Wikileaks: Bukti Umno terus perkuda institusi kehakiman

KUALA LUMPUR: Pendedahan Wikileaks betapa Datuk Seri Anwar Ibrahim tetap akan dipenjara atas sekalipun, menunjukkan Umno terus memperkuda institusi kehakiman demi kepentingan politik sempit mereka.
Sehubungan itu, Naib Presiden KEADILAN, Tian Chua berkata, penguasaan Umno harus ditukar lantaran Datuk Seri Najib Razak sehingga kini enggan berubah.
“Sudah tiba masanya pemerintah ini diubah dengan memilih Pakatan Rakyat sebagai peneraju baru negara bersama dasar pro rakyat,” katanya.
Pendapat itu disokong Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) KEADILAN, Johari Abdul yang menegaskan agenda Buku Jingga sangat relevan bagi memperbetul situasi berkenaan.
“Memperalat institusi kehakiman bukan baru. Ia sudah pun berlaku sejak era Tun Salleh Abbas lagi. Sudah tiba masanya Buku Jingga dilaksana,” katanya ketika dihubungi.
Mengikut Buku Jingga, mereformasikan institusi kehakiman adalah isu pertama yang akan dilaksana dalam tempoh 100 hari pertama Pakatan Rakyat mentadbir Malaysia.
Mengulas lanjut, Johari berkata, pemikiran puak Umno sejak lebih 50 tahun berkuasa, kekal terjajah dengan memperalat perundangan.
Beliau mengajak seluruh rakyat melihat isu ini secara adil kerana ia pastinya tidak dilaporkan media kawalan Umno yang giat mengampu Najib.
“Ahli  KEADILAN semua peringkat harus memastikan isu pendedahan Wikilekas disampaikan kepada pengundi demi memberi mereka maklumat lebih adil,” katanya.
Mengikut kabel diplomatik Amerika Syarikat yang dibocorkan Wikileaks, Anwar tetap akan didapati ‘bersalah’ kerana meliwat – hukuman kedua dalam tempoh 10 tahun.
Kabel itu juga melaporkan, Najib dan pemimpin utama Umno akan melakukan apa sahaja supaya pendakwaan terhadap Anwar ‘boleh diterima’.
Mengikut nota diplomatik 2009 yang diklasifikasi sebagai sulit oleh Mark D Clark – kaunselor politik di Kedutaan Amerika Syarikat di Kuala Lumpur, matlamat mereka ialah memenjarakan Anwar dan menyingkirkannya dari politik.

0 Komen pengunjong :