajaan Umno BN benar-benar bersih daripada kongkongan parti pemerintah Umno BN.
Menurutnya, setahu DPPM, tidak pernah media rasmi negara bebas dalam melaporkan hal yang sebenarnya.
Beliau berkata, PAS dan Pakatan Rakyat sejak dahulu tidak pernah mendapat liputan yang adil daripada media rasmi, malah pemimpin PAS dan Pakatan Rakyat selalu ditujah dan diserang dari pelbagai penjuru bagi memburukkan imej PAS di mata masyarakat.
“Pernahkah kerajaan Najib memberi kebebasan untuk pemimpin PAS dan Pakatan Rakyat tampil di media rasmi negara bagi berkempen sebagaimana pemimpin Umno perolehi setakat ini?” tanya beliau.
Dalam soal undi pos, katanya PAS telah banyak mengemukakan bukti serta saksi betapa undi pos digunakan sebagai alat untuk memenangkan parti pemerintah.
PAS, jelasnya pernah membawa beberapa orang bekas anggota tentera yang mengaku pernah mengundi banyak kali dalam sesebuah PRU.
“Adakah Najib mahu menafikan lagi hal ini?” soalnya lagi.
Katanya, memang benar ada tempat yang undi pos memihak kepada PAS, tetapi berapa sangatkah jumlah keseluruhannya berbanding undi yang diperolehi oleh Umno BN.
Ujarnya, DPPM ingin bertanya, jika betul BN sebagai adil, bolehkah undi pos dimansuhkan dan digantikan dengan undi biasa sepertimana rakyat biasa yang lainnya.
Dalam soal berkempen, soalnya apakah Najib lupa bahawa Umno BN selalu bertindak berat sebelah di mana eluruh jentera kerajaan dikerah bagi berkempen dalam sesebuah pilihanraya, sama ada pilihanraya kecil atau umum.
Katanya, para guru, pegawai kerajaan, tentera, polis dan lain-lain digunakan sebagai alat berkempen, seolah-olah pilihanraya kecil atau umum adalah milik Umno BN.
“Adakah Najib mahu menafikan hal ini, dan adilkah sebuah kerajaan melawan sebuah parti pembangkang dalam pilihanraya?” tanya beliau.
Mungkin juga, katanya Najib terlupa takrifan projek ‘mi segera’ setiap kali pilihanraya berlangsung di mana secara tiba-tiba Dun atau Parlimen terbabit bertukar menjadi kawasan yang mendapat projek runtuh, sedangkan sebelum daripada itu tidak pernah kawasan tersebut dijenguk.
Bagi BN, ujarnya lagi ia adalah baik kerana untuk rakyat tetapi rakyat mentakrifkannya sebagai rasuah pilihanraya.
Tambahnya, agensi penting seperti SPR dan SPRM pula seakan buta melihat segala macam kebobrokan yang dilakukan oleh pemimpin BN.
“Mungkin ini adil menurut Najib,” ujarnya lagi.
Beliau menambah, adil yang paling benar bagi Najib adalah merahsiakan tarikh pilihan raya umum, seakan suatu rahsia besar yang perlu dielak dari dikongsikan bersama rakyat Malaysia.
Ujarnya, biarlah pembangkang ‘terkulat-kulat’ membuat persiapan apabila secara tiba-tiba pilihan raya umum dipanggil pada bila-bila masa yang dikehendaki oleh Najib.
Katanya lagi, bagaimana jika Pakatan Rakyat melakukan hal yang sama, dan BN yang menjadi pembangkang pula dalam keadaan tidak bersedia apabila tiba-tiba berlaku PRU.
Riduan berkata, Pakatan Rakyat memenangi banyak negeri di Semenanjung bukan membuktikan BN itu adil, tetapi ia membuktikan bahawa rakyat telah melihat kebenaran.
Katanya, kebenaran tidak boleh disorok, maka kejahatan yang dibuat tidak mampu menenggelamkan kebenaran yang diterima rakyat.
“Ini adalah sedikit dari pelbagai bukti kepincangan yang berlaku dalam pilihan raya era BN,” katanya.
Najib, tambahnya seakan menghidap ‘sindrom penafian’ bahawa BN sejak sekian lama, merosakkan sistem demokrasi dan pilihan raya di negara ini.
“Buat Najib, belajarlah mengenal erti keadilan dari perspektif rakyat dan umum, bukan dari kacamata BN semata-mata!” ujarnya.

0 Komen pengunjong :