Hadi Kecam Umno-BN Punggah Khazanah Sabah, Sarawak Tanpa Selesaikan Masalah Rakyat

HadiBatuSapi
SANDAKAN 25 Okt - Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata kerajaan Umno-Barisan Nasional yang berpusat di Semenanjung tidak berhak memunggah harta kekayaan dan hasil mahsul negeri Sabah dan Sarawak selagi masalah asas yang membelenggu rakyat kedua-dua negeri tersebut tidak diselesaikan terlebih dahulu.

Ini termasuk hal berkaitan dengan keperluan asasi rakyat Sabah dan Sarawak sepertu bekalan air bersih dan elektrik, perumahan yang selesa, kemudahan pendidikan dan kesihatan disamping isu yang lebih besar termasuk royalti minyak, hasil balak dan gas serta perampasan tanah adat.

"Tidak boleh punggah harta Sabah atau Sarawak selagi tidak selesai isu kemisikinan, isu infrastruktur dan sebagainya. Selesaikan dulu hak rakyat ini baru duduk berbincang hendak bagi 20 peratus royalti minyak dan sebagainya. Inilah konsep federalisme dari perspektif Islam dan jika Pakatan Rakyat diamanahkan rakyat untuk memegang tampuk pemerintahan, PAS akan pastikan rakan dalam KEADILAN dan DAP menerima konsep ini yang berpaksikan kepada konsep keadilan. Saya yakin kita telah sama-sama berjanji untuk menegakkan keadilan bersama.

"Macam mana kerajaan Umno-BN mahu menggunakan wang rakyat untuk membina menara 100 tingkat apabila di Sabah ada rumah yang senget, yang bina rumah dalam  sungai pun ada. Tidak ada Persekutuan Malaysia jika tidak ada Sabah, tidak ada Persekutuan Malaysia jika tidak ada Sarawak. Dikumpulkan semua termasuk Semenanjung, Sabah dan Sarawak baru ada apa yang kita panggil Persekutuan Malaysia," tegas Abdul Hadi ketika berucap di penutup Perhimpunan Isu Tanah anjuran Pakatan Rakyat Sabah dan majlis pengumuman calon Parti Keadilan Rakyat bagi Pilihan Raya Kecil P185 Batu Sapi di Dewan Hakka di sini petang semalam.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang berkata walaupun PRK kecil pada nama tetapi kesannya amat besar kepada seluruh negara dalam penantian rakyat menghadapi Pilihan Rakyat Umum ke 13 tidak lama lagi.

PRK dan PRU jelas beliau memberi peluang kepada rakyat untuk menjadi hakim bagi menentukan siapa yang memimpin mereka.

"Kita sendiri lihat dan rasa bagaimana setelah 50 tahun merdeka, rakyat sepatutnya menjadi bijak dan jangan dicucuk hidung mereka serta berani melaksanakan hak mereka dalam pilihan raya.

"Dari satu segi Sabah dan Kelantan tidak banyak berbeza kerajaan kedua-dua negeri dalm sejarah politik negeri masing-masing telah memilih kerajaan negeri yang berlainan dalam tempoh 50 tahun. Inilah pendirian yang betul dan tepat. Walaupun PAS sebuah parti Islam, ia mampu bekerjasama dengan bukan Islam kerana Islam mengajar kita bersaudara sesama Islam dan juga manusia terutamanya golongan yang dizalimi dan dianiayai.

"Kerajaan adalah penjaga amanah bukan guna ruang untuk rampas tanah atau harta negeri. Dalam isu tanah siapa yang terokai tanah yang bukan milik sesiapa untuk urusan kehidupan seperti pertanian atau perumahan hendaklah dipertimbangkan untuk diberi hak ke atas tanah yang diteroka. Kerajaan boleh ambil tanah untuk tujuan tertentu seperti membuat jalan dan kemudahan awam tetapi hendaklah diberi pampasan yang secukup dan adil. Kalau dirampas begitu sahaja tanpa apa-apa diberikan ganti yang setimpal ini perbuatan yang zalim," tegas bekas Menteri Besar Terengganu itu.

Mengimbas ketika Terengganu di bawah pemerintahan PAS di antara tahun 1999 hingga 2004, Abdul Hadi berkata kerajaan negeri telah memberi lebih 60,000 geran hak milik tanah kepada rakyat

0 Komen pengunjong :