Speaker : Tian Chua kekal Ahli Parlimen Batu

KUALA LUMPUR: Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia, berkata Tian Chua kekal sebagai Ahli Parlimen Batu sehingga satu usul dibentangkan oleh kerajaan bagi menentukan secara undian sama ada beliau kekal sebagai wakil rakyat atau sebaliknya.

Pandikar Amin berkata, usul kerajaan itu hanya boleh dikemukakan di Dewan Rakyat selepas segala peluang perundangan kepada Tian Chua berakhir.

“Peluang perundangan yang dimaksudkan ialah Tian Chua kini mempunyai peluang selama 14 hari untuk membuat rayuan selepas Mahkamah Tinggi membuat keputusan mengenai kesnya. Proses perundangan seterusnya ialah Tian Chua masih boleh membuat rayuan dengan mengemukakannya kepada Lembaga Pengampunan dan selepas selesai pada peringkat itu, ia akan kembali kepada Parlimen untuk membuat keputusan selepas segala hak perundangan Tian Chua tamat,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di bangunan Parlimen, semalam.

Terdahulu, Pandikar Amin mengadakan pertemuan dengan Tian Chua untuk mendapatkan penjelasan terkini mengenai statusnya.

Beliau menjelaskan keputusan untuk melucutkan jawatan Ahli Parlimen bukan diputuskan Speaker Dewan Rakyat, sebaliknya dilakukan menerusi proses undian.

“Kerajaan akan mengemukakan usul di Dewan Rakyat untuk membuat keputusan sama ada Tian Chua kekal sebagai Ahli Parlimen atau tidak. Usul itu kemudian diundi Ahli Parlimen dan bukannya dibahaskan,” katanya.

Sementara itu, Tian Chua berkata, sesiapa yang tidak bersetuju dengan keputusan Hakim Mahkamah Tinggi boleh mencabar keputusan itu di Mahkamah Rayuan.

“Sebagai contoh, Mahkamah Tinggi tahun lalu mengisytiharkan Datuk Seri Muhammad Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar Perak yang sah tetapi ada orang tidak bersetuju dan mencabar keputusan itu di Mahkamah Rayuan.

“Akhirnya, Mahkamah Rayuan pula memutuskan Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir adalah Menteri Besar Perak yang sah,” katanya.

0 Komen pengunjong :